Saya masih ingat lagu nasyid kumpulan Raihan yang popular suatu masa dulu yang bertajuk 'Demi Masa'. Dalam lagu tersebut teringat saya akan hadis Rasulullah SAW tentang ingat 5 sebelum 5..
Benarlah..Sejak usia saya mula mencecah 30-an, saya semakin menghargai masa. Bukanlah dulu saya tak menghargai masa. Malah setiap yang berlaku dalam hidup saya, saya rancang dengan rapi. Tapi saya masih rasa ada kekosongan masa yang tidak saya isi dengan betul ketika saya muda. Kini bila menginjak usia pertengahan tahun saya semakin mengetahui betapa berharganya usia muda, dan berapa beruntungnya saya berada di mana tempat saya sekarang ini. Mujur ketika saya memilih arah tuju hidup, ramai insan-insan sekeliling yang memberi panduan kepada saya dengan baik.
Namun, jika masa boleh diundur semula, saya masih nak buat sehabis baik. Walaupun ada ketika saya berdepan konflik antara keinginan diri dan tujuan hidup, walau ketika itu saya kelihatan pelik dan bercelaru dalam memilih bidang yang ingin saya telusuri, hari ini saya nampak apa hikmahnya yang Allah ingin tunjukkan pada saya.
Saya dapat salurkan minat dan kemahiran ini kepada anak-anak murid saya, membimbing dan mengasah bakat mereka. Jika dahulu hati saya menjerit tercari-cari bagaimana cara yang betul untuk berjaya dalam bidang orator ini, hari ini saya mampu memberi tips dan panduan buat anak-anak murid saya yang menyertai pertandingan puisi dan pengucapan awam. Alhamdulillah..
Berbalik kepada usia saya yang menginjak 30-an, saya ingin kongsikan beberapa perkara yang pernah saya lalui ketika muda remaja dan menjadi berbeza bila saya lalui usia saya sekarang. Mungkin ini boleh dijadikan rujukan buat adik-adik sebagai persiapan mental untuk adik-adik lalui di mana akan datang. Sampai masanya nanti adik-adik akan lalui juga perkara ini. Untuk menjimatkan masa dan tenaga dalam mencapai kejayaan, saya akan syorkan beberapa perkara supaya adik-adik lebih bersedia melaluinya.
Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Sihat sebelum sakit
Semasa saya remaja, apa saja yang saya tidak makan? Semuanya saya makan tanpa perlu susah hati memikirkan kesannya. Makan banyak tapi badan masih tetap kurus. Tapi kini saya kena berhati-hati dengan setiap menu yang saya ambil. Saya perlu pastikan saya minum banyak air masak setiap hari. Sikit saja porsyen saya terlebih kalori, berat saya pasti akan bertambah. Bila berat bertambah, badan akan jadi lesu, cepat penat, dan kurang produktif. Simptom kebas2 apabila duduk terlalu lama mula semakin kerap. Migrain mula kerap datang menyerang.
Kalau dulu naik tangga yang tinggi2 pasti tidak menjadi masalah. Tapi sekarang saya kalah dengan tangga yang sebegitu. Saya sedari perbezaan ini mula berlaku sebaik saja saya melahirkan anak pertama dan sesudah bersalin. Kekuatan badan ini susah tidak semantap dulu. Simpton ini bukan saya seorang saja yang lalui seperti ini, kebanyakan rakan2 yang sama berat seperti saya pasti akan merasakan hal yang sama.
Jadi adik2.. jika nak kesihatan tu sentiasa kekal baik, jaga pemakanan, jaga berat badan dan sering bersenam. Jika umur sudah mula mencecah 25 tahun, kurang2kanlah makan aiskrim dan makanan berkalori tinggi. Sekali-sekala takpelah..tapi jika tidak dikawal, umur 30 tahun anda sudah mula akan terkena penyakit2 berbahaya.
Muda sebelum tua
Dulu kita adalah anak, dulu kita adalah pelajar. Kini, peranan sudah bertukar. Kita adalah ibu, kita juga mungkin adalah guru. Kita sudah berkerjaya. Suka atau tidak kita mesti ada kerjaya untuk menampung kehidupan dan keluarga. Masa yang banyak lapang untuk diri sendiri dulu tidaklah seperti sekarang. Sambil mengurus diri, kena mengurus anak, hal di tempat kerja, mengemas rumah dan sebagainya. Semuanya 2-3 kerja dalam satu masa.
Bila tengok keletah anak-anak, terdetik juga dalam hati ni betapa seronoknya menjadi kanak2. Tidak perlu memikirkan apa-apa masalah dan hanya bermain sahaja. Tapi jika kita bijak menguruskan kehidupan dan ada hala tuju yang jelas. Tiada menjadi masalah untuk berhadapan dengan apa-apa cabaran hidup pun. Setiap hari penuh dengan rasa teruja. Betul tak?
Sebelum sampai di tahap ni, adik-adik hargailah masa muda adik dengan bermain dan belajar sepuas2nya. Kerana peluang menjadi muda hanya sekali dan masa tidak akan berpatah balik. Jika pernah terbuat salah, jangan mudah putus asa. Belajar dari kesalahan tersebut untuk diperbaiki di masa akan datang. Orang yang tidak mudah putus asa dan cepat belajar dari kesalahan sahaja yang akan dapat bertahan sampai ke penghujungnya. Pengalaman adalah proses pelajaran yang mematangkan kita untuk kita jadikan panduan di hari depan.
Kaya sebelum miskin
Tak perlu lihat dari situasi yang besar, lihat saja situasi yang kita hadapi setiap hari. Setiap bulan bila gaji masuk, berbelanjalah kita sepuasnya. Tetapi bila sampai di hujung bulan, makan mee segera sajalah jawapnya..
Siapa yang tak suka hidup mewah? Bila ada duit, kita ada kemampuan untuk buat apa yang kita suka. Dengan duit, kita dapat merasai pengalaman yang tak pernah kita lalui sebelum ini. Tapi dalam kelapangan kita yang serba mampu, adakah kita sedar kita banyak melakukan pembaziran yang remeh. Contoh mudah ialah tidak menutup air ketika memberus gigi dan mandi, tidak menghabiskan makanan, dan berbelanja dengan boros pada perkara yang tidak diperlukan. Di akhirnya, kita juga yang sesak duit di hujung bulan kerana pengurusan wang yang tidak cermat, bersistematik dan efektif.
Masih ingatkah lagi kisah nabi Yusuf a.s ketika diminta untuk mentafsir mimpi sang raja. Baginda berkata akan berlaku musim kemarau selama 7 tahun selepas berlalunya tempoh musim subur selama 7 tahun. Melalui tafsiran itu, Nabi Yusuf menyarankan agar disimpan segala bekalan makanan selama tempoh 7 tahun musim subur itu sebagai persiapan menghadapi musim kemarau yang berpanjangan. Dari kisah ini, jelas menginspirasi kita bahawa Nabi Allah juga berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi negara.
Lapang sebelum sempit
Masa lapang kadang kala boleh merunsingkan kerana jika kita kebuntuan idea untuk melakukan sebarang aktiviti, masa yang ada boleh menjadi suatu pembaziran. Mukmin yang cemerlang ialah mukmin yang mengingati Allah walaupun ketika dia sibuk, apatah lagi di waktu lapang.
Tetapi orang yang bijaksana dia akan menggunakan masa lapangnya dengan perkara berfaedah. Sebagai contoh, tiba waktu cuti sekolah, siapakah murid yang membuat persiapan untuk belajar tajuk2 yang bakal dipelajari pada tahun hadapan? Jika dia sudah bersedia dengan pembacaan dan latih tubi yang lebih awal, apakah perbezaan prestasinya dengan rakan-rakan apabila mula persekolahan nanti? Kita sendiri sudah boleh mengagak. Kita sendiri pun tahu, tetapi untuk merealisasikan perkara sebegini dalam kehidupan begitu susah sekali.
Lihat saja pengurusan waktu kita untuk menunaikan solat. Adakah kita memilih untuk solat di awal waktu apabila berkelapangan atau melengah-lengahkannya hingga ke akhir waktu? Saya tidak bermaksud menyindir sesiapa. Saya juga mengingatkan diri saya sendiri. Kadang kala saya juga terlupa. Saya harap kita semua tidak terlupa.
Begitulah keadaan kita dalam usia kita sekarang, cuba kita patah balik dan mengenang masa lalu, apakah pencapaian kita? Apakah jasa yang kita sumbangkan? Jika masih kurang, apa pula rancangan kita di masa hadapan? Masih sempatkah kita?
Hidup sebelum mati
Dalam filem hindustan, dalam drama korea, hidup bagi mereka ada banyak kelahiran. Sudah mati, tapi akan lahir semula ke dunia. Tetapi ini semua tiada dalam Islam. Terimalah hakikat ini, hidup hanya sekali. Sepanjang perjalanan ini, apa yang kita sudah capai? Apa yang kita sedang kejar? Dalam sibuk mengejar dunia, adakah kita mengejar akhirat juga?
Jika kita masih bangga dengan dosa, cubalah ingat trajedi tsunami di palu, Sulawesi. Ingatlah trajedi tsunami Acheh. Semuanya berlaku di kawasan negara berdekatan kita. Bolehkah kita menafikan Malaysia tidak akan dilanda tsunami?
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِأَنْفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ
"Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak)."
(Surah Al-Imran, Ayat 178)
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?"
(Surah ar-Rahman, ayat 13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40)
Begitulah peringatan dari Allah kepada manusia agar berhati-hati dengan amalan kita di dunia. Adik-adik, marilah kita membina taman-taman syurga di dunia. Penuhilah setiap denyut nafas dengan menuntut ilmu dan berbuat baik. Jangan pernah merasa rugi berbuat baik. Jangan pernah rasa menyesal untuk berpenat-lelah demi Allah, keluarga dan kawan-kawan. Insyaa Allah jika matlamat hidup kita jelas, kalau tak dapat sekarang, di hari tua adik akan nampak hasilnya.
Begitulah peringatan dari Allah kepada manusia agar berhati-hati dengan amalan kita di dunia. Adik-adik, marilah kita membina taman-taman syurga di dunia. Penuhilah setiap denyut nafas dengan menuntut ilmu dan berbuat baik. Jangan pernah merasa rugi berbuat baik. Jangan pernah rasa menyesal untuk berpenat-lelah demi Allah, keluarga dan kawan-kawan. Insyaa Allah jika matlamat hidup kita jelas, kalau tak dapat sekarang, di hari tua adik akan nampak hasilnya.