Sunday, March 1, 2015

Selamat Ulang Tahun Kita

Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Sudah setahun perhubungan ini berjalan sebagai suami dan isteri dan kehidupan kami dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata. Walaupun kami tinggal berjauhan disebabkan kerjaya, itu bukanlah sebab untuk kami tidak dapat memberi komitmen antara satu sama lain. Malah kami saling memahami tugas masing-masing memandangkan kerjaya kami adalah sama, seorang guru j-QAF.

Menyebut mengenai perkahwinan ini, terasa seperti semalam apabila kami berhubung melalui 'sms' dan si dia yang bernama Zulkifli menyatakan hasratnya untuk memperisterikan saya. Jika diikutkan perkenalan kami tidak lama, Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi saya untuk menerima lamarannya setelah menyelidik latar belakangnya dari golongan yang baik-baik.

Rupa-rupanya si dia bukanlah orang jauh, berasal dari kampung halaman saya juga, orang Ipoh. Ini lebih meyakinkan saya untuk hidup bersama. Kadang kala saya terfikir, susah-payah saya berikhtiar untuk mencari jodoh, Rupa-rupanya Allah datangkan jodoh dari tempat saya sendiri.

Sebulan selepas pernikahan, saya mendapati diri ini hamil. Ya Allah, begitu pantas sekali. Syukur kepada-Mu dengan rezeki yang datang mencurah-curah. Jika difikirkan kembali, memang itu semua berbaloi setelah apa yang telah saya lalui. Sukar untuk mencari yang sempurna. Tetapi Allah beri kesempurnaan ini dalam keadaan mudah dan sederhana.

Sepanjang 9 bulan yang saya lalui, kami hanya sempat tinggal bersama selama 3 bulan. Setelah kami memperoleh posting baru, kami ditakdirkan tinggal berjauhan. Si dia mendapat posting di Selangor manakala saya tetap di Johor. Namun, dia kerap datang berkunjung setiap hujung minggu untuk melihat keadaan saya. Begitulah keadaan kami sehingga saya melahirkan anak kami yang pertama. Dia juga banyak membantu saya untuk menghabiskan pengajian saya di peringkat master. Alhamdulillah, saya sempat menamatkan pengajian dan menghadiri konvokesyen dalam keadaan sedang mengandung. 

Kepada suami, sekiranya dia membaca entri ini, saya ingin mengucapkan  seribu penghargaan kerana sudi menjadikan diri ini sebagai seorang isteri. Mungkin saya juga ada kekurangan, namun saya akan cuba sedaya upaya memperbaiki kelemahan diri saya agar menjadi seorang hamba dan isteri yang solehah.

Amin...




Saturday, February 28, 2015

TERCAPAIKAH WAWASAN 2020?

Dahulu, di Malaysia kita sering dimomokkan dengan wawasan 2020. Pada masa itu, media dan kerajaan di seluruh dunia menggambarkan betapa hebatnya kemodenan tahun 2020. Sesuatu yang mengujakan kerana tiada siapa dari kita yang tahu apa yang berlaku di masa akan datang. Maka, membuat jangkaan adalah suatu perkara yang menarik.Antaranya suasana moden yang digambarkan ialah:

a) Kereta terbang yang berselerakan di udara
b) Penggunaan hologram dalam mesyuarat
c) Lif yang boleh membawa penumpang ke mana-mana sahaja yang diingini.
d) Penggunaan tenaga robot yang seakan-akan manusia.  Boleh bekerja seperti manusia.
e) Teknologi komunikasi yang canggih seperti jam handphone, jam hologram dan sebagainya.


Gambaran tahun 2020 di Indonesia. Sumber dari hopeforindonesia.blogspot.com 

Kita rasa teruja dengan kecanggihan ini sambil berharap agar masa cepat berjalan, supaya kita dapat menyaksikan bagaimana kemodenan tahun 2020.

Akan tetapi, kini kita telah pun mencapai tahun 2015, hanya tinggal lagi 5 tahun untuk mencapai tahun 2020. Tiada tanda-tanda kecanggihan yang mendadak seperti yang digambarkan. Tetapi apa yang dapat saya lihat di sini, ada beberapa kemajuan yang dapat kita rasakan sekarang ini yang tidak dijangka pada masa dahulu.

Namun, masih tidak menghampakan. Walau tidak semaju yang dibayangkan, beberapa kecanggihan dan perubahan kemajuan hidup tetap juga dapat dirasai oleh setiap dari kita. Antara kemajuan pada hari ini ialah:
 a) Internet
Adanya jaringan internet yang kini semakin tersebar luas penggunaannya berbanding radio dan televisyen. 

b) Penggunaan telefon pintar 'smartphone' yang berfungsi melalui sentuhan.

c) Kereta mewah yang menyerupai filem 'Transformers'
d) Dan beberapa barang canggih lagi yang tidak meluas penggunaannya seperti 'Helikopter Kamera' dan 'Google Glass'.
Helikopter Kamera


Google Glass
Jadi, apa pendapat anda? Akan tercapaikah wawasan 2020?

Friday, October 31, 2014

Pesanan Buat Wanita

Wanita itu..

Kecantikannya sudah terlihat dari jauh
Cantik matanya
Mulus kulitnya
Manis senyumnya
Pasti membuat mana-mana jejaka tertarik dengannya
Membuat sesiapa pun ingin mendekatinya
Mengenalinya
Kejelitaannya disebut-sebut
Indah gayanya menjadi ikutan

Tetapi sayangnya..
Semakin aku mengenalinya
Semakin aku sesal
Kerana apa yang keluar dari bibirnya
Hanya kata-kata yang menyakitkan
Hanya ayat penuh dengan sindiran
Hanya madah yang melambangkan buruknya fikiran

Semakin aku tahu tentangnya
Semakin aku jelik
Kerana wanita yang aku lihat dulu tidaklah seperti yang aku bayangkan
Dia pandai menjaga penampilan
Tetapi tidak bagi hati dan kematangan

Hai lah wanita
Tiada sudah keindahan padamu
Kerana kini pabila namamu disebut
Yang terbayang dalam fikiranku
Hanyalah pelakuan buruk
Yang pernah kau lakukan padaku

Semoga Allah memberimu Hidayah
Semoga engkau kenal erti solehah
Yang tergambar bukan saja pada pakaian
Tetapi akhlak dan amal perbuatan
Yang sebenar-benar ikhlas
Bukan sekadar lakonan


Wednesday, October 1, 2014

FASA BARU

Assalamualaikum buat para pembaca..
Jika blog ini digambarkan seperti sebuah rumah, pasti sudah bersarang kerana lama sudah saya  tinggalkan.. Hari ini saya datang semula untuk berkongsi apa yang sedang saya lalui dalam kehidupan saya kini..

Terlalu banyak kenangan dan saat-saat pahit manis yang sukar untuk saya gambarkan kepada anda untuk menceritakan kehidupan yang saya lalui beberapa tahun ini. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan, saya berjaya menghabiskan beberapa perjalanan yang perlu saya lalui dalam kehidupan kecil saya. Dan alhamdulillah, saya kini tidak berseorangan lagi.

Dalam sekelip mata yang saya juga tidak menjangkanya, Allah telah mendatangkan pasangan hidup yang untuk menemani saya melayari bahtera hidup ini.

Benarlah, jodoh itu rahsia Allah..
Terima kasih Allah..







Friday, September 27, 2013

DEBAT ISLAM vs DEBAT ALA PARLIMEN

Apabila berbincang mengenai perdebatan, pasti kita akan teringat pertandingan debat yang dijalankan di sekolah dan di peringkat universiti. Persoalannya, mengapa perdebatan ini kurang popular di alam realiti kita pada hari ini. Adakah debat sudah tidak relevan? Kita pernah melihat sikap keterbukaan negara lain dalam hal perdebatan terutamanya dalam isu politik seperti yang dilakukan oleh Barack Obama. Syeikh Ahmad Dedat dan Zakir Naik juga antara ulama Islam yang aktif dalam perdebatan agama. Tetapi perdebatan seperti ini jarang sekali berlaku di Malaysia. Kelihatan para pemimpin sedaya upaya mengelakkan diri mereka dari berdebat dengan pihak pembangkang. Mengapa situasi ini berlaku?

Mungkin terdapat kelemahan di dalam landasan perdebatan yang memberi impak yang sangat besar dan buruk sehinggakan para pemimpin kita mengelakkan diri dari memperdebatkan isu politik dan pentadbiran negara. Saya juga bersetuju dengan keadaan ini. Kenapa? Kerana teknik dan landasan perdebatan pada hari ini tidak bersesuaian dengan teknik perdebatan yang digariskan dalam islam. Di sini saya akan menunjukkan perbezaan antara debat ala parlimen yang jauh menyimpang dari adab-adab perdebatan yang digariskan dalam Islam.



1. Ada celahan
Celahan dalam teknik debat adalah satu persoalan yang diajukan ketika pendebat sedang membentangkan usul mereka. Celahan ini dalam istilah lain boleh dikategorikan sebagai 'menyampuk'. Teknik celahan ini sangat tidak sesuai dengan debat yang disarankan dalam kerana sikap ini seolah tidak menghormati pendebat lain sedang melontarkan pandangan.

2. Provokasi
Elemen kritikan tidak dapat lari dalam perdebatan. Namun debat bukanla satu medium bagi para pendebat untuk memburukkan pihak lawan sehingga menghina dan mencerca sifat fizikal mereka. Ini yng sering saya dapati dalam perdebatan. Perdebatan dalam Islam seharusnya dilakukan dengan penuh beradap tanpa menghina dan menjatuhkan maruah pihak lawan. Perlawanan ini adalah berdasarkan fakta dan bukan disertai unsur-unsur emosional.

3. Banyak menonjolkan elemen negatif berbanding positif
Matlamat perdebatan adalah mencari  kebenaran dan kemaslahatan bersama. Namun, melalui teknik yang sudah pincang, bagaimana matlamat ini ingin ditonjolkan dengan jelas? Unsur hasutan yang dilakukan secara terang-terangan, sikap tidak mahu mengalah dan tidak mengakui kelemahan, serta sifat bertolak ansur dan telus yang tidak berjaya ditonjolkan oleh pendebat hari ini.



Saya memuji tindakan Institut Kefahaman Islam Malaysia dalam usaha menganjurkan pertandingan debat berunsurkan Islam iaitu Debat IKIM. Debat berunsur Islam sebegini jarang diketengahkan, namun usaha ini adalah suatu pendedahan yang baik kepada masyarakat terutamanya golongan mahasiswa dalam mengenali teknik debat yang menepati syariat.

Sebaliknya, sekiranya kemenangan diperolehi dalam sesuatu pertandingan yang bukan berunsurkan Islam, pada pendapat saya, pendebat itu masih belum menang lagi secara realitinya. Lihatlah ketandusan dan tidak relevannya debat di Malaysia. Jika pemimpin mengelakkan diri mereka untuk berdebat, bukan salah mereka. Sebaliknya teknik perdebatan yang merosakkan menjadikan debat dipandang sepi. Mereka pemimpin, mereka juga ada maruah..

Sunday, September 15, 2013

KERJA

Dalam hidup ini, kerja adalah perkara terbesar bagi kita kerana kerja itu melibatkan saraan diri dan kelangsungan hidup kita serta keluarga.

Masih ingatkah kita, sewaktu kita kecil, kita ditanya apakah cita-cita kita bila dewasa nanti? Kita pun menjawab cita-cita yang kita mahukan. Padahal sebenarnya kita sendiri pun tidak tahu apa pekerjaan tersebut. Apabila kita sudah tamat PMR, kita dibahagikan bidang oleh guru-guru, mengikut tahap pencapaian kita dalam peperiksaan. Kita ikutkan saja pilihan itu sedangkan kita tahu apa yang kita minat dan apa yang kita mahukan tidaklah sama dengan bidang yang diberikan. Apabila sudah tamat SPM, kita pun memilih jurusan yang sesuai dengan kita dengan result yang ala-ala kadar tu. Kita tidak tahu mana satu jurusan yang sesuai dengan kita, lalu sekali lagi kita membuat pilihan yang salah, kita ambil jurusan yang sama dengan rakan-rakan kita. Kita ikut saja pilihan mereka. Setelah tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan, kita mengalami kebuntuan dan tidak menjumpai pekerjaan yang sesuai dengan kita, akhirnya kita pilih pekerjaan yang tidak ada kena-mengena dengan kelayakan kita.

Wahai tuan, puan, kakak, abang, pakcik, makcik, cikgu, adik, pelajar-pelajar, murid-murid..
Sampai bila kita nak mengulangi kesilapan ini??cukuplah orang dulu dah lakukan kesilapan ini, kita lakukan kesilapan ini, tetapi kenapa kita nak beri peluang juga pada anak-anak dan generasi akan datang juga untuk lakukan kesalahan ini?kita memilih pekerjaan yang bukan minat kita, bukan kemahiran kita dan bukan kelayakan kita..kenapa ye? Tidakkah kita nampak kesannya, kita jadi benci dengan pekerjaan kita, kita stress dengan kerja kita, kita jadi malas dan kita tidak tahan dengan cabaran yang datang dalam pekerjaan kita.

Kawan-kawan,
Sebenarnya kita semua dikurniakan dengan bakat, kelebihan, dan keistimewaan yang berbeza-beza. Dan kelebihan yang ada pada kita itulah pekerjaan kita yang sebenarnya. murid yang pakar matematik, mereka sesuai menjadi arkitek, pelajar yang hebat dalam subjek sains, mereka sesuai menjadi doktor, pelajar yang pandai melukis mewarna, merekalah pelukis di masa akan datang. Pelajar yang suka belajar secara praktikal, mereka tidak sesuai bekerja di dalam pejabat. Pelajar yang suka mengikuti kelas, mereka sesuai dengan kerja dalam pejabat. Mengapa kita masyarakat masih buta untuk melihat kecenderungan ini. Anak yang hiperaktif tidak mungkin akan duduk diam di dalam kelas, mengapa kita letakkan harapan supaya dia menjadi doktor??

Kawan-kawan,
Sebenarnya di bahu kita semua, terletaknya tugas fadhu kifayah. Iaitu apabila kita menggunakan kelebihan dan bakat yang Allah kurniakan dengan baik, kita telah menyelamatkan umat Islam daripada menanggung dosa bebanan kerana tidak menjalankan tugas itu. Janganlah kita memilih kerja kerja yang tidak sesuai dengan kita, kerana kita tak mampu memikul cabaran pada kerjaya yang bukan kesesuaian kita. Marilah kita sama-sama merenung dan bermuhasabah kembali diri kita. Agar kita sama-sama boleh menempa kejayaan untuk Islam, diri dan keluarga kita.

Jika kita masih tidak nampak, tanyalah pada diri kita, kerja apakah yang dapat memenuhi keperluan masyarakat, yang dapat menyumbang kepada masyarakat? Kerja yang memenuhi KEPERLUAN masyarakat dengan kerja yang memenuhi KEHENDAK masyarakat, perbezaannya sangat jauh.. fikirkanlah..

Monday, May 27, 2013

SYURGA dan NERAKA

Di saat anak-anak itu bertanya kepadaku,
Bersungguh ingin tahu,
Tentang bagaimana rupanya syurga dan neraka...

Aku juga ribut menghitung di dalam kalbu,
Bersungguh ingin tahu,
Tentang di manakah tempat akhirku nanti,
SYURGA atau NERAKA?