Tuesday, June 19, 2012

Siapakah Wanita Itu?

Sajak 'Siapakah Wanita Itu' adalah sajak yang paling puitis dan paling bermakna yang pernah saya deklamasikan dalam hidup saya. Sewaktu membawa sajak ini ke pertandingan Festival Seni di UM dahulu (2009) bersama rakan-rakan KKTAZ, saya bawakannya dengan sepenuh hati kerana saya merasakan isinya adalah gambaran jiwa dan fahaman saya sebagai seorang wanita. Jika anda yang membaca entry ini juga adalah wanita, saya yakin anda juga turut merasakannya.. tetapi jika anda adalah lelaki, mungkin anda akan lebih memahami bagaimana jiwa wanita menerusi puisi ini. Saya bawakan kembali puisi yang pernah saya sampaikan ini untuk sama-sama kita hayati.. =)


SIAPAKAH WANITA  ITU?
OLEH: NORRIFFAH HIDAYATI IBRAHIM

Tulangnya bengkok
Tampak mudah dilentur, dipatah, diukir
Ciptaannya seni berhalus
Cinta yang tidak terperi
Istimewa buat adam yang sunyi berbicara sendiri

Hikayat ada mengisahkan
Indahnya bahasa
Luhurnya budi
Lenggok bahasa badannya
Mampu menggiur lelaki
Menjadi penyeri mimpi di setiap ketika

Neraka itu menjadi mata
Pembalasan diberi kepada penghuninya
Majoriti penghuni paling ramai di dunia
Masyhur dek mahkotanya yang bersinar
Bibirnya yang mungil sering menjamah daging saudara

 Alpa akan tanggungjawab seorang isteri yang setia
Semuanya bernama hawa
Menjadi penghuni yang dilaknati
Bersama noda bekalan di alam sementara
Lupa akan bekalan
Di alam abadi


Wanita itu
Terkenal dengan kasih sayangnya
Doanya lebih mustajab
Dek kasih sayangnya yang tidak terperi
Tapi mengapa
Mengapa ada insan yang tidak sempat melihat dunia
Belajar erti tatasusila yang sebenar
Dek kerana dibuang, dilempar
Digonggong anjing lapar yang bijaksana
Pelik
Tebalnya peri manusia wanita itu
Yang dicanang kasihnya
Mungkin setebal buku perundangan
Mungkin ya
Mungkin tidak.

 Khadijah yang dermawan
Aisyah yang ilmuwan
Sumayah si shahid yang tabah
Rabiatul adawiyah si sufi yang terbilang
Semuanya wanita ikutan  abadi
Pelik sekali lagi
Kenapa wanita alaf globalisasi
Tidak mampu mencontohi
Sedangkan hakikat penciptaannya dari asal yang serupa
Adakah kerana nama tidak seringkas mereka
Atau hidup kini tidak bertemankan pelita
Apa alasannya?
Hanya kita yang mampu menjawabnya

Gadis, dara, ibu, isteri, perempuan
Semuanya memberi definisi seerti
Semuanya adalah wanita
Wanita, wanita, wanita

No comments:

Post a Comment