Thursday, August 30, 2012

5 SEBAB MALAYSIA ADALAH TEMPAT YANG TERBAIK


1. MALAYSIA SEBUAH NEGARA YANG AMAN
Jika hendak dibandingkan dengan tempat lain, Malaysia jauh lebih baik kerana kawasan yang terkecuali daripada garisan gempa bumi mahupun gunung berapi. Malah masyarakatnya hidup secara harmoni. Kita jarang lihat rusuhan mahu pun pergaduhan besar-besaran yang berlaku di Malaysia. Tentera belum pernah mengambil alih kuasa pemimpin kita. Walaupun terdapat perselisihan kecil, tetapi mereka masih hidup saling hormat-menghormati. Siapa sangka kan, bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll masih boleh tinggal 'sebumbung'??


2. SEBUAH NEGARA ISLAM YANG BERKEMBANG PESAT
Perkara ini menjadi sebab utama mengapa pelajar Sarjana dari Timur Tengah berduyun duyun datang ke sini menyambung pengajian mereka. Sudahlah negaranya aman, Malaysia juga dinobatkan sebagai sebuah negara Islam yang berkembang maju berbanding negara lain. Kesederhanaan dalam kehidupan dan keterbukaan menerima kesaksamaan hidup dengan warganegara yang non-muslim menjadi suatu tarikan dan memiliki keunikan yang tersendiri. Ya, tidak dinafikan hukum dan undang-undang Islam tidak dijalankan secara sepenuhnya di sini. Saya yakin mesti ada sebab tersendiri kenapa hukum hudud sukar dilaksanakan di negara ini. Namun, itu bukanlah penghalang bagi masyarakat muslim untuk menjalankan kegiatan keagamaan di Malaysia. Malah kedudukannya semakin teguh berbanding semasa awal kemerdekaan. Kegemilangan Islam di Sepanyol pada suatu ketika dahulu digambarkan melalui kebudayaan Islam yang menjadi pengaruh besar di Sepanyol termasuklah penduduk Kristian yang tinggal di sana pada suatu ketika dahulu. keharmonian yang ditonjolkan sehingga anak-anak muda beragama Kristian mampu berbahasa Arab dengan baik dan fasih. Begitulah keadaannya masyarakat majmuk yang tinggal di Malaysia.


3. KEINDAHAN KAWASAN TROPIKANYA
Kedudukan Malaysia sebagai kawasan Tropika yang terletak didalam garisan khatulistiwa menjadi sebab utama mengapa Malaysia sesuai menjadi sebuah destinasi pelancongan yang baik. Saya percaya ramai daripada kita yang mempunyai keinginan untuk melancong ke luar negara, tetapi rakyat asing pula sibuk mencari destinasi pelancongan beriklim tropika seperti negara kita. Cuma apa yang saya dan ramai lagi masyarakat kita kesalkan ialah, kebersihan yang tidak dijaga dengan sebaiknya di kawasan pelancongan ini. Untuk menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan, kebersihan harus diutamakan dan ini tidak sepatutnya diletakkan dibawah tanggung jawab kerajaan sahaja, kita juga perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini.

4.SENI DAN KEBUDAYAANNYA
Keunikan kebudayaan Malaysia juga merupakan tarikan yang di negara ini. Bagi saya keunikan seni dan kebudayaan di Malaysia berjaya ditonjolkan melalui persembahan tarian zapin di Istana Budaya. Saya masih ingat lagi 'Gema Zafana' yang pernah dianjurkan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2004 telah banyak menarik minat pelancong luar untuk datang ke Malaysia semata-mata ingin menonton keunikan tarian ini. Malah artis budaya negara kita juga telah beberapa kali memenangi pertandingan World Championships of Perfoming Arts (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat.


5. SISTEM SOSIAL YANG BAIK.
Kebebasan rakyat untuk hidup secara sama rata menjadikan jurang sosial di kalangan kelas bawahan dan kelas atasan tidak begitu ketara. Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk membasmi kemiskinan sedikit demi sedikit sudah semakin menampakkan hasilnya. Malah saya sendiri turut merasakannya apabila kebanyakan rakan saya mula memasng impian bukan sahaja untuk melanjutkan pelajaran di peringkat 'degree', malah di peringkat 'master' dan 'PHD' juga. Ini adalah suatu petanda yang baik menunjukkan masyarakat kita mula berfikiran jauh.


Inilah 5 faktor mengapa Malaysia adalah sebuah negara yang strategik. Walaupun saya bukanlah orang yang mempunyai minat dalam bidang politik, tetapi saya sayangkan MALAYSIA saya. Saya tidak mahu sesiapa pun merampas keamanan yang sedang kita perolehi sekarang ini. Sebagai seorang anak jati di tanah air tercinta ini, saya mendoakan semoga Malaysia terus maju dan harum di mata dunia, InsyaAllah..SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-55..



Friday, August 24, 2012

Aidilfitri 2012

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Aidilfitri..^_^
Alhamdulillah..setelah sebulan kita berpuasa melawan nafsu zahir dan batin, hari ini adalah hari yang bermakna apabila kita disunatkan untuk meraikannya sepertimana diri kita telah diampunkan oleh Allah seolah-olah kita kembali kepada keadaan fitrah asal kita seperti bayi yang baru lahir..

          Terdapat adab-adab yang telah digariskan dalam Islam menyambut hari yang bermakna ini. Antaranya ialah:
1) Mandi sunat Hari Raya
2) Makan sebelum ke masjid
3) Bertakbir membesarkan Allah
4) Ucapan tahniah dan ucapan-ucapan yang baik, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman
5) Memakai pakaian baru dan cantik
6) Pulang dari masjid melalui jalan yang berbeza semasa pergi ke masjid.

          Tahun ini, saya sempat meraikan hari yang berbahagia ini bersama ibubapa tercinta juga adik-beradik   di rumah kami pada tahun ini..syukur..Alhamdulillah..semuanya indah..cuaca yang bagus, kesihatan yang baik, makanan yang sedap-sedap, pakaian yang serba baik dan rumah teratak kami yang dihias seadanya sekadar yang kami mampu..

          Bukan mudah untuk mengumpulkan seluruh keluarga terutama keluarga besar seperti kami..maka, detik-detik beginilah yang sering kami rebut untuk menikmati kenangan indah bersama..kini sudah masuk raya kelima, ramai orang sudah kembali kepada kehidupan masing-masing, tetapi jangan lupa, bulan syawal masih ada 25 hari lagi..hargailah dengan berkunjung ke rumah sanak saudara dan kenalan..eratkan kembali tali persaudaraan..sekali lagi diucapkan kepada pembaca semua SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI..MAAF ZAHIR DAN BATIN..minal aidi wal faizin..(^_^)




Thursday, August 2, 2012

KEPINGAN SIKAP

Masihkah aku 
Akan bergelumang
Di tengah-tengah hancur hati
Kepingan sikap bertabur jadi
Manusia yang berselimut alpa diri
Tidak upaya mara tinggi
Akan rebah sebelum garis tiba nanti


Sesekali keping-keping itu
Dapat kutangkupkan bersatu
Doaku menaruh harapan
Kejapnya berkekalan
Kepingan itu pun elok terbentuk
Tidak goyah liuk lentuk
Tidak retak oleh khianat
Tidak bertabur oleh hasad
Tidak serpihan kekal serpihan
Keping-kepingannya tidak sehaluan


Sekali pecah
Akan dua kali kutangkup
Berapa kali pun pecah
Akan kutangkup dan kutangkup
Kutangkup indah agar tidak terlingkup
Sungguhpun beribu-ribu kali
Hajatku mereka bentuk diri
Retaknya tidak terlipat kembali
Tubuh dan jati diri jelas disayangi


Kangar, Perlis 
8 Ogos 1999

Saturday, July 28, 2012

SYAIR-SYAIR HAMZAH FANSURI

Hamzah Fansuri adalah merupakan ulama' tasawuf yang terkenal pada zaman kesultanan Acheh pada suatu masa dahulu. Tarikh lahir dan meninggalnya tidak dapat dipastikan namun zaman mudanya aktif semasa pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah (1589-1609) di Acheh. Beliau merupakan ahli sufi yang berfahaman 'Wahdatul wujud'. Selain berperanan sebagai ulama', beliau juga aktif dalam bidang sastera melalui karya-karyanya. Antaranya ialah Syair Dagang, Syair Perahu, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pinggai
           Dalam fahaman tasawuf, Hamzah Fansuri mengajak pengikutnya mengenal ilmu syariat dan hakikat. Seterusnya beliau menganjurkan pengikutnya supaya mengekang nafsu syahwat supaya tidak menuju ke arah kesesatan serta demi mencapai taraf seorang sufi. Perkara ini jelas dalam karya puisinya seperti berikut:

Syariat Muhammad ambilkan suluh, 
Ilmu hakikat yugiakan pertubuh, 
Nafsumu itu yugia kau bunuh,
Makanya dapat sekalian luruh.

Mencari dunia berkawan-kawan,
Oleh nafsu habis engkau tertawan,
Nafsumu itu yugia kau lawan, 
Mangkanya sampai engkau bangsawan.

 Antara konsep tasawuf lain yang ditonjolkan dalam karya puisinya seperti berikut:

Dengarkan sini hai anak ratu,
Ombak dan air asalnya satu,
Seperti manikam muhith dengan batu,
Inilah tamsil engkau dan ratu.

              Dalam rangkap tersebut, Hamzah menjelaskan bahawa roh manusia ini berasal daripada Allah dan kepada Allah jua roh itu akan kembali. dengan membuat perbandingan antara perbandingan antara pembaca dengan ratu, yang menjadi simbol kepada Allah, hubungan kedua-dua itu seperti hungan air dan ombak yang berbeza pada gambaran zahirnya tapi kedua-duanya pada hakikatnya mempunyai asal yang sama.


Wednesday, July 18, 2012

BAHANG RAMADAN KIAN TERASA~

Lagi dua hari sahaja Ramadan akan menghampiri kita..Seperti yang lainnya, saya juga tidak sabar menyambut bulan yang penuh barakah ini dengan rasa teruja dan gembira..ini kerana dalam bulan inilah kita dapat melatih diri kita untuk beribadah dengan sebanyak-banyaknya..harapnya saya masih masih lagi diberi peluang dan kekuatan bagi mengerjakan solat terawih secara berjemaah di masjid seperti Ramadan yang sebelum ini. Budaya di bulan ini juga agak berbeza berbanding bulan2 yang lain kerana setiap petang kite akan sibuk mencari juadah berbuka atau memasak pelbagai hidangan untuk berbuka bersama keluarga.. indahnya bulan ini..

Kepada semua para pembaca yang beragama Islam, selamat menunaikan ibadah puasa, semoga di bulan mulia ini, segala dosa kita diampunkan serta semoga dapat kite meningkatkan amalan kite kepada yang lebih baik..Ramadan Kareem..(^_^)

Friday, July 13, 2012

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2012

Pejam celik- pejam celik, malam ini adalah malam terakhir berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-54 (2012), suka dan dukanya majlis ini turut saya rasai kerana sudah tiga tahun saya menjalankan kajian terhadap penganjuran pertandingan ini. Saya mengkaji sejarah dan tokoh-tokoh tilawah yang masyhur di negara ini, penganjur utama majlis ini iaitu JAKIM, dan saya soroti situasi di belakang tabir sepanjang majlis berlangsung.

           Sungguh mengagumkan, dan saya pasti ramai dari kalangan kita yang tidak tahu bahawa Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) ini adalah sebuah pertandingan yang julung-julng kalinya dadakan oleh sebuah negara Islam. Malaysia merupakan negara pertama yang mengasaskan penganjuran pertandingan ini di peringkat antarabangsa dan jangan tidak tahu, program ini sangat masyhur di peringkat dunia kerana 81 negara telah menghantar wakil mereka untuk menyertai pertandingan yang penuh berprestij ini.

           Sewaktu saya mewawancara Ustaz Radzi Kamarul Hailan (Johan Qari MTQA 2000 dan 2004), beliau menceritakan pengalaman beliau menyambut kemeriahan program sewaktu beliau masih kecil lagi.

            "Saya membesar dalam suasana pertandingan tilawah al-Quran ini menjadi suatu fenomena hebat di Malaysia. Pada watu itu, program ini sangat terkenal dan mendapat sambutan oleh masyarakat Malaysia seperti program realiti Akademi Fantasia yang kita lihat pada hari ini. Sesiapa yang tidak mengikuti perkembangannya akan dianggap ketinggalan zaman.."

             Begitulah hebatnya penangan MTQA pada suatu masa dahulu. Tetapi jika kita lihat pada hari ini, program sebegini kurang mendapat perhatian oleh masyarakat khususnya golongan muda. Benarkah program tidak mendapat perhatian? atau sebenarnya kita tidak mengetahui program ini sebenarnya masih ada pengikut dan penontonnya yang tersendiri, tetapi hanya ditenggelami oleh media massa yang sering mempromosikan aktiviti yang berunsur hiburan? Mungkin ada kesilapan di sini yang kita perlu cari dan gilap kembali. ini kerana program MTQA ini bukanlah program yang calang-calang. Johan Qari dan Qariah yang dinobatkan pada setiap tahun akan diiktiraf dunia kerana mereka dihakimi oleh pakar-pakar taranum dan qiraat yang masyhur. Mungkin sedikit inovasi baru perlu ditekankan oleh pihak penganjur dengan usahasama media massa untuk mengetengahkan kembali program ini agar menjadi lebih segar dan menarik masyarakat di dalam dan luar negara.

             Di sini saya sisipkan beberapa gambar kenangan selama tiga tahun saya menyaksikan MTQA ini secara langsung di PWTC. Suatu pengalaman yang sungguh cukup bermakna buat saya..=)

MTQA 2010
Peserta luar negara tidak melepaskan peluang untuk bergambar.
MTQA 2011
Memetik bunga sebagai kenangan..
Sempat bergambar dengan Hafiz Hamidun selaku pengulas

MTQA 2012 (terbaru)
Bergambar bersama ajk MTQA bhgn Kementerian Penerangan
Para pengacara MTQA