Thursday, March 12, 2015

TIPS BEKERJA SAMBIL BELAJAR

Kerja memang memenatkan, tambahan pula jika kita sedang menyambung pengajian. Saya pernah mengalami situasi ini apabila saya terpaksa buat banyak perkara penting dalam masa yang sama. Dalam sibuk saya bekerja, saya menyambung pengajian master saya. Sungguh serabut dan hampir-hampir berputus asa, namun atas nasihat dan panduan daripada seorang kenalan saya yang bijak pandai, akhirnya saya dapat menyelesaikan dua perkara besar dalam hidup saya dalam masa yang sama. Mendapat KERJA TETAP dan MEMPEROLEH IJAZAH. 
Bagaimana caranya? Di sini saya senaraikan sedikit tips sebagai pandun bagi mereka yang ingin menyambung pengajian sambil bekerja.

1) KEINGINAN YANG TINGGI
Untuk melakukan dua perkara ini, anda harus mempunyai keinginan yang tinggi. Bekerjaya dan belajar. Anda tidak boleh mengabaikan salah satunya. Kedua-duanya sama penting bagi anda. Ini kerana kedua-dua perkara ini mempunyai banyak cabaran, hanya keinginan anda yang kuat mampu membantu anda. 

2) KOMITMEN TERHADAP RUTIN HARIAN
Jika anda bekerja di sebelah siang, anda perlu meluangkan masa untuk belajar dan menyiapkan assignment pada sebelah malam. Anda harus melakukannya setiap hari walaupun sedikit. Sedikit lebih baik daripada anda tidak melakukannya langsung dalam 1 hari. Biasanya masalah yang berlaku, bila anda tidak melakukan 1 hari, anda akan mula 'liat' untuk melakukannya pada kali kedua dan ketiga, akhirnya kerja-kerja assignment anda menjadi tertangguh lama. Lakukannya setiap hari walaupun sedikit, yang penting setiap hari mesti ada kemajuan.

3)SANGGUP BERKORBAN MASA, TENAGA DAN ORANG TERSAYANG
Anda terpaksa korbankan masa rehat anda dengan pergi ke library pada hujung minggu, anda perlu keluar berurusan pada waktu kerja dan anda terpaksa dahulukan wang simpanan anda sebelum mendapat pembiayaan. Begitulah masalah yang sering berlaku. Kadangkala hidup anda yang terlalu sibuk menguji kesabaran orang di sekeliling anda, terutamanya orang yang anda sayangi. Pada masa ini kesabaran dan ketahanan mental amat perlu untuk diri anda dan orang di sekelilng anda.

4) WANG YANG MENCUKUPI
Kebanyakan pelajar yang menyambung pengajian akan mendapat tajaan biasiswa sama ada dari universiti, juga pinjaman badan kerajaan atau swasta. Walaupun begitu, sama ada anda mendapat tajaan atau tidak, anda perlu bersedia dengan wang yang secukupnya untuk kegunaan di saat kecemasan. Ini kerana, kebanyakan perbelanjaan akan didahului dengan wang anda terlebih dahulu, kemudian barulah akan di'claim'.

5) SASARKAN JANGKA MASA PENGAJIAN
Anggarkan berapa tahun pengajian yang ingin anda jalani dan rancang perjalanan pengajian anda sepanjang tahun itu, pastikan anda mengikut apa yang telah anda rancangkan. 

Jika semuanya telah anda fahami dan anda sudah bersedia untuk itu, sekarang anda bolehlah mengisi borang permohonan yang boleh dicari di laman web universiti-universiti pilihan anda. 

SELAMAT MENCUBA!

Friday, March 6, 2015

Transformasi Hijab di Malaysia

Suatu yang tak dijangka sepanjang menuju tahun 2020, fesyen tudung kini menjadi suatu fenomena di seluruh negara. Bukan saja dipakai oleh rakyat marhein, malah artis dan selebriti juga kebanyakannya sudah mula berhijab. Topik entri kali ini yang ingin saya kupas ialah bagaimana bermulanya trend hijab di kalangan muslimah di Malaysia.

Suatu masa dahulu tudung janggal kedengaran di zaman 60-an kerana kebanyakan dari mereka tidak bertudung. Malah dikatakan pemakaian hijab yang paling baik adalah berselendang. Ini kerana kehidupan melayu pada ketika itu sangat susah dan tidak ramai yang mempunyai baju yang cantik-cantik seperti sekarang. Pemakaian persalinan Cik Siti Wan Kembang yang merupakan Ratu Langkasuka menggambarkan masyarakat wanita pada ketika itu hanya berkemban sahaja dan mereka jarang keluar rumah. Wanita Melayu zaman dahulu dikatakan sangat pemalu dan tidak berketrampilan seperti wanita melayu kini. Maka jika mereka ingin keluar rumah, mereka akan memakai 'kain batik' untuk menutup kepala dan badan mereka.



Gambaran pakaian Cik Siti Wan Kembang dalam filem 'Queens of Langkasuka' (filem dari Thailand)
Berbeza pula pakaian wanita minang yang kaya dengan penghasilan kain songket. Kaum minang berasal dari Sumatera, Indonesia. Namun di Malaysia, kebanyakan kaum minang ini tinggal di Negeri Sembilan. Pakaian budaya mereka menepati ciri-ciri islamik di mana bahagian kepala ditutupi seakan-akan tudung yang direka pada masa dahulu. Kain kepala yang berbentuk seakan-akan tanduk menjadi rekaan pilihan sepertimana senireka rumah minang yang juga berbentuk tanduk kerbau. Baju kurung pula dipakai bersama dengan kain yang menutupi bahagian dada.

Pakaian Minangkabau
Pakaian hijab dalam pendidikan 

Pemakaian tudung labuh mula diperkenalkan dengan meluasnya sistem pendidikan sekolah pondok yang semakin mendapat perhatian menelusuri zaman 70-an dan 80-an,. Ketika itu jika anda masih ingat atau anda sempat berada di zaman itu, ramai ustazah yang mengajar pendidikan Islam memakai tudung labuh atau berpurdah.

Contoh tudung labuh

Tudung labuh yang menjadi sumber pemakaian hijab utama di Sekolah Pondok dan juga Sekolah-Sekolah Agama.
Berbeza pula dengan pakaian bagi para pelajar sekolah menengah biasa. Tudung bersaiz sederhana menjadi pilihan ramai. 

Tudung bersaiz sederhana bagi sekolah menengah biasa. Gambar diambil adalah para pelajar SMK Perempuan Kapar (SMKPK), Klang.

Hijab di kalangan Kerabat Di Raja

Masih terbayang di ingatan saya sewaktu kecil, apabila seorang rakyat biasa telah berkahwin dengan seorang raja. Insan itu ialah Tuanku Siti Aisyah Binti Abdul Rahman, seorang wanita yang pada ketika masih muda remaja telah disunting oleh seorang raja bernama Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sehingga melayakkan baginda mendapat gelaran Tengku Permaisuri Selangor serta pernah menjadi Raja Permaisuri Agong pada zamannya iaitu 26 April 1999 hingga 21 November 2001. Lebih membanggakan, baginda juga merupakan Permaisuri yang pertama bertudung di Malaysia.  


Kesungguhan baginda dalam mengenakan hijab telah dituntuni pula oleh Tuanku Nur Zahirah Binti Adil Bakeri yang merupakan permaisuri kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga pernah memegang gelaran Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011.


Begitu juga dengan Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun yang  yang kini memegang gelaran Raja Permaisuri Agong mulai 13 Disember 2011 hingga kini. Pada mulanya baginda belum berhijab. Namun, setelah sekembalinya baginda dari Mekah menunaikan Haji pada 2012, baginda sudah mula berhijab.

Hijab di kalangan selebriti

Masih lagi saya teringat ketika penghijrahan selebriti terkenal Wardina Safiyyah untuk bertudung selepas menunaikan umrah. Wardina bukanlah artis yang pertama berhijrah dan mengenakan tudung pada zamannya. Tetapi dengan penghijrahannya, persepsi media dan masyarakat terhadap publisiti wanita bertudung mulai berubah. Lebih-lebih lagi dengan melihat keanggunannya mengenakan fesyen-fesyen tudung yang baru dan segar. Kebanyakan trend tudung mendapat perhatian meluas melalui fesyen yang ditampilkan oleh beliau setelah mengenakan hijab.

Wardina Safiyyah

Tidak lama selepas itu, berlaku fenomena baru apabila begitu ramai artis yang mula berani tampil bertudung seperti Waheeda, Bienda, Yuna, Heliza Helmi, Diana AF, Abby Abadi, Irma Hasmi, dan ramai lagi. Tidak ketinggalan juga penyanyi terkenal Dato' Siti Nurhaliza dan selebriti yang sedang meningkat naik, Neelofa. 

Dato' Siti Nurhaliza

Neelofa
Hijab sumber perniagaan masyarakat tempatan

Takut dengan ketiadaan publisiti dan penerimaan masyarakat tidak lagi menjadi masalah bagi para selebriti kerana begitu banyak bisnes tudung yang dijual oleh masyarakat tempatan serta mudah didapati sama ada secara langsung atau perniagaan secara online.







Tudung Singkat dan Tudung Labuh

Jika kita lihat, kini pasaran hijab mewarnai kehidupan masyarakat di Malaysia. Ada yang memilih saiz yang labuh, juga ada yang bersaiz kecil dan sederhana. Tetapi, suka atau tidak, soal saiz tudung sering menjadi pertikaian di kalangan umat Islam apabila ciri-ciri tudung yang ditampilkan tidak menepati kehendak yang digariskan dalam Islam. Hari ini pelbagai teknik pemakaian tudung diketengahkan mengikut selera dan kepuasan fesyen, sehingga kadangkala ada sesetengah masyarakat menganggap fesyen-fesyen ini agak keterlaluan serta tidak menetapi konsep sebenar menutup aurat, sehingga terlihat hijab itu lebih menarik perhatian berbanding tidak berhijab.

Namun, dari pandangan saya mengakui, fesyen-fesyen ini telah banyak menarik masyarakat untuk memilih gaya hidup berhijab dan menutup aurat. walaupun tidak sempurna atau tidak menepati hukum syarak, ia masih lagi suatu galakan kepada para muslimah untuk menerima tuntutan Islam ini sebabgai suatu perkara yang wajib diamalkan sebagai seorang muslimah. Diakui, adalah sukar untuk istiqamah dalam bertudung, lebih-lebih lagi mereka yang baru mula mendalami Islam. Namun, perlu diketahui konsep sebenar menutup aurat itu, iaitu menghindarkan diri dari menarik perhatian mereka yang bukan muhrim.

~Saya mengingatkan diri sendiri dan juga anda, para muslimah yang membaca entri ini. Semoga kita sama-sama termuhasabah..Aminn..~

Sunday, March 1, 2015

Selamat Ulang Tahun Kita

Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Sudah setahun perhubungan ini berjalan sebagai suami dan isteri dan kehidupan kami dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata. Walaupun kami tinggal berjauhan disebabkan kerjaya, itu bukanlah sebab untuk kami tidak dapat memberi komitmen antara satu sama lain. Malah kami saling memahami tugas masing-masing memandangkan kerjaya kami adalah sama, seorang guru j-QAF.

Menyebut mengenai perkahwinan ini, terasa seperti semalam apabila kami berhubung melalui 'sms' dan si dia yang bernama Zulkifli menyatakan hasratnya untuk memperisterikan saya. Jika diikutkan perkenalan kami tidak lama, Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi saya untuk menerima lamarannya setelah menyelidik latar belakangnya dari golongan yang baik-baik.

Rupa-rupanya si dia bukanlah orang jauh, berasal dari kampung halaman saya juga, orang Ipoh. Ini lebih meyakinkan saya untuk hidup bersama. Kadang kala saya terfikir, susah-payah saya berikhtiar untuk mencari jodoh, Rupa-rupanya Allah datangkan jodoh dari tempat saya sendiri.

Sebulan selepas pernikahan, saya mendapati diri ini hamil. Ya Allah, begitu pantas sekali. Syukur kepada-Mu dengan rezeki yang datang mencurah-curah. Jika difikirkan kembali, memang itu semua berbaloi setelah apa yang telah saya lalui. Sukar untuk mencari yang sempurna. Tetapi Allah beri kesempurnaan ini dalam keadaan mudah dan sederhana.

Sepanjang 9 bulan yang saya lalui, kami hanya sempat tinggal bersama selama 3 bulan. Setelah kami memperoleh posting baru, kami ditakdirkan tinggal berjauhan. Si dia mendapat posting di Selangor manakala saya tetap di Johor. Namun, dia kerap datang berkunjung setiap hujung minggu untuk melihat keadaan saya. Begitulah keadaan kami sehingga saya melahirkan anak kami yang pertama. Dia juga banyak membantu saya untuk menghabiskan pengajian saya di peringkat master. Alhamdulillah, saya sempat menamatkan pengajian dan menghadiri konvokesyen dalam keadaan sedang mengandung. 

Kepada suami, sekiranya dia membaca entri ini, saya ingin mengucapkan  seribu penghargaan kerana sudi menjadikan diri ini sebagai seorang isteri. Mungkin saya juga ada kekurangan, namun saya akan cuba sedaya upaya memperbaiki kelemahan diri saya agar menjadi seorang hamba dan isteri yang solehah.

Amin...