Thursday, September 27, 2012

Filem tempatan perlukan bahan sastera

Kejayaan filem Ombak Rindu membawa maknanya yang tersendiri pada dunia sastera tanah air. Filem arahan Osman Ali yang dilakonkan oleh Aaron Aziz dan Maya Karin itu mencecah pungutan RM10 juta pada tahun lalu.

Novel karya Fauziah Ashari itu merupakan novel popular atau ringan (ada yang melabelkannya karya picisan). Fauziah seperti juga Achdiat Akasah (novelis paling prolifik di Malaysia hari ini yang setakat ini telah menghasilkan 86 buah novel) merupakan di antara beberapa orang penulis yang karya mereka ‘boleh difilemkan’ atau filmable. Kita juga harus mengakui bahawa novel dan filem merupakan dua medium yang berbeza, yang satu bergantung pada kekuatan penceritaan atau naratif dan bahasa, yang satu lagi kekuatan visual.
Novel yang dianggap paling sukar di dunia pun telah cuba difilemkan antaranya Don Quixote (karya Miguel de Cervantes), Moby Dick (Herman Melville), War and Peace (Leo Tolstoy), Ulysess (James Joyce) dan The Brothers Karamazov (Feodor Dostoevsky). Kelima-lima novel ini termasuk dalam senarai 100 novel terbaik dunia.

"Karya sastera telah teruji dan melalui proses pencerahan dan penilaian yang luar biasa"
Perjalanan buku The Lord of the Rings menarik untuk diperhatikan. Karya itu ditulis lebih awal lagi tetapi hanya pada tahun 50-an trilogi itu diterbitkan. Walaupun buku itu mendapat perhatian luar biasa tetapi kandungannya dianggap ‘sukar untuk difilemkan’. Pembikin filem, Ralph Bakshi mencuba menggunakan animasi dan lakonan pada tahun 1978 tetapi hasilnya tidaklah begitu memuaskan. Peter Jack-son mempunyai teknologi dan kemahiran secukupnya untuk menjadikannya filem yang laris dan dihargai apabila ditayangkan pada tahun 2001 hingga 2003.

Moral ceritanya ialah karya sastera boleh difilemkan. Memang terdapat kesukarannya tersendiri membuat adaptasi sastera ke layar perak, tetapi tidaklah mustahil melakukannya. Filem-filem Melayu pada zaman gemilangnya di Singapura banyak mengambil karya sastera sebagai asasnya. Filem lakonan P. Ramlee yang ke-23, Hang Tuah arahan Phani Majumdar didasarkan pada epik Melayu yang tersohor.

Filem-filem terkenal seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Nujum Pak Belalang, Megat Terawis, Panji Semerang, Si Tanggang, Hang Jebat, Jula Juli Bintang Tiga, Seri Mersing, Puteri Gunung Ledang, Badang dan Raja Bersiong diambil dari cerita nasihat, epik, legenda, mitos atau cerita jenaka Melayu.

Dalam satu kajian yang dibuat mengenai filem-filem awal Hollywood, di antara tahun 1935 dan 1945, sebanyak 976 atau 17.2 peratus filem didasarkan daripada novel. Tinjauan yang dibuat oleh sebuah majalah antarabangsa mendapati dua buah filem yang ‘paling diingat sepanjang zaman’ dalam sejarah sinema Barat ialah Birth of a Nation (filem tanpa suara) dan Gone With the Wind, kedua-duanya didasarkan daripada novel.
Mengapakah pembikin filem tempatan kurang memberikan perhatian pada karya sastera? Saya meneliti semula Bibliografi Sastera Melayu Moden 1925 hingga 1980 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Senarai ini memuatkan semua karya sastera moden yang pernah diterbitkan sehingga tahun 1980, termasuklah novel dan cerpen Melayu pertama. Jumlahnya ribuan. Semuanya mempunyai kekuatan yang tersendiri yang boleh dijadikan bahan filem.

Saya memahami kesukaran M. Amin membawakan Rumah Itu Duniaku ke filem (1964). Novel asalnya ditulis oleh salah seorang pengasas Angkatan Sasterawan 50, yakni Hamzah. Saya juga sedar tidak mudah bagi Hussein Haniff untuk menyesuaikan drama Mac-beth ke dalam filem Melayu (Istana Berdarah, 1964). Saya mengagumi usaha Jamil Sulong membawakan Ranjau Sepanjang Jalan, karya Shahnon Ahmad ke layar perak (1983). Setiap pembikin filem ini berdepan dengan cabaran yang khusus.

Saya teringat kontroversi membabitkan drama TV berjudul Rantau Selamat yang didasarkan daripada novel Abdullah Hussein. Allahyarham P. Ramlee telah diberikan tugas membuat adaptasi itu, malangnya kerenah birokrasi menghalang kita daripada menyaksikan hasil akhirnya di TV.

Saya melihat potensi yang besar karya-karya sastera tempatan sebagai bahan filem. Dalam kitab Sejarah Melayu, terdapat puluhan cerita yang sesuai difilemkan, dari kisah perjalanan Raja Suran, Tun Jana Khatib, Singapura Dilanggar Todak, Sultan Muzafir Syah menangkap pencuri, Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Bendahara Tun Perak, Tun Ali, Tun Kudu, Semerluki dan banyak lagi.

Kita juga perlu melihat karya-karya penting dalam sastera Melayu seperti Panglima Awang (Harun Aminurashid), Salina (A. Samad Said), Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang), Sandera (Arenawati), Seroja Masih Di Kolam (Adibah Amin), Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan) dan entah sekian banyak cerpen bermutu karya Keris Mas, A. Samad Ismail, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, Azizi Haji Abdullah dan ramai lagi. Karya-karya ini mempunyai semangat ke-Melayuan yang kuat, citra yang amat kurang dalam filem Melayu hari ini.

Karya sastera telah teruji dan melalui proses pencerahan dan penilaian yang luar biasa. Maka dengan sendirinya, karya-karya ini menunjukkan kekuatan yang khusus daripada aspek jalan cerita, perwatakan atau sudut pandangan. Apa yang diperlukan ialah ‘menterjemahkannya’ untuk medium filem. Proses ini sukar dan menyulitkan. Budaya membuat adaptasi sebenarnya belum cukup berkembang di negara ini.

Maka itu pembikin filem kembali pada cara lama mengambil bahan yang mentah, murahan dan berkualiti rendah untuk dijadikan bahan filem.

Asas yang lemah melahirkan karya filem yang juga lemah.