Saturday, May 12, 2012

TERIMA KASIH, MAK!

Entry saya kali ini saya tujukan khas buat ibu saya Jamaliah Binti Jamaludin. Sebagai seorang anak yang telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang, saya lahirkan rasa kesyukuran kepada Illahi kerana mengurniakan seorang ibu yang sangat tabah membesarkan lapan orang anak. Sekelip mata kini kami sudah pun dewasa dan menghadapi hidup masing-masing melengkapkan putaran roda kehidupan hidup yang sementara ini.

Masih saya ingat lagi sewaktu saya masih kecil. Saya bangun pada pagi itu. Dan seperti biasa, emak sudah pun bangun bersama kakak dan abang saya yang lain sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk kami lapan beradik. Kami teringin memakan roti canai pada pagi itu, lalu emak memesan kepada kakwin (kakak saya) supaya membeli roti canai 16 keping (seorang dapat 2 keping) di kedai berhampiran berek polis yang kami diami. Pada masa itu, semua makanan dibahagi secara sama rata. Jika, seorang terlepas, pasti ada yang akan merajuk. Begitulah keadaan emak yang perlu bersikap adil terhadap kami semua.

Kini, kami sudahpun dewasa. Sudah bekerjaya dan ada yang sudah bekeluarga. Namun suasana riuh-rendah dan hingar-bingar rumah kecil kami  adik-beradik sewaktu di Blok C, Kem Pasukan Polis Hutan (kini dipanggil Pasukan Gerakan Am) tidak akan kami lupakan. Terima Kasih, Emak! (^_^)


No comments:

Post a Comment