Monday, May 7, 2012

SIAPA WALI ALLAH?

Beribu-ribu orang Wali Allah telah lahir ke dunia ini dari tarikh manusia ujud sehingga ke hari ni dan akan lahir beribu-ribu lagi Wali Allah sehingga hari kiamat. Ramai dari kita tidak dapat membezakan Wali Allah dengan guru agama biasa. Ramai dari kita percaya guru agama, penyebar agama, pengembara, peniaga dari negara Arab, orang-orang dari negara Arab sebagai Wali Allah. Sebenarnya semua mereka bukannya Wali Allah sebaliknya ada Wali Allah di kalangan mereka. Ada juga orang yang percaya bahawa Wali Allah hanya akan lahir dalam kaum Arab. Ini suatu tanggapan yang salah.

Ramai di antara kita yang percaya bahawa : Orang yang selalu pakai kopiah putih, Pakai serban putih, pakai Jubah putih, pengajar Agama Islam, pengubat tradisional, orang yang cakap benda-benda yang pelik- cakap sesuatu yang kita tidak faham, semuanya Wali. Kalau ada kubur yang pelik sedikit, Kalau ada kubur terbiar dalam hutan – pun Wali.
Betul ke mereka semua ini Wali?. Siapakah Wali Allah Sebenarnya?
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. (Yunus: 63)

Pengenalan kepada Wali Allah

Perkataan Wali atau Aulia membawa maksud  guru, orang keramat, orang suci, penjaga, pemegang amanah, wakil, waris, orang contoh dan sebagainya. Wali Allah ialah seorang manusia yang hidup sebagai contoh kepada sekalian umat manusia. Mereka adalah manusia yang menjadi contoh bagi Iman, kepercayaan, cara hidup dan contoh bagi seorang manusia. Mereka tidak akan melalukan sesuatu dengan kehendak peribadi mereka sebaliknya hanya akan melakukan sesuatu yang Allah inginkan. Seorang Wali Allah tidak semestinya beragama Islam, mereka akan lahir dalam semua agama di dunia ini tetapi – Hanya beriman kepada satu Tuhan.
Wali Allah tetap ujud pada setiap masa dari masa ujudnya dunia ini dan sehingga kiamat dunia ini. Seorang Wali tidak semestinya memakai Jubah, kain pelekat, kopiah atau serban; mereka mungkin pakai kot, seluar jean, kemeja- T  atau apa sahaja. Peranan dan nilai seseorang manusia hanya ternilai dari cara hidupnya dan imannya, dan bukan dari pakaian atau keluarganya.
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Al-Baqara: 207)

Kelahiran

Wali Allah akan lahir dalam semua kaum dan bahasa di dunia ini, oleh kerana kepercayaan dan perasaan cinta mereka terhadap Allah, mereka akan mencari keredaan Allah dan kasih sayangNya.
Biasanya Wali Allah akan lahir sebagai seorang manusia biasa dan oleh kerana iman dan kesayangan mereka, Allah menerima mereka sebagai sahabat dan memberikan darjat Wali Allah. Seorang Wali Allah tidak semestinya lahir di negara Arab atau dalam keturunan Rasulullah.  Setiap orang manusia termasuk anda layak menjadi Wali Allah.
Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia…( 5:54 )

Keluarga

Ada segelintir Wali Allah tidak berkeluarga kerana mereka terlalu sibuk dengan mencari keredaan Allah sehingga tiada masa untuk berfikir tentang kehidupan dan keindahan dunia ini.  Ada segelintir Wali Allah yang meninggalkan keluarga mereka untuk mencari keredaan Allah kerana mungkin mereka menganggap ikatan keluarga akan mengganggu iman mereka dan menarik diri mereka kembali ke dunia ini. Kebanyakan Wali Allah berkeluarga dan mempunyai anak.

Ibadah

Nabi Muhammad SAW ialah Mahaguru bagi sekalian umat Islam dan Wali Allah. Oleh itu kaedah ibadah dan sembahyang Wali Allah tetap sama seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Semua Wali Allah akan membanyakkan sembahyang, zikir, berpuasa dan meditasi. Ada juga Wali Allah yang bertapak dalam hutan, gua dan bukit. Ada juga segelintir Wali Allah yang menggunakan beberapa kaedah yang lain.
Walau bagaimana pun tiada Wali Allah yang akan melanggar sebarang ajaran Nabi Muhammad SAW dan Al Quran Karim.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak  (Al-Ahzaab: 21)

Rupa

Jika kita lihat seorang Wali Allah tentu kita tidak akan mengaku mereka sebagai Wali Allah oleh kerana sifat rendah diri mereka dan pakaian yang serba biasa. Pakaian yang mereka gunakan biasanya berhubung dengan kaum mereka.
Pakaian Wali Allah selalunya serba biasa dan tanpa sebarang hiasan. Biasanya Wali Allah akan memakai pakaian serba putih sebagai tanda kesucian hati dan iman mereka. Mereka tidak mengiasi diri mereka atau memilih pakaian yang mewah kerana bagi mereka dunia ini hanyalah sebuah mimpi yang langsung tidak bernilai.
mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. (Al-Baqara: 273)

Ciri-ciri

Biasanya orang yang melihat tingkah laku Wali Allah akan percaya bahawa mereka itu orang kaya tetapi sebenarnya mereka tiada sesuatu kecuali Allah. Wali Allah tidak akan meminta sedekah kepada orang awam tetapi akan menerima pemberian dari orang awam, jika diberikan dengan ikhlas.
Pada umumnya Wali Allah akan berhijrah ke seluruh negara asal mereka dan ada juga Wali yang berhijrah ke luar negara, mereka akan hidup di sesuatu tempat  buat sementara waktu dan mengajar orang-orang di situ tentang Tuhan dan kebesarannya. Mereka akan bekerjasama dengan penduduk tempatan, membantu mereka, mendidik mereka, mengubat penyakit mereka sambil mengajar kebesaran Allah.
Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah ; dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (At-Tawba: 20)

Iman

Seorang Wali Allah yang sebenar ialah seorang manusia yang sebenar-benar beriman kepada Allah (Tuhan yang satu) dan menyerahkan sepenuh kehidupan dan kehendaknya kepada Allah. Dan menerima segala dugaan dan cubaan sebagai pemberian Ilahi. Mereka tidak akan membezakan di antara suka dan benci, gembira dan duka cita, kawan atau musuh,bagi mereka segala-galanya sama. Seorang Wali Allah yang sebenar tidak akan melihat sesuatu selain Allah di dunia ini. Bagi mereka segala-galanya hanyalah Allah yang maha Esa.
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Yunus: 62)

Wali Allah yang sebenar tidak akan takut kepada Neraka dan tidak akan teringin kepada Syurga. Satu-satunya kehendak dan keinginan mereka hanyalah Allah SWT. Bagi mereka tiada yang lebih baik dari Allah dan cinta kepada Allah SWT.

Ajaran

Biasanya Wali Allah tidak akan membawa atau memberikan sebarang ajaran; mereka hanya akan hidup sebagai contoh. Orang sekitarnya akan belajar dari tingkah laku dan kaedah hidup mereka.
Agama Islam tersebar di seluruh dunia oleh kerana Wali-wali Allah yang berhijrah ke seluruh dan mengajar kebesarannya. Orang-orang tempatan yang tertarik dengan cara hidup mereka, tingkah laku mereka, sopan santun mereka dan mengikut langkah mereka dengan memeluk agama Islam.

Tingkah laku

Seorang Wali Allah tidak akan mendedahkan dirinya sebagai Wali Allah kepada umum. Walau berapa banyak dan seberapa hebat pun ilmu dan kelebihan yang dimilikinya , mereka tidak akan menunjuk kepada umum kecuali untuk tujuan membantu orang lain.
Mereka akan hidup mesra dengan orang awam dan tidak akan memegahkan dirinya sendiri. Mereka tidak akan membezakan manusia dengan harta , agama, bangsa, dan sebagainya.
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman: 18)

Kalau saya tulis seberapa banyak pun tentang Wali Allah dan hubungan mereka dengan Allah. Anda pasti tidak akan faham dengan betul dan lengkap. Sama seperti walaupun kita baca sepuluh buah buku,  tentang api kita tetap tidak akan memahaminya kecuali kita yang sentuh api itu.

Baca lagi : Siapakah Wali Allah sebenarnya | RahsiaAlam.com
http://www.rahsiaalam.com
Petikan Dari : Rahsiaalam.com

No comments:

Post a Comment