Monday, July 2, 2012

CINTA DARI PERSEPSIKU..

CINTA... Sedar atau tidak sedar, perkataan inilah yang sering kita ungkapkan dalam kehidupan seharian. Tapi mungkin dalam perkataan yang berlainan seperti sayang, suka, minat, kasih, rindu, dan idam. Semua perkataan itu masih menggambarkan ada cinta dalam hati seseorang. Cinta boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja sama ada dalam bentuk fizikal atau meta-fizika. Ianya berkait rapat dengan perhubungan antara manusia dengan Tuhan,  sesama manusia dan dengan alam ini. Cinta positif yang tulus ikhlas dari hati  digelar dengan pelbagai nama seperti cinta suci, cinta sejati dan cinta abadi. Cinta sebegini bersifat tulen dan bukan palsu atau dibuat-buat, malah bersifat kekal dan sentiasa memberi.Cinta negatif pula terdapat gelarannya yang tersendiri seperti cinta buta, cinta palsu, cinta plastik dsb. Definisi ini saya bina sendiri ye..jangan kata saya copy paste tau..
 

            Cinta dari persepsi saya adalah suatu perasaan yang sangat indah... Rasa yang membahagiakan dan membuat kita rasa selamat serta dilindungi. Kerana sifat cinta itu melindungi, menghidupkan dan membahagiakan. Sifat cinta juga sentiasa memberi dan teramat indah apabila menerima. Cinta mampu memotivasikan saya dan kehilangannya amat memeritkan. Cinta saya tidak memaksa saya untuk berkorban, malah cinta menjadikan saya seorang yang setia. Setia kerana saya tahu nilai sebenar cinta itu dan rasa syukur kerana sentiasa diberi peluang merasai salah satu daripada nikmat kurniaan Allah s.w.t. Itulah anugerah rasa cinta yang Allah berikan kepada saya. Kadang-kala saya juga sedih dan kecewa setiap kali hubungan itu terputus, di hati terasa perit sekali kerana cinta saya tulus dan hubungan itu ada komitmen yang serius dan mendalam. Jika cinta saya plastik, saya sudah bergembira dengan perpisahan itu.
  
             Tetapi fokus cinta yang ingin saya bawakan dalam entry kali ini ialah cinta antara manusia sesama manusia. Cinta kepada Tuhan sudah tentu saya utamakan dan saya letakkan di tempat yang tertinggi. Cinta teragung! Tetapi cinta terhadap manusia inilah yang ingin saya dasari bersama para pembaca semua. Itupun ianya masih mempunyai pelbagai kategori. Cinta pada ibubapa dan keluarga adalah cinta kedua yang kita utamakan selepas Tuhan. Menghargai jasa mereka yang melahirkan, membesarkan, dan berkorban dengan segala bentuk sama ada material mahupun spiritual. Itu juga adalah sifat cinta. Cinta kepada sahabat juga adalah cinta murni di mana, dengan ukhwah dan persahabatan, maka terbinalah kehidupan yang harmoni dan aman damai atas persahabatn sesama manusia di muka bumi.

            Berlainan pula keadaannya dengan cinta kepada kekasih, inilah sebenarnya subtopik yang  ingin saya bawakan. Cinta ini melibatkan perhubungan antara dua manusia yang berlainan jantina iaitu lelaki dan wanita yang cukup matang dan sesuai pada usianya. Cinta ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk membina sebuah ikatan yang lebih bersifat kekal dan membiak serta direstui oleh semua pihak melalui ikatan yang sah iaitu perkahwinan. Perkahwinan itu penting bagi semua manusia bagi menjamin kesucian zuriat dan keturunan kita di masa akan datang. Sebab itulah adat perkahwinan telah lama wujud dalam semua agama dan semua bangsa. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat ayat 13:

             "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

            Ada juga cinta kepada kaum sejenis atau cinta kepada mahramnya sendiri dan saya kira cinta sebegini adalah haram dan jelas ianya songsang. Hidup dalam masyarakat yang pelbagai ragam ini pasti ada berlakunya cinta yang tidak diluar jangkaan dan kebiasaan (tabi'i) seorang manusia. Cinta sebegini tidak diterima oleh mana-mana agama. Kita mohon perlindungan Allah agar dijauhkan dari perkara-perkara yang sebegini. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, sedarlah anda perlu kembali kepada norma kehidupan yang asal dan bercintalah pada jalan yang betul.
Gambar dari Filem 'Ayat-ayat Cinta'

            Persoalannya di sini ialah KESETIAAN. Adakah kesetiaan itu asas dalam percintaan? Atau KEJUJURAN yang lebih penting? KESETIAAN atau KEJUJURAN?? hmmmm.....jika kesetiaan itu adalah lambang atau nadi yang menghidupkan cinta, tidaklah Allah membenarkan Nabi Muhammad s.a.w. itu berkahwin ramai..tidaklah poligami itu dibenarkan di dalam Islam. Tidaklah ada budaya polyandri itu ada dalam budaya sesetengah masyarakat. Sudah tentulah kejujuran itu lebih penting kerana kejujuran itu membina kepercayaan. Kepercayaan itu pula adalah asas kepada sesuatu perhubungan. Dan apabila hubungan itu terbina dengan baik berlandaskan kejujuran, maka soal kesetiaan atau kecurangn tidak lagi timbul kerana hubungan yang dibentuk dengan baik tidak akan membiarkan sesuatu yang tidak baik mengganggu kekukuhan perhubungan itu. Malah ianya tidak akan goyah. Poligami bukanlah perkara yang tidak baik. Tetapi masyarakat kita yang beragama Islam ini selalu mempergunakannya dengan cara yang tidak baik sehingga mentaliti wanita muslim pada hari ini membayangkan poligami ialah suatu perkara yang tidak baik.
 
            Berdepan dengan dunia akhir zaman ini, kecurangan dalam perhubungan antara pasangan adalah perkara biasa. Ini kerana struktur sosial yang tidak baik sering berlaku yang akhirnya melahirkan pelbagai gejala sosial. Saya masih ingat kata-kata Dr. Mohd Kamil  iaitu Ketua Pensyarah APIUM yang menceritakan keadaan dirinya yang menjadi rujukan masyarakat yang bertanyakan pelbagai masalah kehidupan mereka. Beliau menyimpulkan semua masalah itu dengan mengatakan keadaan masyarakat kita pada hari ini nampak baik dari segi luaran, namun dalaman terdapat pelbagai masalah sosial yang sukar dirungkaikan ibarat sebuah tasik yang tenang, tetapi di dalamnya terdapat pelbagai haiwan yang berbahaya. Jika kita lihat kembali pengalaman Rasulullah s.a.w sewaktu israk mikraj, beliau melihat sekumpulan lelaki dan wanita memakan daging mentah yang busuk, sedangkan daging yang masak dan baik ada di sisi mereka. Jibril berkata" Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina, sedangkan mereka mempunyai suami dan isteri".

           Mengapa kita perlu memilih cinta yang tidak tulus?Mengapa zaman ini bila diberi pilihan yang baik, kita memilih pilihan yang tidak baik?sedangkan pilihan yang baik itu menguntungkan kita.Tetapi kita menempah cinta yang akan yang tidak telus dengan berkorban segala jiwa raga sedangkan cinta yang baik dan suci itu sedang menunggu kita. Kita sering bertanya 'Siapakah jodoh kita yang telah Allah tetapkan di laghmahfuz?'. Siapa Mrs. atau Mr. Right itu?? Hakikatnya kita tidak layak untuk mengetahui siapa dia kerana hakikatnya jodoh itu rahsia Allah..kita tidak layak mengetahui pemilik hati kita sekiranya cinta yang kita niatkan untuknya adalah cinta palsu dan penuh dengan berkepentingan..sama-samalah kita jernihkan kembali hati-hati kita..letakkan Allah sebagai sumber segala rujukan dan bersifat teluslah..insyaAllah hijab dari laghmahfuz itu akan terbuka..

Thursday, June 21, 2012

Cinta..(Coming soon)

Cinta adalah suatu perasaan yang pasti akan dilalui oleh setiap manusia. Manusia yang merasai cinta adalah manusia yang normal. Tapi apakah persepsi cinta bagi saya? saya akan jelaskan pada anda pada entry saya yang seterusnya..

Tuesday, June 19, 2012

Siapakah Wanita Itu?

Sajak 'Siapakah Wanita Itu' adalah sajak yang paling puitis dan paling bermakna yang pernah saya deklamasikan dalam hidup saya. Sewaktu membawa sajak ini ke pertandingan Festival Seni di UM dahulu (2009) bersama rakan-rakan KKTAZ, saya bawakannya dengan sepenuh hati kerana saya merasakan isinya adalah gambaran jiwa dan fahaman saya sebagai seorang wanita. Jika anda yang membaca entry ini juga adalah wanita, saya yakin anda juga turut merasakannya.. tetapi jika anda adalah lelaki, mungkin anda akan lebih memahami bagaimana jiwa wanita menerusi puisi ini. Saya bawakan kembali puisi yang pernah saya sampaikan ini untuk sama-sama kita hayati.. =)


SIAPAKAH WANITA  ITU?
OLEH: NORRIFFAH HIDAYATI IBRAHIM

Tulangnya bengkok
Tampak mudah dilentur, dipatah, diukir
Ciptaannya seni berhalus
Cinta yang tidak terperi
Istimewa buat adam yang sunyi berbicara sendiri

Hikayat ada mengisahkan
Indahnya bahasa
Luhurnya budi
Lenggok bahasa badannya
Mampu menggiur lelaki
Menjadi penyeri mimpi di setiap ketika

Neraka itu menjadi mata
Pembalasan diberi kepada penghuninya
Majoriti penghuni paling ramai di dunia
Masyhur dek mahkotanya yang bersinar
Bibirnya yang mungil sering menjamah daging saudara

 Alpa akan tanggungjawab seorang isteri yang setia
Semuanya bernama hawa
Menjadi penghuni yang dilaknati
Bersama noda bekalan di alam sementara
Lupa akan bekalan
Di alam abadi


Wanita itu
Terkenal dengan kasih sayangnya
Doanya lebih mustajab
Dek kasih sayangnya yang tidak terperi
Tapi mengapa
Mengapa ada insan yang tidak sempat melihat dunia
Belajar erti tatasusila yang sebenar
Dek kerana dibuang, dilempar
Digonggong anjing lapar yang bijaksana
Pelik
Tebalnya peri manusia wanita itu
Yang dicanang kasihnya
Mungkin setebal buku perundangan
Mungkin ya
Mungkin tidak.

 Khadijah yang dermawan
Aisyah yang ilmuwan
Sumayah si shahid yang tabah
Rabiatul adawiyah si sufi yang terbilang
Semuanya wanita ikutan  abadi
Pelik sekali lagi
Kenapa wanita alaf globalisasi
Tidak mampu mencontohi
Sedangkan hakikat penciptaannya dari asal yang serupa
Adakah kerana nama tidak seringkas mereka
Atau hidup kini tidak bertemankan pelita
Apa alasannya?
Hanya kita yang mampu menjawabnya

Gadis, dara, ibu, isteri, perempuan
Semuanya memberi definisi seerti
Semuanya adalah wanita
Wanita, wanita, wanita

Monday, June 18, 2012

BABI DAN ANJING: HINAKAH MEREKA??

Masih lagi saya ingat sewaktu saya mengajar murid cara bersuci daripada najis. Dan topik pada hari itu ialah najis mughalazah. Saya pon menerangkan seperti yang kita sedia maklum cara-cara untuk bersamak daripada najis berat ini. Kemudian datang   satu soalan kepada saya "Cikgu, apa hukum pegang babi ye?". Saya pon berkata "Tak apa, tak berdosa pun. Cuma kalau kamu dah tersentuh, kamu kena samak lah..". Mereka bertanya lagi "Tapi cikgu, bukan ke pegang babi tu haram??" Saya terkejut dengan pertanyaan itu "Siapa kata HARAM??" saya balas pertanyaan itu kembali.

                 Apabila persoalan ini keluar, saya mula teringat kata-kata Mantan Pengarah APIUM Prof Hidayat Buang sewaktu mengikuti kuliah beliau bersama pelajar asing. Beliau berkata dalam bahasa Inggeris dan Arab"Saya tidak faham kenapa masyarakat Melayu sangat bencikan babi dan anjing. Malah kalau di kampung, kamu adalah hero sekiranya kamu dapat bunuh seekor anjing. Padahal kita selalu dengar kisah seorang pemuda yang dijanjikan syurga kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kelaparan.. hanya disebabkan mereka perlu samak jika tersentuh, maka mereka merasa jijik dengan anjing..". Perlu difahami, meletakkan haiwan ini sebagai haiwan yang bernajis berat bukanlah bermaksud kite menafikan hak-haknya sebagai makhluk Allah. Tidak salah berbuat baik terhadap makhluk Allah, tetapi ketegasan Islam dalam menitik beratkan soal kebersihan perlu diambil perhatian kerana hal ini berkait rapat dengan hal ibadah.

Namun, terdapat hadis yang menceritakan keadaan di mana malaikat sukar memasuki rumah sekiranya terdapat anjing di dalam rumah itu. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
               "Tidak akan masuk para malaikat dalam rumah yang ada anjing, dan tidak juga yang ada patung."

         Hadis ini hadis sahih daripada Abu Talha al-Ansari, dikeluarkan oleh Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2106-5. (Kitab Pakaian dan Perhiasan, Bab Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing, gambar.......). Walau bagaimanapun, terdapat juga anjing yang disebut di dalam al-Quran iaitu Surah al-Kahfi ayat 22 yang menjadi peneman kumpulan al-Kahfi sewaktu mereka berada dalam keadaan bahaya..

Tuesday, June 12, 2012

Hiduplah Bermasyarakat

Dari hadis ibnu Umar radiallahu 'anhuma.

"Ertinya : Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan sabar terhadap kejahatan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak sabar terhadap kejahatan mereka"
 Hadis Sahih diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (2507), Ibnu Majah (4032), Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad (388), dan Ahmad (5/365).

Thursday, June 7, 2012

Nasib Si Anai-anai

Suatu pagi sewaktu ayah menghantarku ke IPG Kampus Ipoh menghadiri Kursus Dalam Cuti (KDC), ayah memulakan perbualan dengan satu teka-teki. "Binatang apa yang asalnya duduk dalam air, kemudian naik ke darat??". Aku termenung berfikir..tapi masih tak ketemu jawapan. Aku sememangnye lemah dalam bab teka-teki ni melainkan teka-teki yang sudah biasa aku dengar. Tapi teka-teki ayah aku ni biasanya jarang didengari, kerana die suka mencipta teka-teki yang tersendiri. "Tak tahu.." aku mengaku tewas. "Jawapannye berudu.." ayah merungkaikan persoalan dalam benakku. Kemudian die bertanya lagi "Binatang apa yang asalnya duduk dalam tanah, kemudian terbang, bila hilang haknya, die kembali jatuh ke tanah??" Satu lagi soalan ditujukan kepadaku. Aku rasa malas untuk berfikir kerana perjalanan ke IPG semakin dekat. Tak sabar ingin berjumpa dengan rakan-rakan di sana. "Ermmmm...tak tahula, ayah.." sekali lagi aku mengalah.

             "Jawapannya anai-anai.." ayah menjawab lagi. "Anai-anai ni kan berasal dari tanah?? kemudian die membesar dan mendapat sayap bila sampai masanya dan dia bolehlah terbang. Dia pun terbang sepuas-puasnya. Bila sampai masanya, sayapnye tercabut dan dia pun hilang hak untuk terbang. Maka jatuhlah die ke bumi. Macam tulah ibaratnye kita manusia ni.. Apa yang ada pada kita semuanya milik Allah. Tak ada satu pun yang milik kita sebenarnya. Dan bila sampai masanya Allah tarik balik nikmat yang Dia berikan pada kita, maka hilanglah hak kita terhadap nikmat itu. Dan kita tidak boleh sedih kerana nikmat itu sebenarnya bukan milik kita. Cuma nikmat tu telah dipinjamkan pada kita dan ditarik bila sampai pada masanya.." Maka tahulah aku rupa-rupanya ayah bukan ingin berteka-teki, tetapi ingin memujuk aku agar tidak bersedih dengan musibah yang sedang aku alami. Kerna apa yang aku miliki hari ini hanyalah pinjaman semata-mata. Kelak akan dipulangkan juga kepada Pemilik asalnya. Terima kasih ayah atas nasihat itu. Aku akan ingat sampai bila-bila...Setelah sampai, aku menuju ke kelas seperti biasa. Tetapi dengan perasaan sedikit berbeza dan tenang dengan bekalan teka-teki ayah tadi..

Thursday, May 31, 2012

Tafakur sejenak..

Hidup di dunia yang penuh pancaroba,
Ombak, badai dan gelombang yang tiba,
Tak kira masa,
Dengan pasang surut,
Bagaimana mahu tetapkan hati goyah ini agar kekal zuhud..??