Tuesday, September 20, 2016

My cute trouble maker

So, this is my cute trouble maker.

Namanye Siti Nor Iftinan. Sekarang die dah pandai sepahkan rumah. Semua yang saya buat die nak buat jugak. Tengoklah,  buku tu dia yang keluarkan dari rak buku.

Dari satu sudut,  saya rasa lega kerana iftinan dah tunjuk banyak perkembangan sama seperti bayi yang lain. Sewaktu awal kelahirannya,  agak merisaukan kerana beliau mengalami masalah kuning.  Jadi iftinan tak banyak menangis.  Cuma banyak tidur dan bangun untuk menyusu. Kesilapan saya juga yang menyangka saya mampu menyusukan dia sepenuhnya. Masa tu terkial-kial nak belajar pakai pam susu. Masa mengandungkan dia, sibuk sangat dengan kerja, duduk pula sorang2 jauh dari suami.. tak sempat nak spent masa belajqr tentang persediaan menyambut bayi..lambat sikitlah belajar pam susu..

Sepanjang dia membesar,  beratnya tidak ideal. Banyaklah nasihat dari keluarga,  rakan-rakan dan nurse untuk menambahkan berat badannya.  Jenuhlah juga kami mencari pemakanan yang sesuai dengannya.  Maklumlah,  pertama kali jadi ibu,  banyak saya tidak tahu dan perlu belajar lagi terutama rutin pemakanan anak.

 Tak susah untuk menjaganya.  Kadang-kadang tak tahu apa yang dia mahukan kerana dia tak banyak merengek. Kadang-kadang sikapnya yang tak banyak kerenah tu merisaukan juga.  Takut-takut dia sakit.







Makin lama iftinan dah banyak tunjukkan perkembangan.  Dah boleh berjalan dan sepahkan rumah.  Rasa lega bila dia sudah pandai membuat pilihan dan menunjukkan keinginannya.  Jika tak mahu die akan menolak.

Baru-baru ni, iftinan menunjukkan perkembangan positif dan lulus ujian autisme (tidak termasuk dalam golongan autisme).

Jadi kepada pasangan yang baru saja masuk ke alam keibubapaan, jangan marah sangat jika anak sepahkan rumah. Itu tanda anak anda sihat. Penting untuk anda jaga rutin pemakanan dan kebersihan anak supaya mereka dapat membesar dengan baik. Jangan takut dengan bebelan nurse okay.. normallah kalau kena bebel.. kuatkan semangat dan teruskan rutin pemakanan anak sampai berat badannye cantik..

Ok, itu sahaja entri kali ini. Doakan semoga Siti Nor Iftinan menjadi anak yang solehah, srikandi Islam, pecinta kebenaran dan berbudi pekerti..Amin ya Allah..Wassalam..



Wednesday, September 14, 2016

2016: Tahun berjimat Cermat

Assalamualaikum dan selamat hari raya Aidiladha buat semua rakan-rakan..

Alhamdulillah.. kita semua dapat melalui pertengahan tahun 2016.. Bagaimana dengan hari anda semua? Saya pula hujung minggu sebegini lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.. Maklumlah, hujung minggu dan cuti sekolah saja dapat berjumpa dengan suami.. dapatlah peluang nak bermanja dengan suami dan anak. 

Seperti yang lainnya, tahun 2016 memberikan saya kerisauan tentang sudut kewangan memandangkan pelbagai jangkaan dan perubahan ekonomi yang berlaku di hujung tahun 2015. Antaranya:
1) Kenaikan tambang pengangkutan awam
2) Kenaikan kadar tol
3) Cukai GST sebanyak 6% dalam setiap urusniaga
4) Harga makanan dan barangan di pasaran yang meningkat hampir dua kali ganda
Pada waktu ini, kita sedang mengalami inflasi yang teruk. 

Saya juga ada kerisauan dengan bagaimana untuk menguruskan kewangan saya dan suami. jika melihat kepada keadaan saya yang baru ingin membina keluarga, Banyak perbelanjaan yang perlu saya fikirkan. Seperti:
1) Perbelanjaan pergi-balik suami ke rumah saya dari Klang-Muar setiap minggu.
2) Proses melengkapkan barangan rumah
3) Perbelanjaan susu dan lampin anak
4) Bayaran ansuran kereta dan pinjaman peribadi
5) Insurans kesihatan diri dan anak. 
6) Simpanan SSPN-i untuk anak
7) Rancangan untuk membeli rumah

Memandang saya bekerja sebagai kakitangan awam, alhamdulillah gaji yang saya perolehi masih boleh untuk saya 'survive'. Namun saya masih perlu untuk berjimat cermat. supaya boleh membuat simpanan di saat kecemasan. 

Maka azam saya pada tahun 2016 ini adalah untuk berjimat cermat. banyak langkah sebenarnya jika difikirkan, saya boleh berjimat. Saya ada beberapa tips berguna kepada mereka jika ingin bercadang untuk berjimat.

1) Elakkan makan di luar dan masak di rumah.
Kadangkala sikap ingin berbelanja memang ada dalam diri kita walaupun dalam hal kecil. Contohnya, sewaktu sedang shoping, saya teringin hendak minum air milo. Jadi saya singgah di kedai dn memesan air milo. Sedangkn sebenarnya saya boleh menahan diri sehingga pulang ke rumah  dan membancuh sendiri air milo. Begitu juga dengan makan tengahari dan malam. Kerana keletihan akibat bekerja, kita lebih suka memilih makan malam di luar daripada memasak. Kepada mereka yang berkeadaan sebegini, saya mencadangkan agar anda jangan membeli terlalu banyak barang dapur. Beli yang sekadarnya. Kadangkala tidak perlu memasak makanan yang mahal, cukup sekadar membuat roti kaya dan kopi sebagai bekal makanan.

2) Membeli barang yang perlu sahaja. 
Senaraikan barang yang mahu di beli ketika membeli belah. Ini dapat mengelakkan anda berbelanja keterlaluan dan hilang fokus terhadap apa yang sebenarnya anda mahu beli.

3) Berjinak2 dalam perniagaan skala kecil
Tidak perlu modal yang terlalu besar, anda sekadar beli barangan yang anda rasa barang itu diperlukan oleh rakan-rakan sekerja anda dan menjualnya kepada rakan terdekat. Pasti mereka suka kerana tidak perlu pergi jauh untuk berbelanja. Anda boleh membeli barang dengan harga borong di kedai borang dan menjualnya dengan harga yang berpatutan. Untung yang diperolehi sudah boleh dijadikan wang simpanan anda di saat kecemasan.

4) Jika ingin bersiar-siar, elakkan aktiviti yang melibatkan duit. 
Menonton wayang, bermain gym, bermain bowling, berkaraoke adalah antara aktiviti yang perlu mengeluarkan duit. Sebaliknya pilih aktiviti yang tidak memerlukan duit seperti berkelah, bermain layang-layang, berbasikal, berjalan-jalan di taman rekreasi, memakai alatan gym di taman rekreasi dan lain-lain.

5) Bawa bekal ke mana saja.
Saya pernah sebutkan dalam entri yang sebelumnya. Bawa bekal dapat menjimatkan duit. Saya tak berniat untuk mempromosi cadangan Ahmad Maslan, tetapi sebenarnya begitulah cara saya dibesarkan oleh ibubapa saya. Oleh kerana keluarga saya besar dan adik-beradik saya ramai, kami perlu berjimat cermat. Ibu saya sering membawa bekal kemana-mana sekiranya ingin membawa kami bersiar-siar. Dan mereka sudah terbiasa dengan cara sehingga ke hari ini.

6)Sediakan beberapa tabung
Dengan cara menabung, kita dapat mengecilkan perbelanjaan yg tidak perlu serta menanam semangat utk menyimpan, secara psikologinya, bila kita melihat wang tersimpang di dalam bekas tabung, kita akan lebih bersemangat utk memenhkan tabung tersebut dgn duit, secara tak langsung kita akan mengurangkan perbelanjaan kita supaya dapat menabung lebih banyak lg..
Terdapat beberapa tabung yg perlu disediakan iaiti:
1) Tabung kecemasan RM200
2) Tabung melancong RM200
3) Tabung belanja anak (susu dan pampers) -1 kepala RM300
4) Tabung penyelenggaraan (service kereta dan roadtax) RM150

Tabung kecemasan
Tabung kecemasan ini adalah simpanan yg tidak boleh anda usik walau apa keadaan sekalipun. Anda harus menyimpan dan menganggap simpanan itu tidak wujud.

Tabung melancong
Siapa yang tidak suka melancong?Menginap di hotel yg selesa dan melihat pemandangan yg indah di tempat2 menarik boleh menghilangkan tekanan. Jika anda pandai menyimpan, anda boleh melancong ke mana sahaja yang anda mahu dengan menyimpan tabung melancong ini dengan cermat. Jadikan tabung ini sebagai hadiah hasil kerja keras anda setiap tahun.

Tabung belanja anak
Kenapa sehingga rm300? Biar saya tunjukkan kira2nya.
Pampers rm43
Pampers utk pengasuh rm43
Susu rm36 seminggux 4 minggu =rm144
Susu untuk pengasuh rm36
Baju anak 2 helai 75
Total rm341

Apa yg saya anggarkan ini hanyalah anggaran kasar sahaja beegantung kepada susu yg digunakan oleh bayi/anak. Jika bayi minum susu ibu, sudah tentu lebih menjimatkan dan anda juga dapat menyimpan wang  susu anak untuk tabung kegunaan anak yg lain pula.

Kepada yang belum berkahwin dan sudah bekerja, mungkin anda tidak terikat dengan tabung belanja anak.. tetapi anda boleh menyimpan sebagai persediaan untuk perkahwinan dan anak2 anda di masa hadapan. Percayalah, persediaan di usia muda untuk kehidupan masa hadapan anda akan membantu anda mengharungi perbelanjaan yang tidak dijangka. Ini bukan saja untuk kebaikan anda, tapi juga untuk kebaikan anak2 yang bakal anda lahirkan.

Tabung penyelenggaraan kereta.
Setiap tahun apabila anada mempunyai kereta, perkara yang perlu di belanjakan selain daripada bayaran pinjaman kereta ialah roadtax kereta dalam rm1000 dan service kereta dlm 4 kali setahun. Jadi penyelenggaraan kereta ini juga memerlukan belanja yg besar juga. Jadi menyimpankan setiap bulan boleh menyelamatkan anda daripada perbelanjaan last2 minit apabila tempoh masa roadtax perlu ditukar kepada yang baru.






Thursday, June 30, 2016

8 Kesilapan Mendeklamasi Sajak

Menyelami alam puisi bukanlah sesuatu yang baru bagi saya.. Saya mula belajar mendeklamasi puisi sejak dari bangku sekolah lagi,  iaitu semasa berumur 14 tahun.  Saya cipta puisi dari hati saya dan saya deklamasikannya di khalayak ramai. Syukurlah,  masa itu saya mendapat tempat ketiga kerana persembahan itu adalah cubaan saya yang pertama berjinak dalam bidang puisi.

Kini,  sudah 15 tahun saya mendalami bidang puisi. Saya meneruskan minat saya ini di alam universiti,  dan saya mendapat banyak ilmu melalui tunjuk ajar dari rakan2 yang berpengalaman dan para pensyarah. Universiti Malaya memberikan saya banyak pengalaman apabila saya menyertai pertandingan Manifetasi Puisi dalam Festival Seni pada setiap tahun,  selain menyertai pertandingan2 kecil dalam kolej dan kampus. Di situ,  saya mengenali beberapa tokoh puisi tersohor yang menjadi penilai kepada persembahan saya.

Pengalaman itu tidak saya tinggalkan begitu saja.  Kini saya menyambung ilmu yang telah dipelajari kepada anak murid untuk diperluaskan lagi aura dan kehebatan sebuah khazanah budaya yang telah ditinggalkan untuk generasi seterusnya. Alhamdulillah,  kini usaha saya menampakkan hasilnya.  Beberapa anak didik saya telah berjaya dan menjadi johan dalam pertandingan sajak peringkat kebangsaan.




Jika diikutkan,  ilmu saya tidaklah sebanyak mana jika hendak dibandingkan dengan tokoh2 sastera yang lain.  Tetapi dalam menyelami teknik persembahan,  terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh peserta amatur dalam mendeklamasikan sesebuah sajak.  Di sini saya senarai kesalahan tersebut buat rujukan mereka yang ini mempelajari teknik penyampaian sajak dengan baik.

1.  Tidak hafal
Kesalahan paling besar bagi pendeklamasi ialah tidak menghafal sajak dengan baik. Ini adalah kesalahan utama kerana jika pendeklamasi tidak menghafal,  kelancaran persembahan akan terganggu, sebutan tidak lancar dan sukar bagi pendeklamasi ingin menghabiskan persembahan tersebut.

Sebenarnya,  tidak salah bagi pendeklamasi untuk membawa kertas sajak ke atas pentas sekiranya pendeklamasi tidak menghafalnya.  Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian:
a.   Pendeklamasi sudah menghafal separuh daripada sajak tersebut.  Kertas yang dibawa hanya sebagai rujukan sekiranya terlupa.
b. Tidak hanya menumpukan bacaan di atas kertas tersebut.  Eye contact dengan penonton mestilah tidak terputus,  barulah isi sajak dapat disampaikan dengan baik.
c. Kertas yang dibawa hanya sebagai pembantu kepada persembahan yang baik. Bukan menambah kegugupan pendeklamasi.  Jika persembahan pendeklamasi tidak bagus dengan membawa kertas,  adalah lebih baik menghafalnya dan naik ke pentas tanpa kertas.

2.  Terlalu  laju
Banyak kesan yang berlaku jika deklamator membaca terlalu laju. Antaranya, sebutan menjadi tidak jelas, sajak kurang difahami, dan kurang penghayatan.

Untuk mengelakkan penyampaian menjadi terlalu laju,  berhentilah pada akhir setiap rangkap dan cuba bernafas. Kemudian sambung kembali dengan nafas dan tenaga baru.

Untuk pengetahuan pembaca,  keadaan berhenti beberapa saat dalam setiap rangkap dipanggil sebagai 'jeda' dan keadaan ini membawa kepada markah yang baik dalam persembahan.

3.  Kurang penghayatan
Apabila persembahan deklamator kurang penghayatan, maka sajak yang disampaikan tidak dapat memberikan kesan kepada penonton.

Perlu difahami bahawa tujuan sajak disampaikan adalah untuk memberi kefahaman dan rasa emosi yang mendalam kepada penonton sehingga sajak itu meninggalkan kesan dalam hati penonton.

Jika pendeklamasi berjaya melakukannya,  maka dia telah menyampaikan sajaknya dengan baik dan berkesan.

4.  Eye contact tidak meyakinkan
Eye contact melambangkan komunikasi antara pendeklamasi dan penonton.  Jika mata pendeklamasi melilau ke arah yang lain tanpa tujuan,  sajak tidak dapat sampai kepada penonton dengan baik kerana penonton tidak merasa pendeklamasi sedang berkomunikasi dengan mereka.

Sekali-sekala kembalikan semula pandangan ke arah penonton supaya penonton merasa sajak itu adalah untuk mereka.

5.  Sebutan yang tidak jelas
Sebutan yang tidak jelas akan menyebabkan penonton tidak dapat memahami apakah isi yang ingin disampaikan.  Jika boleh,  bulatkan sebutan dengan sejelas yang boleh supaya penonton tidak terkeliru dengan sebutan samar-samar. Sebutan yang samar-samar boleh menyebabkan salah tafsiran pada isi sajak tersebut.
Contoh:
a. Suka vs Sukar
b. Duka vs Duga

6.  Suara tidak kuat dan lantang
Seperti yang sebelum ini, suara yang tidak kuat dan lantang boleh juga membawa kepada sebutan yang tidak jelas dan kurang didengari. malah ini juga memberi impak kepada gaya persembahan yang kurang meyakinkan. Maka, untuk menjadikan penyampaian itu kelihatan  berkesan dan meyakinkan, aspek yang diutamakan ialah suara yang lantang. 

Tetapi suara yang lantang itu janganlah sampai membawa kepada pecah suara atau menjadi sumbang akibat terlalu kuat atau terjerit-jerit sehingga suara terkucil. Suara yang sumbang juga akan menyebabkan markah ditolak kerana bunyinya tidak lunak dan sedap didengar. 

Suara yang bagus mestilah melengkapi ciri-ciri lontaran suara yang baik. Iaitu:
a. Kuat dan boleh didengari
b. Merdu dan sedap didengar
c. Mempunyai perubahan ton suara dan permainan suara antara tinggi dan rendah. Iaitu tidak          bernada rendah sahaja atau tidak bernada tinggi sahaja. 

7.  Pemakaian
Pemakaian atau kostum semasa persembahan bergantung kepada syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh penganjur. Sebolehnya, sebelum meyertai pertandingan, baca dulu syarat-syarat dan peraturan penganjur sama ada perlu memakai kostum bertema atau tidak. 

Sekiranya pemakaian kostum mampu menyumbang markah, pastikan pendeklamasi telah menyiapkan kostum yang lengkap dan menyerlah agar pendeklamasi tidak berasa segan dengan peserta lain yang berpakaian hebat pada hari pertandingan. 

8. Gaya yang terlalu kurang/berlebihan

Gaya persembahan atau bahasa badan juga penting dalam menyampaikan isi sajak. ini sedikit sebanyak dan membantu penonton memahami dan menghayati isi sajak dengan lebih mendalam. 

Biasanya, gaya persembahan yang berkesan adalah gaya yang bersahaja dan tidak dibuat-buat. Gaya terlalu kurang atau yang terlalu berlebihan akan menyebabkan markah dipotong. 

Ramai yang tidak faham dan selalu menyangka bahawa, semakin banyak gaya, maka semakin banyak markah akan diperolehi. Sebenarnya tidak. Gaya yang bagus adalah gaya yang mencapai maksud isi persembahan dan ini tidak memerlukan gaya berlebihan sehingga kelihatan menjengkelkan penonton dan para hakim. 

Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimanakah ingin membuat gaya persembahan yang baik dan boleh mencuri hati penonton? dari pengalaman yang saya lalui, untuk mendapatkan gaya yang baik, mestilah datang dari ikhlas kita sendiri. Maksud saya, kita perlu benar-benar menghayati isi maksud sajak tersebut dengan sedalam-dalamnya sebelum disampaikan kepada penonton. 

Sajak adalah puisi yang menggunakan bahasa yang sukar difahami, untuk memahamkan penonton, kita perlu faham dahulu isi sajak tersebut dengan sedalam-dalamnya. Barulah penonton dapat menghayati persembahan kita melalui gaya yang disampaikan dalam sajak tersebut. 

9. Akhir Sekali, Banyakkan Latihan
Itu sahaja 8 kesilapan dapat saya senaraikan dan perlu  diperbetulkan oleh seorang penyajak untuk menjadikan sajak yang disampaikan berkesan dan memuaskan, Pendeklamasi perlu memperbetulkan kesilapan yang telah biasa dilakukan oleh pendeklamasi amatur dan banyakkan latihan untuk menjadi penyajak yang baik. Di sini saya letakkan beberapa sajak murid saya untuk dijadikan rujukan. 





Thursday, June 9, 2016

Kek Coklat dan Sebuah Pengalaman Baru

Assalamualaikum semua 
Salam Ramadhan diucapkan. Sempena hari baik dan bulan baik ini,  saya ingin berkongsi bersama semua pembaca pengalaman berniaga yang pada mulanya sekadar suka-suka,  kini berubah kepada suatu bidang yang ingin saya bawa dengan serius. 

Minat membakar kek
Saya suka memasak.  Begitu juga dengan minat membuatkek.  Masih ingat zaman kecil dulu,  kemahiran ibu saya berniaga selalu saya jadikan sandaran.  Selain memasak,  ibu saya juga pandai membakar kek dan kek yang dibuatnya sangat lembut dan sedap.

Ibu saya pernah berniaga bahulu juga sebelum memulakan bisnes nasi lemaknya.  Maka penuhlah rumah kami yang kecil itu dengan timbunan bahulu pelbagai perisa.  Setelah berpindah,  ibu bertukar bidang bisnes kepada nasi lemak pula.  Namun,  kemahirannya itu tidak ditinggalkan begitu sahaja.  Saya sering memujuk beliau supaya mengajar saya cara membuat kek,  dan beliau menunaikan hasrat saya.



Namun, satu-satunya kek kesukaan saya iaitu kek coklat tidak dapat ditunaikan. Ibu saya tidak menggemari kek coklat sedangkan itulah kek kesukaan saya. 

Menjual kek coklat

Dari situ timbullah idea saya untuk menjual kek saya yang suka iaitu kek coklat.  Dan akhirnya saya jatuh hati dengan kek coklat kukus.  Mudah dibancuh dan rasanya pon sedap.  

Untuk pengalaman ini,  saya ucapkan ribuan terima kasih kepada suami yang banyak memberikan sokongan.  Tak lupa juga ibu saya sebagai inspirasi hati dan kak rohayu selaku pelanggan yang pertama. Beliau rajin menempah kek saya sehingga saya berani untuk terus melangkah dalam bisnes ini.  




Cheesekut dan cheesekut tiramisu

Kami jua menjual cheesekut dan cheesekut tiramisu pada harga yang sangat berbaloi. Anda pernah rasa cheesekut?  Kalau belum bolehlah cepat-cepat buat tempahan.  Jika dah,  sudilah beli lagi.  Memang sedap tau.. Yummm.. 





Kepada sesiapa yang ingin menempah dan berada di sekitar Muar dan Klang,  anda bolehla menghubungi saya melalui whatsapp 0175343445 atau sms dan call pada nombor ini Siti :0197983507.  

Anda juga boleh follow dan like:
facebook page https://m.facebook.com/Pinggansiti/ 
instagram
https://www.instagram.com/p/BGYYnMUuBaA/

Thursday, April 14, 2016

ARTIS TIDAK MAHU ADEGAN BERSENTUHAN: SUATU FENOMENA YANG BAIK

Sejak akhir-akhir ini begitu ramai artis Malaysia mengeluarkan kenyataan uang mereka tidak mahu melakukan adegan bersentuhan dalam lakonan mereka.  Antaranya ialah pelakon Izzue Islam,  Syahrul Ridwan,  Janna Nick,  dan Nabil Ahmad.  Kita harus memberi pujian kepada mereka.  Dalam masa yang sama juga,  begitu ramai artis wanita yang berhijrah dan memilih untuk menutup aurat.  

Dari kaca mata saya sebagai rakyat marhein yang melihat kepada fenomena ini,  perkara ini adalah suatu fenomena baru yang sudah lama sepatutnya kita lakukan sebagai muslim.  Sudah sampai masanya pengarah dan penerbit membuka fikiran bahawa negara ini adalah negara Islam dan secara fitrahnya,  kita sebagai seorang muslim tidak mahu menderhakai Allah dan jiwa masyarakat muslim itu terseksa apabila tidak mentaati perintah Allah.  

Sudah banyak pengalaman yang negara kita lalui,  pelbagai masalah sosial yang dihadapi,  kita tidak dapat menafikan bahawa sebagai sebuah negara Islam,  kita perlu menghayati cara hidup Islam secara total,  dan bukannya separuh-separuh.  Akuilah bahawa tiada istilah 'sekular' dalam Islam meskipun dalam industri hiburan. 

Kita perlu mencontohi filem-filem dari negara-negara Islam seperti filem dari Iran bahawa tidak perlu melakukan adegan bersentuhan antara bukan muhrim hanya untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan.  Banyak cara lain untuk mengekspresikan lakonan tanpa bersentuhan.  Dalam dunia realiti,  nak pegang-pegang abang sendiri pun geli. Bagaimana pula jika diminta bersentuhan dengan orang asing. Banyak sudah filem Melayu yang mempamerkan 'aksi berani' tapi masih tidak memenangi apa-apa anugerah. 

Kepada para karyawan,  marilah kita sama-sama berfikir.  Apakah nilai karya anda kepada masyarakat jika daripada karya itu,  masyarakat hanya belajar bagaimana untuk menjadi jahat, bagaimana hendak membuli orang lemah,  dan bagaimana untuk mengambil kesempatan dan bersikap zalim.  Kenapa tidak menonjolkan watak antagonis yang ingin bersaing dengan watak hero/heroin untuk menjadi yang terbaik dengan cara yang baik?? Kita perlu ingat,  Allah suka dengan hamba-hambaNya yang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan.  

Tuesday, September 29, 2015

Kemahiran Teknik Memasak

Assalamualaikum,


Sebelum ini saya telah berkongsi dengan pembaca mengenai ASAS DALAM MASAKAN. Kali ini saya ingin membincangkan topik yang sama, mengenai kemahiran memasak, tetapi dalam versi yang lebih ekstrem.

Dalam usaha melengkapkan diri kita dengan pengetahuan dalam ilmu masakan, ada beberapa kemahiran yang perlu diambil perhatian iaitu teknik memotong, mengupas, dan mengawal api.

Teknik ini memerlukan latihan yg panjang dan lebih kerap untuk memastikan anda boleh melakukan teknik-teknik ini dengan cekap seperti video-video yang saya tunjukkan.

Sebelum anda menyaksikan video-video ini, suatu amaran dan nasihat dari saya supaya anda tidak meniru aksi-aksi tersebut kerana boleh mengundang kemalangan.

1. Teknik memotong

Video ini menunjukkan kemahiran memotong makanan yang sangat cekap. Kebanyakkan mereka yang mampu melakukan aksi ini adalah peniaga, pekerja restoran, dan chef. Keterbiasaan mereka dalan menyediakan makanan dalam kuantiti yang besar menghasilkan kemahiran yang luar luar biasa seperti yang anda lihat ini. 

2.Mengawal api

Teknik kawalan api yang baik boleh menghasilkan makanan dalam masa yang singkat. 

Wanita dalam video ini didapati berani mencelupkan tangannya dalam minyak yang panas. Ini menunjukkan wanita ini telah mahir dalam mengawal api masakan dengan baik.

3.Mengopek/ pengupas bahan

Teknik mengupas buah tanpa menggunakan pisau pengupas.


Teknik mengupas nenas yang jarang kita lihat.


Risiko Kecederaan Yang Tinggi

Disebabkan mereka yang memasak ini mempunyai kemahiran yang tinggi, maka risiko kecederaan adalah kurang berbanding mereka yang kurang berpengalaman. Kerana itu, saya nasihatkan sekiranya anda ingin meniru aksi ini, lakukannya dengan perlahan-lahan kerana kemahiran ini tidak dapat dibina dalam masa sehari, sebaliknya setelah melakukan dengan kerap dan beratus kali.

Inilah adalah contoh kesan kemalangan yang akan berlaku sekiranya kita tidak berhati-hati.





Sebagai persediaan sekiranya berlaku kecederaan, beberapa bahan ini perlu disediakan di dapur sebagai langkah berjaga-jaga.

1. Colgate ( sapukan pada tempat yang melecur)
2. Curahan air paip ( mengurangkan kesakitan akibat melecur)
3. Handyplast/ Astoplast (membalut luka kecil)
4. Getah / kain bersih (diikat supaya menghalang peredaran darah ke tempat luka)



     

Wednesday, September 16, 2015

Sajak 'Peraturan'

Assalamualaikum..

SELAMAT HARI MALAYSIA diucapkan kepada seluruh warganegara Malaysia. Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin bawakan semula sebuah sajak yang pernah saya sampaikan 6 tahun yang lalu dalam sebuah pertandingan sajak di Akademi Pengajian Melayu. Saya cukup optimis dengan sajak ini kerana setiap kali saya menontonnya semula, saya dapat merasai betapa kita sebagai rakyat Malaysia begitu mendambakan keadilan dan kebenaran tertegak di bumi Malaysia ini. Ini adalah cebisan luahan rasa yang saya bawakan daripada sajak yang dicipta oleh seorang insan yang benar-benar peduli tentang situasi negara tercinta kita ini. Selamat menonton.



PERATURAN

Saudaraku,
Hari ini kita mewarisi
Undang-undang orang-orang putih
Yang kita agung di muka pengadilan
Yang kita junjung tinggi melangit
Bagai menurut perintah sultan

Saudaraku
Kau dengarkah gendang bertalu?
Menyambut kemenangan dengan sorak
Dari kerabat birokrat
Seakan mengejek muka-muka penderita
            Yang bodoh dalam mengutarakan hujah saintifik
            Yang jahil dalam menegakkan panji keadilan
            Yang lemah dalam pertarungan bicara
           
Seorang petani tua di sawah sekangkang kera
Seorang penoreh getah di estet dengan pohon tua, dan
Seorang nelayan di tengah samudera bertemankan hidupan marin
Itulah mangsa mereka!

Saudaraku
Tidakkah kau lihat peraturan telah memenjarakan kita?
Menghalang kita dari melakukan kewajiban
Mengurung kita dalam satu kelompok yang jauh dari dunia luar
Ya, kelompok yang tidak mengerti akan peradaban bangsa moden

Saudaraku
Mereka menolak peraturan dengan kekuasaan
Mereka menukar akal sihat kepada keedanan
Mereka perdagangkan maruah dengan harta
Mereka sembunyikan birokrasi di balik demokrasi

Saudaraku
Apakah tembok keadilan semakin runtuh
Dipecahkan oleh suara yang menggunakan retorik
Dengan gaya bahasa metafora, simile, dan personafikasinya
Apakah kita bias menguburkan kuasa
Tanpa nisannya
Agar tiada tanda yang boleh dijejaki pewarisnya

Saudaraku
Ekonomi dualisme dengan liberalisasi telah menghukum kita
Harga tinggi melambung barang jatuh ke gaung
‘kuantiti bukan kayu pengukur lagi’
Alasan yang cukup menjijikkan!!!!
Globalisasi merubah segala
Tiada lagi sempadan Negara, bangsa juga agama!!
Bebas sebebas-bebasnya
Layaknya garuda yang meluncur laju di angkasa
Memecahkan tradisi dasar tutup pintu
Juga mencemarkan budaya yang kita miliki

Pasti suatu hari nanti
Kita akan bergari
Hanya dengan suara-suara lantang
Seorang peguam yang hebat pidato
Maka,
Tak terkejar lagi keadilan
Lelah menyusur kita dalam pertarungan waktu.