Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Sudah setahun perhubungan ini berjalan sebagai suami dan isteri dan kehidupan kami dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata. Walaupun kami tinggal berjauhan disebabkan kerjaya, itu bukanlah sebab untuk kami tidak dapat memberi komitmen antara satu sama lain. Malah kami saling memahami tugas masing-masing memandangkan kerjaya kami adalah sama, seorang guru j-QAF.
Menyebut mengenai perkahwinan ini, terasa seperti semalam apabila kami berhubung melalui 'sms' dan si dia yang bernama Zulkifli menyatakan hasratnya untuk memperisterikan saya. Jika diikutkan perkenalan kami tidak lama, Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi saya untuk menerima lamarannya setelah menyelidik latar belakangnya dari golongan yang baik-baik.
Rupa-rupanya si dia bukanlah orang jauh, berasal dari kampung halaman saya juga, orang Ipoh. Ini lebih meyakinkan saya untuk hidup bersama. Kadang kala saya terfikir, susah-payah saya berikhtiar untuk mencari jodoh, Rupa-rupanya Allah datangkan jodoh dari tempat saya sendiri.
Sebulan selepas pernikahan, saya mendapati diri ini hamil. Ya Allah, begitu pantas sekali. Syukur kepada-Mu dengan rezeki yang datang mencurah-curah. Jika difikirkan kembali, memang itu semua berbaloi setelah apa yang telah saya lalui. Sukar untuk mencari yang sempurna. Tetapi Allah beri kesempurnaan ini dalam keadaan mudah dan sederhana.
Sepanjang 9 bulan yang saya lalui, kami hanya sempat tinggal bersama selama 3 bulan. Setelah kami memperoleh posting baru, kami ditakdirkan tinggal berjauhan. Si dia mendapat posting di Selangor manakala saya tetap di Johor. Namun, dia kerap datang berkunjung setiap hujung minggu untuk melihat keadaan saya. Begitulah keadaan kami sehingga saya melahirkan anak kami yang pertama. Dia juga banyak membantu saya untuk menghabiskan pengajian saya di peringkat master. Alhamdulillah, saya sempat menamatkan pengajian dan menghadiri konvokesyen dalam keadaan sedang mengandung.
Kepada suami, sekiranya dia membaca entri ini, saya ingin mengucapkan seribu penghargaan kerana sudi menjadikan diri ini sebagai seorang isteri. Mungkin saya juga ada kekurangan, namun saya akan cuba sedaya upaya memperbaiki kelemahan diri saya agar menjadi seorang hamba dan isteri yang solehah.
Amin...
No comments:
Post a Comment