Friday, November 9, 2012

Prasekolah Yang Sangat Comel

Assalamualaikum..
Mengajar murid-murid Prasekolah adalah suatu pengalaman di luar jangkaan saya namun ianya sangat menggembirakan. Satu perkara yang yang baru saya belajar sepanjang mengajar mereka ialah kesukaran untuk mengawal disiplin mereka. Kadangkala  ke'hyper-aktif'an mereka menakutkan saya walaupun mereka kelihatan sangat comel dan terasa ingin memeluk setiap seorang daripada mereka. Baru-baru ini selesai sudah satu Majlis Konvokesyen Prasekolah dan Hari Kanak-kanak di sekolah saya. Terasa selesai sudah tanggungjawab saya untuk memberikan pendidikan agama yang bersesuaian dengan usia mereka.



 Mengajar mereka mengenal Allah dan Rasul-Nya ada suatu perkara yang mengujakan kerana apabila apabila kita memperkenalkan mereka akan Kehebatan Allah, secara tidak langsung kita mengingatkan diri sendiri betapa Hebatnya Allah iaitu Tuhan kepada semesta alam ini. Saya selalu ditanya oleh mereka tentang Sifat-sifat Allah. Dan jawapan yang saya berikan ialah "Allah itu Sangat Hebat. Sangat Kuat. Allah lebih Hebat dari ultraman, superman, power rangers, dan Allah itu Sangat Baik. Dia sangat sayangkan kita semua.." Bayangkan, jika anda berada di tempat saya menerangkan semua ini kepada anak-anak kecil ini, apakah perasaan anda??

Di ruangan ini juga saya akan memperkenalkan kepada anda beberapa murid Prasekolah saya..

Yang ini namanya Mohd Hamirul Nizam. Murid paling comel di kelas Prasekolah. Walaupun comel tapi nakalnya boleh tahan. Huhu..

Yang ini namanya Nurul Allisya. Murid paling cantik di Prasekolah. Namun usianya masih 5 tahun. Pada hari Karnival Prasekolah yang lalu beliau mewakili sekolah untuk pertandingan pakaian beragam. Lalu saya mengambil gambar beliau dan sisipkan di ruangan ini.

Murid yang ini namanya Mohd Zahin Syawal. Beliau murid yang paling 'famous' bukan sahaja di Prasekolah, malah seisi sekolah SK Sedenak. Ini kerena beliau telah berjaya mengharumkan nama sekolah memenangi Piala Johan Pertandingan Puisi Prasekolah Peringkat Daerah Kulaijaya seterusnya ke Peringkat Negeri. Walaupun tidak berjaya di peringkat negeri, namun ianya sesuatu yang membanggakan kerana beliau masih lagi berusia lima tahun. Bagi pandangan saya yang melatihnya berpuisi serta bantuan  Pn Zalifa selaku guru Prasekolah, beliau seorang yang mudah dibentuk, mudah menghafal dan mengikut didikan yang diberikan menyebabkan beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab mewakili sekolah untuk pertandingan puisi ini. Beliau juga telah mendapat Anugerah Tokoh Murid Prasekolah atas kejayaan beliau.


Begitulah serba sedikit yang boleh saya ceritakan pengalaman saya mengajar murid Prasekolah pada tahun ini. Tahun depan kebanyakan mereka akan berganjak seusia ke Tahun 1. Diharapkan mereka dapat mengaplikasikan ilmu yang mereka perolehi untuk kebaikan masa depan mereka.







Thursday, November 1, 2012

KISAH ZUN NUN AL-MISRI

Beberapa waktu yang lalu, di Mesir hidup seorang sufi yang masyhur bernama Zun-Nun. Seorang pemuda mendatanginya dan bertanya : "Tuan, saya belum faham mengapa orang seperti anda mesti berpakaian apa adanya, amat sangat sederhana. Bukankah di zaman yang ini berpakaian baik amat perlu, bukan hanya untuk penampilan namun juga untuk tujuan banyak hal lain."

Sang sufi hanya tersenyum, ia lalu melepaskan cincin dari salah satu jarinya, lalu berkata : "Sahabat muda, akan kujawab pertanyaanmu, tetapi lebih dahulu lakukan satu hal untukku. Ambillah cincin ini dan bawalah ke pasar di seberang sana. Cubalah, bolehkah kamu menjualnya seharga satu keping emas".

Melihat cincin Zun-Nun yang kotor, pemuda tadi merasa ragu dan berkata : "Satu keping emas ? Saya tidak yakin cincin ini bisa dijual seharga itu". "Cubalah dulu sahabat muda. Siapa tahu kamu berhasil",  jawab Zun-Nun.

Pemuda itu pun bergegas ke pasar. Ia menawarkan cincin itu kepada pedagang kain, pedagang sayur, penjual daging dan ikan, serta kepada yang lainnya. Ternyata, tak seorang pun berani membeli seharga satu keping emas. Mereka menawarnya hanya satu keping perak.

Tentu saja, pemuda itu tak berani menjualnya dengan harga satu keping perak. Ia kembali kepada Zun-Nun dan memberitahunya : "Tuan, tak seorang pun yang berani menawar lebih dari satu keping perak".

Sambil tetap tersenyum arif Zun-Nun berkata : "Sekarang pergilah kamu ke tokoh emas di belakang jalan ini. Cuba perlihatkan kepada pemilik tokoh atau tukang emas di sana. Jangan buka harga. Dengarkan saja, bagaimana ia memberikan penilaian".

Pemuda itu pun pergi ke toko emas yang dimaksud. Ia kembali kepada Zun-Nun dengan raut wajah yang lain. Ia kemudian memberitahu : "Tuan, ternyata para pedagang di pasar tidak tahu nilai sesungguhnya dari cincin ini. Pedagang emas menawarnya dengan harga seribu keping emas. Rupanya nilai cincin ini seribu kali lebih tinggi daripada yang ditawar oleh para pedagang di pasar".

Zun-Nun tersenyum simpul sambil berkata : "Itulah jawapan atas pertanyaanmu tadi sahabat muda. Seseorang tak boleh dinilai dari pakaiannya. Hanya "para pedagang sayur, ikan dan daging di pasar" yang menilai demikian. Namun tidak bagi "pedagang emas". Emas dan permata yang ada dalam diri seseorang, hanya dapat dilihat dan dinilai jika kita mampu melihat ke kedalaman jiwa. Diperlukan kearifan untuk menjenguknya. Dan itu perlu proses dan masa, wahai sahabat mudaku. Kita tak dapat menilainya hanya dengan tutur kata dan sikap yang kita dengar dan lihat sekilas. Seringkali yang disangka emas ternyata loyang dan yang kita lihat sebagai loyang ternyata emas."