Tuesday, December 25, 2012

Puisi Jalaludin Rumi




Nama sebenar beliau ialah Jalaluddin Rumi Muhammad bin Muhammad al-Balkhi al-Qunuwi. Beliau lahir pada 30 september 1207 bersamaan 604 Hijrah di Balkhi, Afghanistan. Ayahnya bernama Bahauddin Walad Muhammad bin Hussein, merupakan seorang ulama’ besar bermazhab Hanafi yang sangat terkenal sehingga mendapat gelaran ‘Sultanul Ulama’ ( Raja Ulama). Ketika usianya 5 tahun, seorang tokoh sufi bernama Fariduddin Attar telah meramalkan bahawa beliau akan menjadi seorang tokoh sufi yang hebat kelak. Akibat kehebatan ayahnya, ramai yang mencemburui ayahnya sehingga beliau difitnah dan ramai para pembesar yang termakan dengan hasutan itu yang mengakibatkan beliau dan keluarganya terpaksa keluar dari Balkhi dan hidup berpindah-randah. Akhirnya, ayahandanya telah menghembuskan nafas terakhir ketika beliau berusia 24 tahun. Selepas kematian ayahnya, beliau berguru dengan Burhanuddin Muhaqqiq at-Turmudzi di Konya, beliau kemudiannya menyambung pengajian di Syam atas arahan gurunya dan kembali semula ke Konya pada 634H dan menggantikan gurunya selepas kewafatan beliau. Dengan ilmunya yang luas, beliau menjadi guru dan sumber rujukan fatwa dan hukum Islam, pada masa itu. Daerah Konya juga telah menjadi tempat berkumpulnya para ulama kerana hasil daripada pengaruh beliau.
            Kehidupan sufi dan kesusasteraannya bermula ketika usianya 48 tahun. Pada waktu itu beliau sedang mengajar dan seorang muridnya yang bernama Syamzi Tabriz telah menanyakan satu soalan pada beliau yang membuatkan beliau terkesima dan sangat takjub dengan muridnya itu.
            Sejak itu, sangat rapat dengan Tabriz dan menuntut ilmu dengannya sehingga beliau mengabaikan murid-muridnya. Baginya, Tabriz memiliki ilmu yang tinggi dan tiada taranya. Apabila Tabriz mengetahui mengenai keadaan murid-muridnya yang telah diabaikan, Tabriz telah nekad meninggalkan Jalaluddin secara senyap-senyap. Namun, tindakan itu telah menyebabkan Jalaluddin sangat sedih. Daripada kesedihan itu, beliau mula menulis syair-syair yang sangat indah dan menaikkan namanya sebagai seorang penyair terkenal. Antara buku-bukunya ialah Divani Syamzi Tabriz dan Maqalati Syamzi Tabriz. Selepas itu, beliau bersahabat pula dengan Syeikh Hisammuddin Hassan bin Muhammad  yang menghasilkan syair-syair atau puisi-puisi yang hebat seperti dalam kitab Mathnawi  dan sebanyak 20 700 buah syair telah dihasilkan. 

 Di dalam Kitab Mathnawi beliau, terdapat banyak syair atau puisinya yang menekankan elemen tasawuf. Antaranya ialah beberapa puisi yang telah diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu :-

NUR YANG ESA

Pelita banyak dan berbeza
Cahaya sama dan satu jua
Jika anda lihat lampu saja
Hilanglah anda dalam banyak dan berbeza.

Pandanglah pada cahaya
Anda akan lihat satu saja
Berbilang-bilang hanya bentuk saja
Boleh dibilang satu, dua dan tiga

Begitu juga pendapat manusia 
Berlain-laian dan berbeza-beza
Timbullah pelbagai mazhab agama
Keluarlah pelbagai pandangan dan fatwa

Kalau kita ada sinaran
Dapat memandang keseluruhan
Tidaklah lagi ada perbezaan 
Lenyaplah segala perbalahan 


DUNIA DAN MASA

Setiap saat anda mati dan kembali
"Dunia ini hanya seketika" sabda Nabi
Khayalan kita ibarat anak panah
Yang dipanahkan oleh Yang Maha Gagah

Sebagaimana anak panah tetap melayang di udara
Sentiasa ia menuju sasarannya
Kita pun menuju matlamat kita
Kembali kepada Yang Maha Esa

Setiap saat dunia diperbaharui
Kita tak sedar ianya bertukar ganti
Hari demi hari
Saat demi saat tanpa henti

Kerana terlalu pantas, ia kelihatan berterusan
Umpama puntung api dihayun-pusingkan dengan tangan
Masa dan waktu adalah kejadian
Disebabkan oleh cepatnya tindakan Tuhan

CINTA HAKIKI

Setiap kita adalah pengembara
Dalam pejalanan menuju Yang Esa
Orang baik orang jahat ditarikNya jua
Pasti Kembali dengan rela dan tidak rela

Orang yang buta akan Tuhannya
Kembali itu tidak ia rela
Tapi bagi yang tahu hakikatnya
Kembalilah ia dengan rela

Orang yang buta akan Tuhannya
Ibarat bayi cintakan ibu kerana susunya
Tapi orang yang celik rahsia Tuhannya
Menyerah jiwanya kepada Dia semata-mata

Si bayi tidak melihat kecantikan ibunya
Cantik dan buruk tidak dipedulikannya
Apa yang penting ialah susu ibunya
Itulah saja yang dikehendakinya

Cinta sebenar terhadap ibu
Bukanlah cinta kepada susu
Bukan susu hendak dituju
Tujuannya ialah si empunya susu itu

Kalau anda cintakan Tuhan 
Bukan cinta kerana pahala ganjaran
Bukan cinta kerana paksaan
Tapi cinta rela, bukan sesuatu diharapkan

Tenggelamlah si sufi dalam lautan kecintaan
Tuhan cinta mereka dan mereka cinta kepada Tuhan
Habib dan mahbub terikat dengan satu ikatan
ikatan cinta dalam kerohanian dan kejiwaan