Assalamualaikum sahabat maya,
Sudah lama saya tidak meluangkan masa menulis di blog ini, bagi saya blog teratai atma ini adalah dunia saya. Tempat saya meluahkan segala yang terbuku di hati. Perkara yang sulit untuk saya jelaskan jika saya di dunia nyata. Namun, untuk mencari masa menulis di sini saya perlukan masa yang cukup-cukup tenang dan jauh dari kesibukan untuk menyampaikannya.
Sejak dua menjak ini saya banyak diuji dengan hal yang berat-berat. Yang menguji kesabaran saya, mencabar kredibiliti saya dan kehidupan peribadi saya digali seperti saya tak punya harga diri, keluarga dan nama untuk saya jaga. Tetapi saya tidak mahu terlalu ambil hati dengan semua ini, kerana ini bukan kali pertama berlaku. Entah apa yang mereka cari, cuba untuk dedahkan, saya pun tak tahulah. Saya jalankan kehidupan seperti biasa sahaja.
Saya cuba bersabar dan lebih banyak mendiamkan diri, kurang mengemaskini status di media sosial walaupun itu menggembirakan saya. Rasa tawar hati dengan kehidupan mula datang membuatkan saya mula memikirkan untuk kembali menyambung pengajian ke peringkat PhD.
Alhamdulillah, saat membaca surat tawaran menyambung pengajian di peringkat PhD. Suatu kegembiraan yang sukar saya gambarkan. Betapa Hebat dan Besarnya Allah. Syukur yang tertinggi saya panjatkan kepadaNya. Saya terasa seperti bermimpi. Ternyata keputusan ini memberi semangat baru kepada saya. Allah S.W.T menjawab permintaan saya sekian lama.
Bila memkirkan semua ini saya mula bertanya kepada diri. Selama ini saya fikir saya banyak bersabar dalam mengharungi arus deras kehidupan saya. Rupanya Allahlah yang banyak bersabar. Bersabar untuk mengajar saya bersabar mengharungi ujian saya untuk memakbulkan doa saya selama ini. Hebatnya sifat sabar telah membawa saya kepada pengertian Nama Allah Al-Sabur iaitu Yang Maha Sabar dalam Asmaul Husna. Subhanallah.... Benarlah semakin kita menelusuri pengertian hidup ini, ia akan membawa kita kepada mengenali Tauhid dan Ke-Esaan Allah S.W.T.
Selalunya, apabila mengajar tentang sifat Allah kepada anak-anak kecil sentiasa mengingatkan saya tentang kebesaran Allah. Namun lebih hebat perasaannya bila kita mengenali Allah melalui hati, jiwa dan nurani kita sendiri. Kini saya tahu banyaknya kebesaran Allah seiring Nama-NamaNya, Allah itu Maha Besar, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana.......Allah juga Tuhan Yang Maha Sabar..