Harta warisan, budaya unik kelebihan masyarakat Jawa di sekitar Johor
RAMAI beranggapan masyarakat Jawa ini sama saja walau di mana saja
mereka berada, biarpun hakikatnya kelompok ini terbahagi kepada beberapa
etnik kecil yang menjurus kepada tanah asal mereka di Indonesia.
Namun, pernahkah anda tahu mengenai kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo
di Malaysia? Mendengar namanya saja sudah pelik, apalagi penceritaan
mengenainya sebegitu asing. Malah, dalam kalangan orang Jawa sendiri,
khususnya generasi mudanya pun tidak mengenai kelompok Ponorogo itu.
Secara ringkas, Jawa Ponorogo adalah masyarakat terbesar bertumpu
di kawasan Sri Medan, Batu Pahat dan antara teramai di daerah Johor itu.
Malah, mereka juga kekal satu-satunya masyarakat Jawa yang tegar
meneruskan cara hidup serta budaya asal Jawa dibawa dari Indonesia.
Jawa Ponorogo berasal dari daerah di Jawa Timur iaitu Ponorogo dan
kemasukan mereka ke sekitar Batu Pahat dan sebahagiannya di Selangor
berlaku pada awal 1920 untuk memantapkan ekonomi mereka lantaran
kesukaran membina kehidupan sempurna di tanah asal di Indonesia.
Kesempatan mendekati mereka di kawasan Sri Medan terutama di kampung
Parit Warijo dan Parit Baru, menyerlahkan lagi realiti yang menampilkan
kelainan sebagai penerus budaya Jawa asli dari Indonesia. Perbezaan yang
ditampilkan pula bukan sekadar bahasa tetapi juga cara hidup serta
wajah kampung itu sendiri.
Penulis sendiri terpegun seketika melihat persekitaran ketika
melintasi jalan Parit Warijo ke rumah Ketua Kampung, Sukadi Kusmadi,
baru-baru ini. Di kiri kanan jalan, kami dihidangkan pemandangan rumah
besar berhalaman luas dan bersih dikelilingi pokok kelapa sawit yang
tersusun kemas. Bukannya tiada kampung lain sebersih itu tetapi
pemandangan kali ini mengagumkan penulis kerana selain kebanyakan
rumahnya ibarat banglo mewah, halamannya juga luas yang boleh memuatkan
lebih 10 kereta sekali gus.
Biarpun dikelilingi pokok kelapa
sawit, persekitarannya sentiasa bersih yang menjadi antara keunikan cara
hidup atau budaya Jawa Ponorogo dan bukan Jawa lain secara umumnya.
Malah Jawa Ponorogo juga unik kerana banyak perbezaan dengan Jawa
lainnya termasuk aspek bahasa dan budaya berikutan asal usul mereka dari
Jawa Timur di Kepulauan Jawa.
Ramai warga tuanya juga mahir berbahasa Jawa Ponorogo halus.
Keunikan lain mereka ialah sikap lemah lembut dan berbudi bahasa dalam
kebanyakan urusan. Tidak sah bertandang tanpa hidangan
sekurang-kurangnya air kosong. Seperti peringatan rakan Jawa lain yang
mengetahui misi Misteri Etnik mendekati masyarakat itu kali ini, jangan
sekali-kali menolak hidangan jika berkunjung ke rumah orang Jawa
terutama Ponorogo kerana budaya mereka memastikan tetamu tidak pulang
tanpa tekak dibasahkan dulu.
Merujuk sejarah kedatangan mereka,
meskipun merantau ke bumi orang dalam keadaan daif dan hanya
berbekalkan kemahiran bertani, masyarakat itu berjaya membina kehidupan
baik dengan kebanyakan keluarga memiliki tanah luas mencecah belasan
ekar dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah.
Ia
berkait rapat sifat berani meneroka kawasan baru serta rajin. Selain
paparan keadaan rumah mereka yang mewah, masyarakat ini juga tebal
tradisi mencari rezeki untuk diwarisi turun temurun. Lantaran itulah,
meskipun Sri Medan sinonim dengan banjir selama ini, ia mampu
dibangunkan dengan baik sampai sekarang atas kemahuan orang Jawa
Ponorogo yang membina kehidupan lebih selesa untuk kesenangan anak cucu.
Masyarakat Jawa Ponorogo juga memiliki keteguhan mempertahankan budaya
tersendiri kerana sudah menjadi tradisi di Ponorogo, Indonesia, satu
pesta kebudayaan ‘Reyog’ terus diadakan setiap tahun.
Ia turut
menjadi tunjang kepada keturunan Jawa Ponorogo di negara ini untuk
terus mempraktikkan banyak aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti kuda
kepang, barongan, wayang kulit dan permainan muzik gamelan. Lebih
ketara, perhubungan berterusan masyarakat itu dengan keluarga asal di
Ponorogo, membolehkan budaya itu dikekalkan.
Kebetulan, ketika
tugasan Misteri Etnik ini dijalankan, ramai masyarakat di Parit Warijo
berkunjung ke Ponorogo kerana di sana bakal diadakan pesta Reyog yang
kebiasaannya menjadi keramaian terbesar setiap kali tiba Awal Muharam.
Kelebihan mereka juga terletak kepada darah pahlawan yang menebal
dalam diri mereka, terutama jika merujuk sejarah mereka dalam
perkembangan Islam dan tuntutan kemerdekaan daripada kerajaan Majapahit.
Jawa Ponorogo ini turut dikenali pejuang ‘Warok’ yang diabadikan
sebagai tugu besar di daerah itu di Indonesia.
Darah
kepahlawanan dan keberanian itulah mendorong mereka untuk membina
penempatan di kebanyakan kawasan di Batu Pahat. Malah, di Sri Medan
sendiri, boleh dikatakan 80 peratus penduduknya berdarah Ponorogo selain
etnik Jawa lain, Banjar dan masyarakat Cina yang bergelar minoriti di
situ.
Status diri sebagai ‘orang kaya’ juga sesuai bagi
menggambarkan cara hidup mereka. Difahamkan, tidak banyak kenderaan awam
yang sanggup memasuki kawasan itu kerana sukar mendapat penumpang
lantaran setiap isi rumah memiliki kereta sendiri, termasuk berkereta
mewah.
Jika adapun, mungkin sekali bagi setiap dua ke tiga jam,
kelihatan kelibat bas awam, itupun tidak ramai penumpang. Kemewahan
masyarakat itu mungkin didorong keupayaan mengusahakan sektor pertanian
dan perladangan. Difahamkan juga, ekonomi rumah tangga turut dibantu
hasil usaha golongan wanitanya yang mahir mengusahakan pelbagai kerja
tangan.
Biarpun kaya atau berkemampuan, mereka tidak lekang
sikap ramah, merendah diri serta budi bahasa tinggi yang menarik hati
penulis. Tidak hairanlah kerap juga program anak angkat diadakan di situ
kerana mudah mendapat kerjasama keluarga yang sudi menerima tetamu.
Mereka juga dikatakan golongan kuat beribadat dan hebat berdakwah,
termasuk penggunaan pentas wayang kulit sebagai saluran utamanya. Malah,
ia menjadi alat utama pada zaman wali kesembilan di Jawa ketika
penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat Jawa Hindu.
Namun,
disebabkan Indonesia secara umumnya dan Kepulauan Jawa pada dulunya
dimonopoli agama Hindu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi budaya
masyarakat Jawa termasuk Ponorogo, terutama struktur rumah.
Kebanyakan, malah mungkin semua rumah asal Jawa Ponorogo mempunyai ruang
di tengah dinding berlubang dengan satu kayu setinggi paras betis di
bawahnya dikenali sebagai ‘Undak Undaan’. Ia sebenarnya digunakan oleh
masyarakat dulu untuk meletak kemenyan dan kelapa, kononnya untuk
meraikan sesuatu. Ia nyata pengaruh Hindu yang dibawa mereka, namun
sudah diketepikan kini.
Bahasa halus kian pupus
JAWA
Ponorogo mempunyai beberapa kelainan jika dibandingkan dengan
masyarakat Jawa lain kerana mereka bukan sekadar berasal dari Jawa
Timur, satu daerah dalam Kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Barat
dan Tengah, malah masyarakat itu turut mempunyai bahasa pertuturan
berbeza.
Jika orang Jawa Ponorogo bercakap dalam bahasa mereka,
ia mungkin tidak difahami masyarakat Jawa lain dan begitu juga
sebaliknya. Lebih unik, Jawa Ponorogo mempunyai dua jenis bahasa iaitu
bahasa pasar (pertuturan biasa) dan bahasa halus yang kini semakin pupus
kerana kurang pengamalnya.
Satu keistimewaan masyarakat ini
ialah ketegasan ibu bapa dalam memastikan bahasa Jawa Ponorogo terus
diwarisi golongan muda sama ada dengan penggunaan secara kerap dalam
rumah, mahupun menjadi bahasa pertuturan rasmi di mana saja mereka
berada.
Justeru, tidak menghairankan jika meskipun orang Jawa
Ponorogo sedang berbual dalam Bahasa Melayu sesama rakan bukan Jawa,
mereka akan dengan spontan menukar bahasa pertuturan itu ke bahasa Jawa
sejurus ada seorang rakan Jawa menyertai perbualan itu.
Ia juga
sama dalam banyak urusan sama ada ketika menyampaikan ceramah dan
ucapan sesama mereka. Sukar sekali untuk difahami lenggok bahasa Jawa
Ponorogo ini kerana tiada langsung persamaan dengan bahasa Melayu.
Ketika melihat persembahan wayang kulit yang dibawa khusus dari
Ponorogo, Indonesia di satu majlis perkahwinan, semua pengunjung Melayu
hanya mampu terpinga-pinga, malah dalam kalangan orang Jawa juga ada
yang asyik kehalusan sekali bahasa yang digunakan.
Ia sekali
gus menunjukkan begitu unik sekali bahasa Jawa Ponorogo dalam masyarakat
itu, namun hakikat yang perlu diakui ialah ia semakin pupus kerana
tidak ramai generasi baru termasuk golongan umur pertengahan yang
menguasai bahasa Jawa Ponorogo halus.
“Kue apik tenang. Ayo la
neng ngomah ku. Aku madang sego.” Rasanya bahasa itu kedengaran berbeza
sekali dengan orang Jawa lain. Ayat itu yang membawa maksud - “Kamu
sangat baik hati. Jemputlah ke rumah saya. Aku makan nasi.” Ada antara
isi ayat itu hanya ada pada orang Jawa Ponorogo.
Namun, jika
diteliti pula aspek bahasa halus mereka, nyata jauh sangat perbezaan
dengan bahasa pertuturan harian. Malah, jika ditanya kepada orang Jawa
lain, pasti ada yang langsung tidak tahu maksudnya sesuatu perkataan
itu.
Sebagai contoh, makan dalam masyarakat Jawa adalah madang
dan ada menyebutnya mangan. Namun, dalam bahasa halus Jawa Ponorogo, ia
disebut dahar. Nyata jauh sekali perbezaannya, bukan sekadar mengubah
satu dua suku kata.
Tidur disebut turu dalam perbualan harian
tetapi menjadi tilem dalam bahasa halus. Rumah atau omah menjadi griyo,
manakala jalan atau dalan menjadi radosan.
Apa sekalipun,
keunikan itu pasti menjadikan masyarakat itu sangat menarik untuk
didekati, bukan sekadar bahasa tetapi cara hidup dan budaya mereka
tersendiri