Friday, November 19, 2010

MAHLIGAI KASIH


Assalamualaikum..Selamat Hari Raya Aidiladha buat rakan semua..sudah lama saya tidak update blog ini kerana sibuk memikirkan pengajian sarjana saya yang akan bermula hujung Disember ini.. Namun, kehadiran saya secara maya pada kali ini ingin membawa sebuah lagu yang saya gemari sejak di bangku sekolah lagi..mungkin lagu dari kumpulan nasyid UNIC ini tidak berapa popular kerana lagu ini berada dalam album pertama seawal kemunculan mereka. Namun bait-bait kata dalam lirik lagu ini cukup menarik dan menyentuh hati saya..buat insan dan rakan-rakan yang sedang dilamun cinta dan bakal melangsungkan pertunangan, perkahwinan atau bakal menimang cahaya mata, sama-samalah kita hayati lirik lagu ini agar cinta yang kita harapkan lebih terbimbing dan diberkati..Amin ya Allah..


Duhai kasih cuba kau dengarkan
Bisik hati penuh kejujuran
Dengan sepenuh keikhlasan
Kudambakan pengertian

Jangan kau dengar fitnah  dunia 
Kerna ianya dusta semata
Menghancurkan kesucian
Jalinan kebahagiaan


Sebenarnya aku merasa
Sinar cahaya yang gemilang
Ketika kau beri ku harapan


Dan sering aku harapkan
Cinta berlandas keimanan
Dan kasih suci kita kan diberkati


Ku cuba sedaya
Agar dirahmati perhubungan yang telah terbina
Kerna pasti aku yang akan merasa 
Pedihnya kehilangan insan sepertimu


Tuhan berikanlah
Ketabahan hatiku untuk membina impian kasihku
Bersama mengharapkan ketulusan cinta ini 
Hingga terbina mahligai bahagia


Ku cuba sedaya 
Agar dirahmati perhubungan yang telah terbina
Kerna pasti aku yang akan merasa 
Pedihnya kehilangan insan sepertimu..


Wednesday, October 20, 2010

ULAMA DAN SENI


Ulama’ sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu merupakan ayat jamak daripada perkataan Aalim yang bermaksud orang yang mempunyai banyak ilmu. Dari segi istilahnya, ulama’ bermaksud orang-orang yang mempunyai ilmu agama yang mendalam. Mereka ini bersifat thiqah iaitu adil (meletakkan sesuatu pada tempatnya)dan dhobit (kuat ingatan utk menghafal). Mereka juga jauh daripada tergolong dalam golongan fasik (orang yang berdosa) dan jauhkan diri mereka dari perkara syubhah(perkara yang diragui sama ada berdosa atau tidak). Mereka juga mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang al-Quran dan al-Hadith yang membolehkan mereka tersenarai dalam golongan mujtahid (golongan yang dibenarkan berijtihad dalam menentukan sesuatu hukum atau mengeluarkan sesuatu fatwa).
Seni menurut Kamus Dewan bermaksud halus, indah, dan cantik. Seni juga menggambarkan luahan perasaan yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata biasa. Seni bersifat estetika iaitu tidak tergambar tinggi nilainya dan seni itu boleh dirasai melalui pancaindera manusia iaitu mata, telinga, hidung, mulut dan kulit. Setiap insan yang dapat merasainya pasti akan tersentuh perasaan mereka melalui  mesej yang ingin disampaikan oleh sesuatu seni  itu sama ada gembira, sedih, marah, kecewa, berani dan ketawa. Terdapat pelbagai bentuk seni yang ada di dunia ini seperti seni ukiran, seni lukisan, seni bunyi/muzik, seni puisi, seni tarian, seni lakonan, seni penulisan, seni bela diri atau juga seni masakan.
Konsep seni dalam perspektif Islam, seni  adalah sesuatu yang indah dan membawa manusia mengingati keagungan PenciptaNya serta menambahkan kecintaan dan ketaatan manusia itu kepada Tuhan yang telah menciptakan seni itu, iaitu Allah Subhanahuwataala. Slogan ‘Seni Untuk Seni’ bagi seorang muslim adalah sesuatu yang tidak kena kerana keindahan seni itu perlu  disandarkan kepada kehebatan kuasa Allah, seharusnya slogan yang lebih tepat ialah ‘Seni Untuk Tuhan’.
Ulama’ telah membahaskan hukum seni dengan panjang lebar. Namun, hukum asal seni itu adalah harus. Hukum seni juga boleh bertukar menjadi haram sekiranya seni itu diperlakukan secara tidak betul serta mambawa pendengar atau penontonnya lalai daripada mengingati Allah. Namun, ramai juga para tokoh Islam dan ulama yang  meminati seni sebagai pengubat sendu mereka seperti Ibnu Sina, ibnu al-Farabi, Imam al-Ghazali, Jalaluddin Rumi, dan Rabiatul Adawiyah. Imam as-Syafie meletakkan hukum nyanyian itu haram dan barangsiapa yang mendengarnya, maka penyaksiannya ditolak. Walaupun begitu, imam Syafie juga merupakan seorang penyair yang hebat.  Bibit-bibit syair begitu mudah saja mengalir di bibirnya. Ibnu al-Farabi adalah seorang pemain gendang yang hebat sehingga kemahirannya itu membawa beliau untuk mencari Tuhannya. Rabiatul adwiyah pula ahli sufi wanita yang pandai bermain seruling dan beliau akan memainkannya dalam majlis-majlis zikir. Jalaluddin Rumi pula merupakan seorang ahli falsafah dan ahli sufi yang telah mencipta ‘Tarian Sufi’ (Whirling Dervish Dance) dalam tarikatnya iaitu kaum Sufi Maulawiyah(Mevlevi). Sehingga kini tarian ini menjadi kebudayaan yang terkenal bukan sahaja di Turki, malah juga di Eropah.
Melihat masyarakat muslim yang terdedah dengan kemodenan pada hari ini, kita diwar-warkan dengan kelalaian anak-anak muda yang begitu fanatik dengan dengan hiburan  yang melalaikan. Gejala hendonisme ni dialun dengan muzik-muzik yang pelbagai. Jika kita perhatikan lirik-lirik lagu malayu pada masa kini, pengkaryanya sudah tidak malu-malu menceritakan perkara yang tidak baik seperti kecurangan dalam perhubungan dan perkara –perkara yang tidak elok didengari anak-anak remaja yang mudah terikut-ikut. Selain itu alunan muzik juga agak keras dan memerlukan lontaran vokal seperti  terjerit-jerit yang boleh menjadikan hati mereka keras dan agresif. Kalau beginilah sikap para pengkarya yang memenuhi industri seni ini, tidak hairanlah masyarakat kini memandang kerjaya seni sebagai kerjaya yang tidak baik.
Menurut Imam al-Ghazali lagi, mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram. Al-Ghazali mengklasifikasikan lagu kepada tujuh jenis:
  1. Lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi tempat-tempat suci seperti Mekah, dan Madinah.
  2. Lagu yang mengoborkan semangat untuk berjuang mempertahankan akidah dan negara.
  3. Lagu yang mengisahkan pertarungan dan sikap jantan yang pantang mengalah di saat-saat genting.
  4. Mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan kesedaran yang positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup yang sebenar.
  5. Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya selama yang mungkin.
  6. Lagu bercorak Ghazal yang sopan yang menceritakan kisah cinta dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pautan yang erat di masa yang akan datang.
  7. Lagu yang menngisahkan keagungan sifat-sifat Tuhan, memuji serta mentahmidkan kebesarannya.
                                                             
Dari situ kita dapat lihat seni itu bukanlah sesuatu yang diharamkan sekiranya terdapat manfaat yang membawa kita untuk menilai kehidupan dengan lebih indah, membawa kita untuk menyedari indahnya Islam, dan meningkatkan kecintaan kita pada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Dalam suatu hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, dari Anas r.a (Sunan Abu Daud, Jilid IV, m/s 281) maksudnya:

 Tatkala Rasulullah datang ke Madinah, orang Habsyah (Ethopia) menari dengan gembira menyambut kedatangan beliau sambil memainkan senjata mereka”.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama kita menghayati firman Allah s.w.t dalam surah As-Syu’ara’, ayat 224-227 yang bermaksud:

            “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara tiap-tiap lembah, dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak kerjakan?kecuali orang-orang (penyair-penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali” .

Saturday, October 16, 2010

BERKATNYA SEBUAH KESABARAN


Assalamualaikum semua..
Pernahkah anda berada dalam situasi dimana anda jatuh terduduk kerana mengetahui syarikat yang anda bina selama ini dengan titik peluh anda sendiri akan muflis? Atau mungkin anda mendengar khabar berita bakal suami anda ingin membatalkan perkahwinan di saat-saat akhir? Atau anda tiba-tiba didatangi seorang teman yang anda percayai selama ini memaki hamun anda dan memalukan anda dihadapan semua orang?bagaimana pula situasi di mana keluarga, rakan-rakan dan teman-teman yang selama ini menjadi penyokong anda telah pun hilang membiarkan anda menghadapi masalah seorang diri?
Tentu sekali pada saat itu, hati anda dengan segala keterujaannya telah pun hancur luluh..segala keyakinan diri anda, kesabaran anda dan ketabahan anda mula hilang pergi entah ke mana...anda berasa sepi..sunyi..anda sudahpun berusaha sebaik mungkin untuk berjaya dan bahagia, namun kegagalan masih lagi datang menjemput anda.. anda mula mempertikaikan kekuasaan Allah s.w.t dan mengapa begitu hebat sekali anda diuji..anda mula berfikir mengapa dunia ini terlalu kejam terhadap insan seperti anda. Atau anda tertanya di manakah keadilan dan kebenaran yang seharusnya ada di dunia ini? anda mula jadi tidak keruan dan berfikir dengan menungan yang panjang dan tidak berkesudahan. Perlahan-lahan secara tidak sedar, persepsi dan pandangan anda terhadap kehidupan mula merubah..
Percaya atau tidak, pada saat ini, KESABARAN adalah satu-satunya penentu sama ada hidup anda akan kembali bahagia atau sebaliknya..ini kerana ketika anda dilanda musibah yang sehebat ini, emosi dan tekanan jiwa sedikit sebanyak mula mengawal minda anda. Dan ketika itu juga, tiada sesiapa yang akan menjadi penasihat anda melainkan anda sendiri. Sekiranya ada dikalangan teman-teman anda yang ingin memberikan nasihat sekalipun, anda tidak akan dapat menerimanya kerana kesedaran itu bukan datang dari hati anda sendiri lebih-lebih lagi ketika anda diselubungi kesedihan, perkara yang buruk-buruk sentiasa bermain di benak anda..maka, tidak mustahil saat itu anda boleh melakukan pelbagai tindakan bodoh yang anda sendiri tidak dapat menjangka natijah yang akan anda terima..
Sahabat-sahabat sekelian, setiap apa yang terjadi di dunia yang dijadikan Allah s.w.t pasti ada hikmahnya, tidak pernah ada yang sia-sia dalam ciptaanNya. Dan Allah s.w.t tidak pernah malu dalam mencipta sehina-hina makhluk di alam semesta milikNya meskipun ia hanya seekor nyamuk..segala musibah yang menimpa kita adalah tarbiah daripada Allah s.w.t supaya kita kembali menilai dan dan mencari kekhilafan diri untuk menjadi insan yang kamil dan sempurna. Ingatlah, hidup kita di dunia bukanlah untuk bersenang-senang, sebaliknya setiap manusia tidak akan akan terlepas daripada menerima musibah dan ujian kehidupan sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud:
                “..dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”

Kata-kata orang bijak pandai, sabar itu manis buahnya. Sabar itulah yang akan menyelamatkan kita daripada terjun ke lembah kebinasaan. Begitulah tingginya nilai kesabaran yang perlu ada dalam diri manusia. Dalam satu artikel yang ditulis di sebuah dada akhbar  yang pernah saya baca, berlaku suatu kejadian di mana seorang jiran mualaf telah dibelasah dengan topi keledar hingga pengsan hanya disebabkan mualaf itu menegur jirannya memasang muzik yang kuat sehingga mengganggu jiran lain. Ini adalah salah satu daripada kepincangan masyarakat moden yang dapat kita lihat pada hari ini dengan pelbagai jenayah yang berlaku berpunca daripada hal yang remeh-temeh, ini  jelas menunjukkan kurangnya nilai kesabaran di kalangan masyarakat kita sendiri yang akhirnya mengundang pelbagai masalah mental seterusnya membawa kepada pelbagai jenayah yang langsung tidak masuk akal ianya boleh berlaku.
Sahabat-sahabat, marilah amalkan sifat sabar yang mampu membuat kita berjaya. Kejayaan itu datang bukan sahaja dengan usaha dan kepintaran, tetapi juga dengan kawalan emosi dan keperibadian kita. Biarlah orang buat jahat pada kita, biarlah orang perbodohkan kita, biarlah orang berlaku zalim pada kita, kita balaslah dengan perkara yang lebih baik sambil berdoa semoga orang yang menzalimi kita itu sedar dan insaf atas kejahatannya. Janganlah kejahatan itu dibalas dengan kejahatan yang hanya akan menambahkan segala kejahatan yang ada di muka bumi ini. Maka dengan  itu, syaitan hanya akan gembira dan bertepuk tangan atas kegagalan kita iaitu manusia dalam mengatasi kemarahan. Firman Allah s.w.t lagi dalam Surah al-Baqarah, ayat 150-153 yang bermaksud:
                “Maka ingatlah Aku, Aku pun akan ingat kepadamu, bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu. Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dari Allah dengan sabar dan solat. Sungguh Allah beserta dengan orang-orang yang sabar..”


Jadi kawan-kawan, bersabarlah..kita tidak akan rugi..Assalamualaikum..=)

Friday, September 3, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Pejam celik-pejam celik, sudah 24 Ramadan berlalu. Bulan Syawal pula semakin hampir. Berat rasanya bagi saya untuk meninggalkan bulan mulia ini pergi kerana Ramadan kali ini terasa begitu bermakna dari yang sebelumnya. Amal ibadah juga bertambah untuk menyambut keberkatannya lebih-lebih lagi di sepuluh malam terakhir..


Pada waktu begini, pastinya para ibubapa dan anak-anak melakukan persiapan untuk menyambut hari yang mulia ini. Lagu-lagu raya mula berkumandang di corong radio dan televisyen. Kadangkala, sejak awal ramadhan lagi sudah kedengaran bunyi mercun sambung-menyambung, lebih-lebih lagi menjelang syawal yang tidak lama lagi akan tiba. Bagi anak-anak perempuan seperti saya, keringat saya sudah mula dikerah untuk melakukan pelbagai persiapan. kemas rumah, tukar langsir, membuat kuih dan ketupat semuanya menjadi rutin kami sekeluarga setiap tahun.
 
Bersempena  bulan yang mulia ini, ingin sekali saya mengucapkan selamat hari raya buat seluru ahli keluarga dan rakan yang mengenali diri ini. Maaf kiranya ada salah silap saya yang telah mengguris hati anda semua.. Semoga bulan yang mulia ini memberi rahmat kepada kita untuk saling mengeratkan silaturrahim dan bermaaf-maafan sesama kita..buangkanlah segala persengketaan dan binalah ukhwah yang akan memperutuhkan ikatan kita sebagai satu ummah, dan semoga kita terus beramal ibadah bukan sahaja di bulan puasa, tetapi di bulan-bulan yang lainnya..Salam Lebaran buat semua..=)








Tuesday, August 24, 2010

SALAM PERKENALAN..

Assalamualaikum. Salam tulus ikhlas saya ucapkan buat seluruh pembaca . Buat pertama kalinya saya berjaya memujuk hati saya untuk membuka sebuah blog sebagai medan perkongsian ilmu dan maklumat buat rakan-rakan dan sesiapa saja yang ingin mengenali diri saya dengan lebih dekat. Kali ni, saya benar-benar bertekad untuk menubuhkan blog ini buat tontonan anda semua. Bukanlah niat di hati saya untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah, mungkin kerana sudah sampai masanya untuk saya kongsikan dengan anda segala pengalaman yang saya lalui yang mungkin boleh dijadikan tauladan sekiranya perkara itu baik dan sempadan sekiranya buruklah diri saya ini. Berada di dunia yang tidak ada sempadan ini menjanjikan kita seribu satu kebebasan yang harus kita rebut sekadar mana yang kita perlukan agar puncak impian yang ingin kita miliki itu mampu kita capai dengan jayanya. Ambillah sebanyak mana ilmu yang anda ingin namun haruslah anda tetap dengan pendirian anda. Janganlah dengan kebebasan yang ada itu menggoda jiwa anda untuk mencapai segalanya sehingga prinsip dan pegangan hidup anda selama ini tergadai.
Sudahla lama rasanya saya menyimpan hasrat membuka ruangan ini untuk dikongsikan dengan anda semua supaya anda dapat merasakan betapa hebatnya pengalaman yang saya perolehi, betapa hebatnya sebuah sastera dan kesenian melayu yang ada di rantau ini. Lebih mengujakan, betapa hebatnya seni dan kesusasteraan islam yang saya pelajari di mana pengetahuannya di kalangan masyaralat umum adalah terlalu sedikit. Saya adalah seorang anak seni. Sedari kecil lagi, minat saya pada seni adalah terlalu tinggi. Mujurlah saya diberi rahmat dan hidayah daripada Allah untuk meneroka suatu kesenian yang lebih indah dan mampu mendekatkan diri saya kepada-Nya ,iaitu kesenian dan kesusasteraan islam.
Dan saya amat bersyukur apabila saya diberikan jalan untuk mempelajari ilmu agama di samping menyulam minat dan kesukaan saya ini dalam bidang kesusasteraan. Maha Suci Allah yang telah memberikan bakat dan anugerah ini untuk saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Ini adalah jauh lebih baik daripada saya terpesong dan gelombang hendonisme yang melanda masyarakat globalisasi hari ini yang membawa mereka jauh daripada mengingati Allah s.w.t.
Sewaktu di bangku sekolah (ketika berusia 13 tahun), saya sudah pun merancang kehidupan saya pada 10 tahun akan datang.. Tentang apakah yang akan berlaku dengan cita-cita, impian dan minat saya..Saya amat takut melihat rakan-rakan saya yang tidak punya matlamat hidup dalam diri mereka. Sekalipun mereka sangat pandai dan mendapat banyak ‘A’ dan keputusan peperiksaan mereka. Syukur, Alhamdulillah.. boleh dikatakan hampir kesemua impian yang ingin yang saya capai 10 tahun lalu sudah pun saya genggami hari ini..Bagaimana pula dengan anda? Sudahkah anda bertanya pada diri anda apa yang ingin anda kecapi hari ini? Dan adakah impian anda itu mampu mendekatkan diri anda dengan Allah s.w.t??