1. MALAYSIA SEBUAH NEGARA YANG AMAN
Jika hendak dibandingkan dengan tempat lain, Malaysia jauh lebih baik kerana kawasan yang terkecuali daripada garisan gempa bumi mahupun gunung berapi. Malah masyarakatnya hidup secara harmoni. Kita jarang lihat rusuhan mahu pun pergaduhan besar-besaran yang berlaku di Malaysia. Tentera belum pernah mengambil alih kuasa pemimpin kita. Walaupun terdapat perselisihan kecil, tetapi mereka masih hidup saling hormat-menghormati. Siapa sangka kan, bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dll masih boleh tinggal 'sebumbung'??
2. SEBUAH NEGARA ISLAM YANG BERKEMBANG PESAT
Perkara ini menjadi sebab utama mengapa pelajar Sarjana dari Timur Tengah berduyun duyun datang ke sini menyambung pengajian mereka. Sudahlah negaranya aman, Malaysia juga dinobatkan sebagai sebuah negara Islam yang berkembang maju berbanding negara lain. Kesederhanaan dalam kehidupan dan keterbukaan menerima kesaksamaan hidup dengan warganegara yang non-muslim menjadi suatu tarikan dan memiliki keunikan yang tersendiri. Ya, tidak dinafikan hukum dan undang-undang Islam tidak dijalankan secara sepenuhnya di sini. Saya yakin mesti ada sebab tersendiri kenapa hukum hudud sukar dilaksanakan di negara ini. Namun, itu bukanlah penghalang bagi masyarakat muslim untuk menjalankan kegiatan keagamaan di Malaysia. Malah kedudukannya semakin teguh berbanding semasa awal kemerdekaan. Kegemilangan Islam di Sepanyol pada suatu ketika dahulu digambarkan melalui kebudayaan Islam yang menjadi pengaruh besar di Sepanyol termasuklah penduduk Kristian yang tinggal di sana pada suatu ketika dahulu. keharmonian yang ditonjolkan sehingga anak-anak muda beragama Kristian mampu berbahasa Arab dengan baik dan fasih. Begitulah keadaannya masyarakat majmuk yang tinggal di Malaysia.
3. KEINDAHAN KAWASAN TROPIKANYA
Kedudukan Malaysia sebagai kawasan Tropika yang terletak didalam garisan khatulistiwa menjadi sebab utama mengapa Malaysia sesuai menjadi sebuah destinasi pelancongan yang baik. Saya percaya ramai daripada kita yang mempunyai keinginan untuk melancong ke luar negara, tetapi rakyat asing pula sibuk mencari destinasi pelancongan beriklim tropika seperti negara kita. Cuma apa yang saya dan ramai lagi masyarakat kita kesalkan ialah, kebersihan yang tidak dijaga dengan sebaiknya di kawasan pelancongan ini. Untuk menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan, kebersihan harus diutamakan dan ini tidak sepatutnya diletakkan dibawah tanggung jawab kerajaan sahaja, kita juga perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini.
4.SENI DAN KEBUDAYAANNYA
Keunikan kebudayaan Malaysia juga merupakan tarikan yang di negara ini. Bagi saya keunikan seni dan kebudayaan di Malaysia berjaya ditonjolkan melalui persembahan tarian zapin di Istana Budaya. Saya masih ingat lagi 'Gema Zafana' yang pernah dianjurkan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2004 telah banyak menarik minat pelancong luar untuk datang ke Malaysia semata-mata ingin menonton keunikan tarian ini. Malah artis budaya negara kita juga telah beberapa kali memenangi pertandingan World Championships of Perfoming Arts (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat.
5. SISTEM SOSIAL YANG BAIK.
Kebebasan rakyat untuk hidup secara sama rata menjadikan jurang sosial di kalangan kelas bawahan dan kelas atasan tidak begitu ketara. Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk membasmi kemiskinan sedikit demi sedikit sudah semakin menampakkan hasilnya. Malah saya sendiri turut merasakannya apabila kebanyakan rakan saya mula memasng impian bukan sahaja untuk melanjutkan pelajaran di peringkat 'degree', malah di peringkat 'master' dan 'PHD' juga. Ini adalah suatu petanda yang baik menunjukkan masyarakat kita mula berfikiran jauh.
Inilah 5 faktor mengapa Malaysia adalah sebuah negara yang strategik. Walaupun saya bukanlah orang yang mempunyai minat dalam bidang politik, tetapi saya sayangkan MALAYSIA saya. Saya tidak mahu sesiapa pun merampas keamanan yang sedang kita perolehi sekarang ini. Sebagai seorang anak jati di tanah air tercinta ini, saya mendoakan semoga Malaysia terus maju dan harum di mata dunia, InsyaAllah..SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-55..