Monday, June 11, 2018

JUTAWAN MINDA KELAS PERTAMA

Sejak akhir-akhir ini, rakyat marhein sibuk membincangkan mengenai perbandingan antara sifat 'orang kaya gila' dan 'orang gila kaya'. Ini kerana terdapat beberapa sikap dan cara hidup orang kaya pada masa kini agak menjengkelkan dan menimbulkan rasa kurang senang netizen disebabkan sikap mereka yang suka mencari publisiti demi menaikkan nama mereka dalam trend semasa selain menjana pendapatan yang optimum.

Saya tidak mahu menyebut nama mereka satu persatu, saya rasa semua dah tahu siapa jutawan-jutawan yang dimaksudkan itu. Namun, menurut pengamatan saya yang bukanlah siapa-siapa ini, mereka adalah 'orang kaya baru' yang baru saja ingin memasuki alam jutawan dan 'bilionair' dan mereka masih mencari identiti diri dalam arena ini. Sikap mereka agak berbeza dengan jenis orang kaya yang lagi satu ini. Maksud saya ialah orang kaya yang telah lama menikmati kekayaan dari generasi ke generasi yang lain. Dengan kata lain, mereka yang saya maksudkan ialah 'jutawan minda kelas pertama'.

'Jutawan Minda Kelas Pertama' ini adalah jutawan yang sejati. Mereka mempunyai sifat-sifat tertentu yang membuatkan mereka dikenali malah dihormati. Bagaimanakah sifat-sifat 'jutawan minda kelas pertama' itu? Apa yang saya terangkan ini adalah hasil pengamatan saya yang pernah mempelajari bidang sejarah dan tamadun juga pemerhatian secara tidak langsung. Namun, tak perlu ambil pengetahuan ini secara serius. Sekadar untuk ilmu yang santai dan pengetahuan umum. Saya memahami kebanyakan jutawan tidak menyedari hal ini kerana mereka sibuk dengan perniagaan dan perusahaan mereka. Tak apa, dengan entry ini, saya akan kongsikan sedikit ilmu untuk kefahaman kita bersama. Jika salah, sila betulkan saya.

Cara berfikir dan pemahaman tentang kehidupan
Jutawan minda kelas pertama ini cara mereka melihat dunia adalah lebih luas. Seperti melihat dari sudut mata burung, begitulah cara mereka melihat dunia. Tidak memfokuskan masalah-masalah yang remeh, mereka lebih memfokuskan untuk menyelesaikan masalah mereka yang lebih besar, malah melibatkan jutaan ringgit. Namun begitu, mereka tidaklah mengabaikan pandangan orang awam. Mereka memahami sumber kekayaan mereka datang dari orang awam juga. Sifat mereka yang suka mengambil jalan tengah diantara masalah sendiri dan kehendak masyarakat membantu mereka menyelesaikan banyak perkara dalam kehidupan.


Jutawan ini juga selalu dikelilingi orang-orang yang berpengaruh. Hasil perusahaan yang besar yang mereka miliki menyebabkan mereka popular seperti selebriti. Maka, tidak susah bagi mereka untuk mendekatkan diri mereka dengan golongan berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Mereka juga akan menggunakan peluang kemasyhuran ini untuk mendekati golongan elit seperti ahli politik, ahli akademik, selebriti dan kerabat diraja. Namun, mereka juga tak lepas dari masalah.

Antara masalah utama bila menjadi jutawan ini ialah bagaimana mereka mengelola kekayaan mereka. Melalui melalui rancangan 'Who'd be a billionair' yang saya tonton di Astro Channel TLC saluran 707 menceritakan bahawa para jutawan ini saling bersaing sesama mereka, siapa yang memiliki kereta paling canggih, kapal terbang peribadi dan kapal yacht yang paling hebat. Ketagihan ini akhirnya menjadi punca kepada tidak tenteramnya hidup mereka untuk mengatasi gaya hidup pesaing-pesaing mereka. Jangan kata mereka sahaja, kita sendiri pun sering bersaing di kalangan keluarga dan rakan kereta siapa yang paling cantik, anak siapa yang paling pandai, rumah siapa yang paling besar. Tapi itu semua tidak menentukan kemahiran pengurusan  peribadi dan nilai diri yang tinggi.

Ada antara mereka terjebak dengan masalah ketagihan alkohol, 'shopper-holic', dan ketagihan dadah akibat daripada tekanan hidup. Inilah dilemma hidup jutawan. Pesanan saya secara peribadi, kembalilah semula kepada pembentukan attitude diri anda. Cari semula identiti diri dan dan tukar rutin harian. Paling penting gunakan wang yang dimiliki ke arah yang lebih memahami erti kehidupan.

Mengaplikasikan ilmu secara praktikal
Dengan duit yang mereka miliki, mereka mampu mempelajari ilmu dengan cara yang lebih praktikal. Saya berikan contoh perbandingan saya dengan mereka. Saya telah mempelajari mengenai sejarah dan tamadun. Saya mengetahui tamadun China dan tamadun Islam yang besar dan gah melalui buku-buku dan maklumat di internet. Tetapi sayangnya saya tidak pernah pergi ke tempat wujudnya tamadun ini seperti China dan Turki kerana saya kekurangan dari sudut kewangan.




Sedangkan jutawan ini jika mereka mempelajari mengenai tamadun, amat mudah bagi mereka untuk melawat tempat-tempat ini bagi mengetahui sejarahnya dengan lebih mendalam. Maka, sudah tentu apa yang mereka pelajari dengan melihat sendiri tempat tersebut lebih menimbulkan cinta dan meresap ke dalam jiwa mereka tentang sejarah dan tamadun berbanding saya yang hanya mengetahui semuanya melalui teori sahaja. Mereka tidak kedekut ataupun tidak merasa rugi untuk menghabiskan duit mereka mendapatkan ilmu sebegini.

Bahasa dan cara percakapan
Jika kita perhatikan, jutawan minda kelas pertama ini suka menggunakan bahasa yang halus. Kata-kata mereka menyenangkan hati kita yang mendengarnya. Cara mereka menegur juga lebih berkias. Kita ingat mereka sedang puji kita. Bila fikir-fikir balik, rupanya mereka sedang tegur sikap kita. Aduh, tepuk dahi kita dibuatnya terperasan sendiri. Dan mereka tidak menggunakan perkataan mereka dengan kasar. Bukan hipokrit, tapi mereka memang diajar untuk bersikap begitu. Jika mereka bercakap bahasa melayu, mereka akan cakap dengan bahasa melayu yang tinggi. Jika mereka bercakap dalam bahasa Inggeris, mereka akan bercakap bahasa Inggeris dengan level tinggi.

Mereka juga menguasai banyak bahasa. Maklumlah, jadi usahawan antarabangsa memerlukan mereka berkomunikasi dengan banyak jenis manusia. Boleh jadi mereka mengupah guru peribadi untuk mengajar mereka atau pun mereka belajar dari persekitaran mereka yang telah sedia ada secara semula jadi sejak dari kecil. Contohnya mak atau ayah atau saudara-saudara mereka berasal dari Eropah, Arab, India, Cina atau berbangsa lain. Jadi, mudah untuk mereka menguasai bahasa lain.

Penampilan
Dari segi penampilan, ada dua jenis jutawan.Pertama, mereka yang berpenampilan sederhana. Kedua, mereka sentiasa menjaga penampilan. Jika anda menganggap semua jutawan pentingkan penampilan, anda silap. Bagi yang berpenampilan sederhana, ada sebab mengapa mereka berpenampilan begitu. Biasanya kekayaan mereka datang dari selain bidang industri fesyen atau hiburan seperti teknologi dan bahan mentah.  Kita dapat lihat penampilan sebegini dari jutawan muda seperti Mark Zuckerberg.  Ini kerana meraka lebih banyak memikirkan mengenai kerjaya mereka berbanding penampilan mereka.

Antara jutawan yang dikenali dengan 
penampilan yang bersederhana.

Namun, lain pula bagi jutawan dari industri fesyen dan hiburan. Mereka sedar apa sahaja tindak-tanduk mereka diperhatikan dan gaya penampilan mereka ditiru. Jadi mereka sentiasa menjaga apa yang dipakai oleh mereka. Pemakaian mereka biasanya unik , cantik dan sukar didapati dan ada kalanya edisi terhad. 


Keluarga David Beckham adalah salah satu
 contoh golongan elit yang sentiasa 
berpenampilan menarik.

Dalam kalangan golongan elit, ada yang suka memerhati gaya penampilan sesama mereka, malah masyarakat juga. Tetapi tidak semua orang celik fesyen. Dari sini ternampaklah peranan pengkritik fesyen yang memerhatikan gaya penampilan dan dandanan yang bersesuaian dengan golongan elit. Malah sebahagian mereka menjadikan gaya pemakaian mereka sebagai suatu pattern dalam bisnes perniagaan. Pakaian mereka dijual dan mereka boleh menjana keuntungan.

Mencintai seni 
Biasanya para jutawan ini mencintai seni, mereka meletakkan nilai seni pada tempat yang tinggi. Mereka menahami iaitu seni mempunyai nilai estetika yang tersendiri.  Tidak hairanlah mereka sanggup membeli lukisan yang berharga jutaan ringgit, meletakkan hiasan dan ukiran indah pada kediaman mereka kerana itu adalah diri dan jiwa mereka. Mereka sukakan muzik. Tetapi muzik yang dipilih adalah genre tertentu.


Masyarakat awam sememangnya tahu muzik itu menghiburkan. Tetapi sebenarnya muzik juga adalah sains. Ada jenis muzik yang boleh menjadi terapi yang menenangkan tekanan jiwa dan mencerdaskan fikiran. Pernah tak anda terfikir kenapa teater opera begitu diminati golongan atasan dan tiketnya juga mahal? Bagi kita yang yang buta seni ini, teater opera itu membosankan, tetapi mengapa masih ada juga yang ingin menontonnya sehingga ke hari ini?

Potensi kekayaan kepada generasi yang seterusnya
Menjadi kaya, para jutawan ini mempunyai tabiat dan cara pemikiran tersendiri yang menjadikan siapa mereka hari ini. Maka sekiranya mereka mempunyai zuriat, attitude ini diajar dan diperturunkan kepada anak cucu mereka. Maka keturunan mereka akan mempunyai potensi yang lebih besar daripada kanak-kanak biasa. Potensi mereka ini adalah potensi kekayaan yang sama malah lebih lagi.

Bukan bermaksud kerana mereka dapat mewarisi harta yang takkan habis dimakan tujuh keturunan. Tetapi penguasaan teknik dan cara penyelesaian masalah, jika berlaku masalah besar seperti kebangkrapan, mereka tahu bagaimana untuk mengatasinya. Mereka telah diajar.


Para jutawan ini telah melalui banyak kegagalan. Mereka banyak belajar dari kegagalan tersebut. Apabila perusahaan tersebut diperturunkan, pastinya anak cucu mereka diajar agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Risiko kerugian amat rendah dan kemungkinan memperoleh keuntungan menjadi lebih tinggi. Masa yang dilalui generasi seterusnya bukan lagi masa ujikaji. Sebaliknya masa untuk menternak kekayaan.

Kesimpulan 
Begitulah jutawan minda kelas pertama yang saya maksudkan. Mungkin tidak semua jutawan begitu. Mungkin juga mereka sedang menuju ke arah itu. Kita sudah boleh nampak tanda-tandanya melalui sikap dan usaha mereka. Tetapi jika mereka ini wujud dalam lingkungan keluarga dan sahabat anda, bantulah mereka. Percayakan mereka. Sokonglah mereka. Jika mereka salah, tegurlah mereka. Kerana kehadiran mereka ibarat mutiara di dalam lumpur, perlu dibersihkan dan disimpan baik-baik. Mereka perlu dididik dan dibentuk dengan betul barulah mereka boleh berjaya.

Sumber gambar: google