Sejak akhir-akhir ini begitu ramai artis Malaysia mengeluarkan kenyataan uang mereka tidak mahu melakukan adegan bersentuhan dalam lakonan mereka. Antaranya ialah pelakon Izzue Islam, Syahrul Ridwan, Janna Nick, dan Nabil Ahmad. Kita harus memberi pujian kepada mereka. Dalam masa yang sama juga, begitu ramai artis wanita yang berhijrah dan memilih untuk menutup aurat.
Dari kaca mata saya sebagai rakyat marhein yang melihat kepada fenomena ini, perkara ini adalah suatu fenomena baru yang sudah lama sepatutnya kita lakukan sebagai muslim. Sudah sampai masanya pengarah dan penerbit membuka fikiran bahawa negara ini adalah negara Islam dan secara fitrahnya, kita sebagai seorang muslim tidak mahu menderhakai Allah dan jiwa masyarakat muslim itu terseksa apabila tidak mentaati perintah Allah.
Sudah banyak pengalaman yang negara kita lalui, pelbagai masalah sosial yang dihadapi, kita tidak dapat menafikan bahawa sebagai sebuah negara Islam, kita perlu menghayati cara hidup Islam secara total, dan bukannya separuh-separuh. Akuilah bahawa tiada istilah 'sekular' dalam Islam meskipun dalam industri hiburan.
Kita perlu mencontohi filem-filem dari negara-negara Islam seperti filem dari Iran bahawa tidak perlu melakukan adegan bersentuhan antara bukan muhrim hanya untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan. Banyak cara lain untuk mengekspresikan lakonan tanpa bersentuhan. Dalam dunia realiti, nak pegang-pegang abang sendiri pun geli. Bagaimana pula jika diminta bersentuhan dengan orang asing. Banyak sudah filem Melayu yang mempamerkan 'aksi berani' tapi masih tidak memenangi apa-apa anugerah.
Kepada para karyawan, marilah kita sama-sama berfikir. Apakah nilai karya anda kepada masyarakat jika daripada karya itu, masyarakat hanya belajar bagaimana untuk menjadi jahat, bagaimana hendak membuli orang lemah, dan bagaimana untuk mengambil kesempatan dan bersikap zalim. Kenapa tidak menonjolkan watak antagonis yang ingin bersaing dengan watak hero/heroin untuk menjadi yang terbaik dengan cara yang baik?? Kita perlu ingat, Allah suka dengan hamba-hambaNya yang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan.