Ulama’ sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu merupakan ayat jamak daripada perkataan Aalim yang bermaksud orang yang mempunyai banyak ilmu. Dari segi istilahnya, ulama’ bermaksud orang-orang yang mempunyai ilmu agama yang mendalam. Mereka ini bersifat thiqah iaitu adil (meletakkan sesuatu pada tempatnya)dan dhobit (kuat ingatan utk menghafal). Mereka juga jauh daripada tergolong dalam golongan fasik (orang yang berdosa) dan jauhkan diri mereka dari perkara syubhah(perkara yang diragui sama ada berdosa atau tidak). Mereka juga mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang al-Quran dan al-Hadith yang membolehkan mereka tersenarai dalam golongan mujtahid (golongan yang dibenarkan berijtihad dalam menentukan sesuatu hukum atau mengeluarkan sesuatu fatwa).
Seni menurut Kamus Dewan bermaksud halus, indah, dan cantik. Seni juga menggambarkan luahan perasaan yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata biasa. Seni bersifat estetika iaitu tidak tergambar tinggi nilainya dan seni itu boleh dirasai melalui pancaindera manusia iaitu mata, telinga, hidung, mulut dan kulit. Setiap insan yang dapat merasainya pasti akan tersentuh perasaan mereka melalui mesej yang ingin disampaikan oleh sesuatu seni itu sama ada gembira, sedih, marah, kecewa, berani dan ketawa. Terdapat pelbagai bentuk seni yang ada di dunia ini seperti seni ukiran, seni lukisan, seni bunyi/muzik, seni puisi, seni tarian, seni lakonan, seni penulisan, seni bela diri atau juga seni masakan.
Konsep seni dalam perspektif Islam, seni adalah sesuatu yang indah dan membawa manusia mengingati keagungan PenciptaNya serta menambahkan kecintaan dan ketaatan manusia itu kepada Tuhan yang telah menciptakan seni itu, iaitu Allah Subhanahuwataala. Slogan ‘Seni Untuk Seni’ bagi seorang muslim adalah sesuatu yang tidak kena kerana keindahan seni itu perlu disandarkan kepada kehebatan kuasa Allah, seharusnya slogan yang lebih tepat ialah ‘Seni Untuk Tuhan’.
Ulama’ telah membahaskan hukum seni dengan panjang lebar. Namun, hukum asal seni itu adalah harus. Hukum seni juga boleh bertukar menjadi haram sekiranya seni itu diperlakukan secara tidak betul serta mambawa pendengar atau penontonnya lalai daripada mengingati Allah. Namun, ramai juga para tokoh Islam dan ulama yang meminati seni sebagai pengubat sendu mereka seperti Ibnu Sina, ibnu al-Farabi, Imam al-Ghazali, Jalaluddin Rumi, dan Rabiatul Adawiyah. Imam as-Syafie meletakkan hukum nyanyian itu haram dan barangsiapa yang mendengarnya, maka penyaksiannya ditolak. Walaupun begitu, imam Syafie juga merupakan seorang penyair yang hebat. Bibit-bibit syair begitu mudah saja mengalir di bibirnya. Ibnu al-Farabi adalah seorang pemain gendang yang hebat sehingga kemahirannya itu membawa beliau untuk mencari Tuhannya. Rabiatul adwiyah pula ahli sufi wanita yang pandai bermain seruling dan beliau akan memainkannya dalam majlis-majlis zikir. Jalaluddin Rumi pula merupakan seorang ahli falsafah dan ahli sufi yang telah mencipta ‘Tarian Sufi’ (Whirling Dervish Dance) dalam tarikatnya iaitu kaum Sufi Maulawiyah(Mevlevi). Sehingga kini tarian ini menjadi kebudayaan yang terkenal bukan sahaja di Turki, malah juga di Eropah.
Melihat masyarakat muslim yang terdedah dengan kemodenan pada hari ini, kita diwar-warkan dengan kelalaian anak-anak muda yang begitu fanatik dengan dengan hiburan yang melalaikan. Gejala hendonisme ni dialun dengan muzik-muzik yang pelbagai. Jika kita perhatikan lirik-lirik lagu malayu pada masa kini, pengkaryanya sudah tidak malu-malu menceritakan perkara yang tidak baik seperti kecurangan dalam perhubungan dan perkara –perkara yang tidak elok didengari anak-anak remaja yang mudah terikut-ikut. Selain itu alunan muzik juga agak keras dan memerlukan lontaran vokal seperti terjerit-jerit yang boleh menjadikan hati mereka keras dan agresif. Kalau beginilah sikap para pengkarya yang memenuhi industri seni ini, tidak hairanlah masyarakat kini memandang kerjaya seni sebagai kerjaya yang tidak baik.
Menurut Imam al-Ghazali lagi, mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram. Al-Ghazali mengklasifikasikan lagu kepada tujuh jenis:
- Lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah, dan Madinah.
- Lagu yang mengoborkan semangat untuk berjuang mempertahankan akidah dan negara.
- Lagu yang mengisahkan pertarungan dan sikap jantan yang pantang mengalah di saat-saat genting.
- Mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedaran yang positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.
- Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya selama yang mungkin.
- Lagu bercorak Ghazal yang sopan yang menceritakan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pautan yang erat di masa yang akan datang.
- Lagu yang menngisahkan keagungan sifat-sifat Tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya.
Dari situ kita dapat lihat seni itu bukanlah sesuatu yang diharamkan sekiranya terdapat manfaat yang membawa kita untuk menilai kehidupan dengan lebih indah, membawa kita untuk menyedari indahnya Islam, dan meningkatkan kecintaan kita pada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Dalam suatu hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Anas r.a (Sunan Abu Daud, Jilid IV, m/s 281) maksudnya:
“Tatkala Rasulullah datang ke Madinah, orang Habsyah (Ethopia) menari dengan gembira menyambut kedatangan beliau sambil memainkan senjata mereka”.
Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama kita menghayati firman Allah s.w.t dalam surah As-Syu’ara’, ayat 224-227 yang bermaksud:
“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara tiap-tiap lembah, dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakan?kecuali orang-orang (penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali” .