Friday, October 29, 2021

Allah Yang Maha Sabar (Al-Sabur)

Assalamualaikum sahabat maya, 

Sudah lama saya tidak meluangkan masa menulis di blog ini, bagi saya blog teratai atma ini adalah dunia saya. Tempat saya meluahkan segala yang terbuku di hati. Perkara yang sulit untuk saya jelaskan jika saya di dunia nyata. Namun, untuk mencari masa menulis di sini saya perlukan masa yang cukup-cukup tenang dan jauh dari kesibukan untuk menyampaikannya. 

Sejak dua menjak ini saya banyak diuji dengan hal yang berat-berat. Yang menguji kesabaran saya, mencabar kredibiliti saya dan kehidupan peribadi saya digali  seperti saya tak punya harga diri, keluarga dan nama untuk saya jaga. Tetapi saya tidak mahu terlalu ambil hati dengan semua ini, kerana ini bukan kali pertama berlaku. Entah apa yang mereka cari, cuba untuk dedahkan, saya pun tak tahulah. Saya jalankan kehidupan seperti biasa sahaja. 

Saya cuba bersabar dan lebih banyak mendiamkan diri, kurang mengemaskini status di media sosial walaupun itu menggembirakan saya. Rasa tawar hati dengan kehidupan mula datang membuatkan  saya mula memikirkan untuk kembali menyambung pengajian ke peringkat PhD. 

Alhamdulillah, saat membaca surat tawaran menyambung pengajian di peringkat PhD. Suatu kegembiraan yang sukar saya gambarkan. Betapa Hebat dan Besarnya Allah. Syukur yang tertinggi saya panjatkan kepadaNya. Saya terasa seperti bermimpi. Ternyata keputusan ini memberi semangat baru kepada saya. Allah S.W.T menjawab permintaan saya sekian lama. 


Bila memkirkan semua ini saya mula bertanya kepada diri. Selama ini saya fikir saya banyak bersabar dalam mengharungi arus deras kehidupan saya. Rupanya Allahlah yang banyak bersabar. Bersabar untuk mengajar saya bersabar mengharungi ujian saya untuk memakbulkan doa saya selama ini. Hebatnya sifat sabar telah membawa saya kepada pengertian Nama Allah Al-Sabur iaitu Yang Maha Sabar dalam Asmaul Husna. Subhanallah.... Benarlah semakin kita menelusuri pengertian hidup ini, ia akan membawa kita kepada mengenali Tauhid dan Ke-Esaan Allah S.W.T.

  
               Sumber: Pinterest
                      Sumber: Allah-99.blogspot


Selalunya, apabila mengajar tentang sifat Allah kepada anak-anak kecil sentiasa mengingatkan saya tentang kebesaran Allah. Namun lebih hebat perasaannya bila kita mengenali Allah melalui hati, jiwa dan nurani kita sendiri. Kini saya tahu banyaknya kebesaran Allah seiring Nama-NamaNya, Allah itu Maha Besar, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana.......Allah juga Tuhan Yang Maha Sabar..

Tuesday, April 7, 2020

REVIEW DRAMA KOREA THE REBEL (BAHAGIAN 2)

Pada bahagian 2, terdapat cabaran baru bagi Amogea dan keluarganya perlu lalui setelah berjaya melepaskan diri dari belenggu perhambaan. Pada awalnya saya menyangka Kehidupan keluarga akan lebih senang selepas berpindah. Rupanya tidak. Masalah yang lebih besar sebenarnya sedang menunggu mereka. Ibarat sebuah permainan video, setelah melepasi satu peringkat, peserta terpaksa melalui peringkat seterusnya yang lebih susah. Adakah Amogea dan keluarganya berjaya mengharungi peringkat ini?

Sebelum pergi lebih jauh, ada beberapa perkara penting yang saya perlu maklumkan yang menjadi titik tolak bermulanya plot dan polemik cerita ini.

1. Ketika Gil Dong menggunakan kekuatan luar biasanya secara maksima, biasanya dia akan pengsan selepas itu dan akan hilang ingatan termasuk dia lupa namanya sendiri.

2. Saya akan memendekkan beberapa babak romantis dan terus kepada babak-babak penting. 

The Rebel (Bahagian 2)

Kini, Kehidupan Amogae lebih senang berbanding dahulu. Di sampingan menyeludup sutera, Amogae juga mengbil upah membuat kerja-kerja kotor bersama kumpulannya. Walaupun Ada kalanya dia dikutuk sebagai penyangak, dia tidak kisah asalkan dia, keluarga dan kawan-kawannya terjaga, makan dan hidup dengan baik. 

Setelah Gil Dong menginjak remaja, abangnya yang bijak itu turut membesar dan menunjukkan minat terhadap pelajaran. Kepandaiannya terhadap pelajaran semakin menyerlah. Rakan2 ayahnya Amogae selalu memberikan hadiah buku kepadanya dan menggalakkan anak itu terus belajar. Abangnya juga hampir2 mengambil peperiksaan awam.

Adik Gil Dong yang dahulunya bayi kini sudah membesar menjadi anak gadis yang comel. Gil Dong sangat menyayangi adiknya dan selalu memberikannya hadiah sebaik sahaja pulang dari berdagang.

Sumber: MDC


Gil Dong sekali lagi ditanya oleh ayahnya mengenai cita-citanya. Jawapan Gil Dong masih sama, dia suka dengan pekerjaannya. Namun, dia juga Ada impikan Kehidupan mereka sebagai petani biasa yang hidup di kampung. Namun kali ini, keinginan Amogae tidak lagi seperti dulu. Amogae ingin melihatnya menjadi dua perkara sahaja. Sama ada Gil Dong menjadi jeneral (panglima perang) atau ketua samseng menggantikan dirinya nanti. Tapi Gil  Dong tidak pernah berfikir sejauh itu.

Masalah bermula apabila di bandar tersebut ada seorang putera raja yang bernama putera Chong yang berkuasa dan sangat kejam tinggal di situ. Kejahatannya bermaharajalela dan tidak boleh ditegur sesiapa. Salah satu tabiat buruknya ialah memperkosa hamba wanitanya, kemudian membunuhnya. Kemudian, begitulah nasib wanita-wanita seterusnya. Amogae yang ketua samseng juga tidak boleh berbuat apa-apa melainkan mengikut kehendaknya.


Pada suatu hari, putera Chong mengupah Amogae dan rakan-rakannya supaya membunuh seorang hamba wanitanya. Apabila wanita itu sudah berada di tangan mereka, wanita itu merayu supaya jangan dia dibunuh. Oleh kerana kasihan, Amogae melepaskan wanita tersebut dan meminta wanita itu mehilangkan diri dari tempat itu dan jangan kembali lagi. Ketika wanita itu melarikan diri, dia dibunuh oleh musuh Amogae. Maka tahulah musuh Amogae yang Amogae sebenarnya tidak membunuh wanita tersebut. Mereka melaporkan kepada putera Chong dan menyebabkan putera Chong sangat marah. Maka putera Chong bergabung dengan musuh Amogae untuk memfitnah dan memusnahkan beliau kerana tidak mahu kuasa Amogae terus memenangi hati penduduk bandar itu.


Amogae merasa tidak sedap hati dengan apa yang akan berlaku terhadap mereka.  Nampaknya ujiannya kali ini lebih dahsyat berbanding yang dahulu. Dahulu dia terpaksa menghadapi bangsawan, tetapi kali ini seorang putera raja. Dia dapat merasakan Putera Chong telah pun tahu rahsianya. Dia kemudiannya berbincang dengan Gil Dong tentang cadangan Gil Dong untuk hidup di tempat lain sebagai petani.  Amogae akhirnya bersetuju. Tiba-tiba, Putera Chong mengarahkan polis menangkap Amogae atas tuduhan membunuh seorang gadis. Amogae ditangkap di kawasan rumahnya dan menyebabkan semua orang terpinga dan tertanya-tanya terutamanya Gil Dong. 
Benarlah seperti sangkaan Amogae, perkara buruk sedang menunggu mereka. Rupanya isteri bekas tuannya yang dahulu telah terjumpa Amogae di pekan itu dan menceritakan kepada Putera Chong kisah asal-usul Amogae.  Keadaan semakin rumit apabila Amogae dihukum dan diseksa hingga patah-riuk. 



Malah musuh Amogae bersama polis cuba untuk menangkap keluarga dan rakan-rakannya juga. Mereka semua melarikan diri. Abangnya lari ke arah lain, dan Gil Dong lari membawa adiknya. Saat adiknya cuba ditangkap, Gil Dong menjadi marah, kekuatannya datang Dan dia cuba mengalahkan polis yang cuba menangkap dia dan adiknya. Mereka terus berlari hingga ke tebing laut. Jalan mereka sudah mati dan mereka hampir tertangkap. Gil Dong mengikat tangannya dan tangan adiknya agar mereka tidak terpisah. Kemudian mereka melompat ke dalam laut.


Setelah mereka terdampar, Gil Dong mendapati adiknya sudah tiada di sisinya. Dia bangun dan berjalan bersama anak panah yang menikam belakangnya. Dia berjalan tanpa arah tuju mencari adiknya. Dia pengsan dan setelah beberapa hari dirawat di rumah kisaeng, akhirnya dia pun sedar. Para kisaeng itu terkejut dia masih boleh hidup kerana menurut tabib yang merawatnya, kecederaannya itu sepatutnya boleh membawa maut. Namun dia sudah tidak ingat siapa dirinya dan apa yang telah berlaku. Gil Dong kemudiannya menetap di rumah kisaeng itu sehinggalah ingatannya pulih. Dalam tempoh itu, Gil Dong Mula berkenalan rapat dengan seorang kisaeng yang merupakan pemilik tempat itu bersama seorang pembantunya.



Setelah ingatannya pulih, Gil Dong kembali ke tempat asalnya Dan berjumpa kembali dengan ayahnya dan dan rakan-rakan ayahnya. Namun, ayahnya sudah tidak sekuat dulu. Ayahnya sudah tempang, tidak berdaya, murung dan suka berdiam diri.


Gil Dong sangat sedih melihat keadaan ayahnya dan berpakat dengan rakan-rakan ayahnya untuk membalas dendam terhadap putera Chong atas perbuatannya. Pada Gil Dong, putera Chong bukan saja menganiaya ayahnya, malah putera itu juga seorang pemimpin yang kejam dan jahat. Bagi Gil Dong, seorang yang jahat dan kejam tidak layak untuk jadi pemimpin. Maka, mereka mula mengatur rancangan untuk menjatuhkan putera Chong.



Tertabalnya Raja Baru 

Dalam masa yang sama, sorang putera raja berasa sedih kerana ayahnya sedang sakit tenat. Baginda sudah mendengar khabar bahawa sekiranya ayahanda mangkat, maka dialah yang akan menaiki tahta. Persoalannya ialah dia tidak mahu menjadi raja. Putera itu sudah lama memerhatikan sistem pemerintahan sepanjang zaman pemerintahan ayahandanya. Sepanjang pemerhatiannya, ayahandanya tidak lebih seperti sebuah boneka kerana baginda terpaksa mengikut apa sahaja pandangan menteri-menteri di raja.


Apa sahaja cadangan baginda pasti tidak dipersetujui oleh menteri-menteri malah terpaksa melalui suatu perbincangan yang sangat sulit sebelum mendapat keputusan. Pemerintahan ini sangat rijid baginya. Malah, baginda juga dipaksa menaiki tahta dengan cepat dan ayahandanya diracuni ketika sedang nazak agar dapat mati dengan cepat.

Setelah putera itu menjadi raja, beliau bercadang untuk mengubah sistem pemerintahan daripada bersifat demokrasi kepada bersifat diktator. Sedikit demi sedikit pandangan para menteri ditolaknya. Semakin hari raja itu semakin obses untuk mengubah negara ke arah diktator. Sekiranya ada menteri yang membantah pandangan baginda, mereka akan mendapat hukuman yang berat. Tindakan keterlaluan ini menjadikan para Menteri tidak lagi berani bersuara membantah pandangan baginda.

(Bersambung...)


Wednesday, March 11, 2020

REVIEW KISAH DRAMA KOREA 'THE REBEL'

Sejak akhir-akhir kemelut politik negara sering diperkatakan umum. Sejak bermulanya perubahan politik dalam PRU 14, Malaysia berterusan mendapat perhatian mengenai  dasar pentadbiran yang baru. Ramai yang memberikan pendapat masing-masing mengenai isu politik negara yang sedang kita alami sekarang ini . Jika Ada yang ingin  mendengar pendapat diri yang hina ini memandangkan saya pernah menulis entri mengenai Malaysia sebelum ini. Sukar bagi saya untuk mengulas kerana saya sendiri sedar yang saya tidak boleh memberikan pendapat yang seimbang antara pembangkang dan kerajaan.

Dek kerana saya kerap menangguhkan hasrat untuk mengulas isu politik negara, saya juga telah terlepas untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir Mohamed atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7. Dalam masa 2 tahun tiba-tiba saya dan rakyat Malaysia sudahpun mendapat Perdana Menteri yang baru. Dalam ucaptama Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, Tan Sri Muhyidin Yaasin juga meluahkan rasa terkejut dengan pelantikan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, takkanlah beliau ingin menolak tawaran tersebut yang datang dari YDP Agong. Bukan salah PM kita, tapi tidakkah kita terasa yang kerajaan dan parti politik terlalu terburu-buru untuk menukar corak pemerintahan? Mana ada kerajaan yang terus semuanya jadi sempurna dalam masa 2 tahun? Seharusnya pihak pentadbiran bertenang dan menambahbaik kelemahan  struktur pentadbiran dari semasa ke semasa. Sekurang-kurangnya 5-10 tahun untuk berkembang maju sesuai dengan kehendak rakyat.

Dalam masa beberapa hari kemelut politk berlangsung, dapat terlihat dengan jelas siapa gila kuasa, siapa yang berpaling dan siapa yang setia, seolah-olah ini semua adalah semua drama tv. Penuh dengan kejutan, persaingan hidup, sedikit unsur lucu namun semuanya adalah realiti. Yang paling saya tabik hormat sekali ialah, kematangan rakyat dalam menghadapi situasi tegang ini. Tak perlu kita merusuh, bergaduh dan pertaruhkan nyawa kita yang berharga. Biarkan para pemimpin buat kerja mereka. Kita fokus kepada tujuan asal iaitu untuk kemaslahatan, keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia. Terima kasih buat semua. Begitulah serba sedikit pandangan politik dari sisi saya. 

Kisah Drama Korea The Rebel


Melihat situasi politik yang mencabar ini, saya teringat sebuah drama korea yang bertajuk 'The Rebel: Thief Who Stole People'. Maksudnye pencuri yang mencuri (hati) rakyat. Sekali imbas seolah-okah seperti kisah Robinhood. Namun setiap penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh hero sangat mendalam dan menyentuh jiwa. Drama ini sangat menarik dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Peminat Kdrama pasti tahu cerita ini. Tapi izinkan saya menceritakan semula kisah yang cukup memberi inspirasi ini dalam versi saya sendiri. Namun, kisahnya yang agak panjang mungkin akan mengambil masa dan ruang yang banyak dalam blog saya. Jika saya tidak sempat habiskan, saya akan sambung dalam entry yang seterusnya.


Hong Gil Dong merupakan seorang kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga miskin dan bekerja sebagai petani. Mempunyai seorang abang yang bijak bernama Gil Hyeon, ayah bernama Hong Amogae dan dan ibunya bernama Geum ok. Mereka bekerja bercucuk tanam dengan tuan tanah atau bangsawan yang sangat kejam. Kehidupan mereka sebagai budak hamba sangat perit tetapi mereka tabah menghadapinya. Tuannya suka memukul budak suruhannya untuk kesalahan yang remeh. Jika kesalahan itu besar apatah lagi. Dipendekkan cerita, dalam beberapa insiden Hong Gil Dong mendapati dirinya mempunyai kekuatan luar biasa. Tidak seperti kanak-kanak lain. Ibu bapanya mula menyedari akan hal tersebut termasuk majikannya. Apabila Gil Dong marah, dia akan melakukan perkara luar biasa seperti menyepak pasu yg sangat besar sehingga terbang jauh, baling batu dan batu tersebut melekat di pokok, membunuh harimau dan banyak lagi.

Disebabkan kerisauan, bapa Gil Dong menasihatkan beliau dengan sebuah cerita. Ada seorang anak perkasa yang lahir di tengah keluarga yang miskin. Dengan kekuatannya, dia banyak berjasa kepada orang sekelilingnya. Namun anak perkasa itu tidak hidup lama, dia dibunuh oleh raja kerana rasa dengki raja terhadap anak itu.  Amogae juga menyatakan ketidaksediaannya untuk kehilangan Gil Dong. Gil Dong terkejut dengan cerita tersebut. Sejak hari itu dia tidak lagi bercita-cita tinggi. Sekadar ingin menjadi orang biasa sahaja dan tidak dikenali orang ramai tentang kekuatannya.




Bapanya Amogae terpaksa menanggung semua kesalahan anaknya Gil Dong yang kurang sabar dalam melayani keluarga majikannya dan memecahkan barang di rumah keluarga bangsawan itu. Amogae bercadang ingin ke bandar untuk menjual ikan kering. Keuntungan yang diperolehi akan ditukar kepada sutera untuk diberikan kepada tuannya. Setelah sampai di bandar, Amogae mendapati ikan keringnya tidak laku. Tiba-tiba ada seorang lelaki menegurnya dan mengatakan bahawa ikan jualannya sudah tidak segar, maka jualannya pasti tidak laku. Lalu, Amogae bertanya kerja apakah yang memberikan keuntungannya? Maka bermula dari situ Amogae terlibat dengan kegiatan penyeludupan di bandar untuk mencari pendapatan.

Amogae mendapat keuntungan, lalu dibelikan sutera untuk tuannya seperti yang dijanjikan. Duit selebihnya disimpan dan disorok untuk kegunaan keluarganya. Setelah beberapa lama, kehidupan Amogae semakin baik. Mereka mula merasa untuk makan nasi dan mengubat isterinya yang sedang mengandung. Keselesaan yang dinikmatinya menjadi tanda tanya kepada tuannya. Selepas mereka tahu Amogae menyimpan duit yang banyak, mereka mula membuat muslihat supaya mereka dapat merampas duit Amogae. Pada suatu ketika, ada seorang bangsawan cuba mengusik isteri Amogae. Dalam kejadian itu, isterinya iaitu ibu Gil Dong terjatuh dan cedera. Gil Dong sangat marah lalu membaling batu kepada bangsawan tersebut, walaupun tidak terkena bangsawan itu, batu itu menembusi pokok yg ada di situ.


Bangsawan tersebut menceritakan kejadian luar biasa yang berlaku itu kepada majikan Amogae. Namun, tak semua yang diceritakan benar.  Beliau menfitnah isteri ditahan Amogae yang menggoda dirinya. Amogae ditangkap, manakala isterinya dalam keadaan sakit dan terpaksa melahirkan bayi dalam kandungannya. Bayi itu selamat namun isterinya meninggal dunia. Amogae sangat marah . Jiwanya memberontak. Dia sudah tidak tahan lagi jadi budak hamba. Dari beberapa insiden menunjukkan Amogea mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik. Dia makin sedar bahawa kehidupan hamba benar-benar menyakitkan dan dia inginkan kebebasan. Lalu secara senyap beliau pergi ke rumah tuannya dan membunuh tuannya sendiri. Gil Dong yang menyaksikan kejadian itu sangat takut dan berubah pandangan terhadap ayahnya.



Amogae sekali lagi ditangkap. Isteri majikannya mengetahui bahawa Amogae yang membunuh suaminya. Ketika dia berjumpa dengan Amogae di penjara untuk menyakitkan hatinya, Amogae membalas kata-katanya dengan cuba mengugutnya agar menutup mulut dalam kes ini atau dia akan menceritakan semua hal keburukan suaminya kepada umum. Akhirnya Amogae berjaya dilepaskan. Mereka berpindah ke bandar dan tinggal bersama rakan-rakan penyangak Amogae. Tidak lama kemudian, Amogae dikenali sebagai ketua samseng di situ. Walaupun mereka samseng yang berkuasa di kawasan mereka, mereka sangat baik.



Gil Dong walaupun mempunyai kekuatan luar biasa, dia tidak berminat menjadi seperti ayahnya. Bila ditanya tentang cita-cita, dia berkata dia cuma ingin menjadikan seorang peniaga biasa yang mengembara ke merata tempat. Nampaknya cerita ayahnya tentang anak perkasa itu benar-benar terkesan di jiwanya. Beberapa tahun kemudian, Gil Dong pun membesar menjadi remaja dan menjadi seorang peniaga.




(Bersambung...)

Wednesday, March 4, 2020

Muhammad Izzuddin Cahaya Hatiku

Assalamualaikum semua..

Post kali ini ingin menceritakan kisah kelahiran ankanda saya yang ketiga. Saya ingin sekali menyimpan segalanya ingatan di sini, kerana saya sendiri tidak tahu apakah saya akan masih ingat lagi semua kenangan ini. Gembira, berdebar, takut,  risau, syukur, redha. Segala rasa yang bercampur. Semuanya lengkap untuk dijadikan sebuah cerita. 

Saat saya mengetahui saya hamil anak ketiga, saya sudah dapat merasai perubahan pada badan saya. Saya jenis  yang cepat menyedari perubahan badan saya, jadi tidak susah untuk saya mengetahui yang saya ini hamil. Apabila mendapati kiraan saya tepat, syukur yang tak terucap ku sembahkan kepadaMu Illahi. Besarnya kuasaMu Ya Rabb. 

Namun saya mengharungi detik-detik kehamilan yang tidak seperti sebelumnya. Bermula dari kehamilan trimester kedua hingga ke hujung trimester ketiga, saya sering diserang rengat atau 'musculoskeletal pain'. Beberapa kali saya ke hospital disebabkan sakit di bahagian bawah perut. Kadang2 kala sampai sakitnya tak boleh berjalan dibuatnya. Tapi mujurlah tak apa-apa.

Disebabkan itu, saya dan suami memilih untuk saya bersalin di Muar Johor memandangkan keadaan saya yang kurang sihat dan tidak boleh berjalan jauh. Jika diikutkan sebelum ini, dua orang anak kami lahir di Ipoh, Perak. Nampaknya rezeki anak saya yang ketiga untuk bersalin di Muar Johor. Sebaik sahaja mengambil keputusan tersebut, kami segera mengikuti Ceramah 'Rakan Suami' yang wajib dihadiri pasangan di Johor jika ingin ditemani suami di Dewan Bersalin. 

Pada minggu ke 38 saya sudah tak boleh tahan lagi. Rengat itu semakin menyakitkan seiring dengan beratnya kandungan saya.  Ditambah pula dengan sakit kontraksi, saya sudah tak boleh beza adakah sakit kontraksi atau sakit rengat. Sebelah bermalam di hospital melayan kontraksi pada skala 6/10, paginya saya mula mengalami pendarahan. 

Saya terus dipantau seharian sehinggalah pada pkul 4 pagi 25 januari, saya terjaga dari tidur disebabkan kontraksi yang kuat, saya mengadukan hal ini pada jururawat, saya diperiksa dan di bawa ke Dewan Bersalin. Setelah 4 jam di sana, doktor  mendapati keadaan jantung bayi semakin lemah, usaha saya untuk bersalin secara normal tidak kesampaian dan terpaksa dilakukan secara pembedahan. 




Alhamdulillah, pada pukul 8.45 pagi  25 Januari 2020, lahirlah putera saya dengan berat 3.18 kg. Ditahnidkan oleh suami saya sendiri. Pada hari ketujuh, sedikit jamuan aqiqah ringkas kami sediakan di Surau Parit Samsu. Dan nama yang kami pilih untuk anak kami ialah Muhammad Izzuddin Bin Zulkifli. Alhamdulillah.. 

Kepada Izzuddin, ummi doakan semoga dirimu menjadi pejuang agama sepertimana indahnya namamu. Ya Allah, jadikanlah anakku ini anak yang soleh, Yang taat kepadaMu, kepadaku dan suamiku, dan jadikannya khalifah yang amanah lagi bermanfaat kepada ummah. Amin..

Monday, March 2, 2020

Hari Lahir Iftinan (5 tahun) Dan Imanina (2 tahun) Serta Hari Ulang Tahun Kita

Ya, ummi tahu ummi dah terlewat nak mengucapkan selmat Hari Lahir buat iftinan yang berusia 5 tahun dan Imanina yang berusia 2 tahun. Tapi selagi Ada kesempatan apa salahnya kan.

Ummi ingat lagi pada 8 Disember 2019 tu abuya ada kenduri kahwin di teluk intan. Jadi ummi siap-siapkan dua-dua puteri ni dengan pakaian ala-ala frozen. Sebabnya sejak akhir-akhir ni Imanina minat sangat watak Elsa Dan Ana dalam frozen. Ini semua gara-gara iftinan la yang suka menyanyi lagu frozen, dah berjangkit pada Imanina pula.

Sebelah selesai menghadiri majlis tersebut, kami pun pulang semula ke Ipoh dan terus saja beli kek dan makanan until sambut Hari Lahir mereka di rumah atuk mak. Sempat juga ummi mencari hadiah until mereka di kedai Mr. DIY. Sampai-sampai saja di rumah terus kami sambut Hari Lahir mereka. Bab makan-makan ni memang tak susah pon. Hehe..











Bukan nak khabar meriahnya kami sambut ni.. biasa-biasa saja pun.. tapi nak kata kita kita usaha hargai anak-anak ni.. kenangan itu boleh dicipta, biar esok dia ingat kita ada simpan kenangan indah untuk mereka masa kecil.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan kami nikmat untuk menjadi ibu dan ayah.. Anugerah juga tanggungjawab untuk kami pikul..

Buat iftinan, 
Kini kamu telah pun berumur 5 tahun sayang..tanpa disedari, kamu sudah mula menghadapi persaingan hidup di usia yg masih kecil..Sebagai ibu, tentu saja ummi letakkan harapan yg menggunung pada kamu.. dan ummi faham tidak semuanya kamu mampu capai.. tak apa nak.. ummi juga dulu begitu.. pernah sekali ummi bernimpi yang mana mimpi itu mengingatkan ummi agar jgn terlalu meletakkan harapan yang kamu sememangnya tak mampu untuk mencapainya.. maka, fahamlah ummi bahawa ummi sudah terlebih berharap..kekuatan kamu, akan cuba ummi asah semampunya, dan kelemahan kamu, kita sama2 perbaikinya..doa ummi di hari lahirmu, semoga iftinan menjadi anak 
, kakak dan sahabat dan khalifah yg baik serta bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat.. 

Buat imanina, 
Kini imanina sudah berusia 2 tahun.. berbanding kakak, ummi perasan imanina agak pemalu dan tegas. Namun imanina pandai menjaga hati ummi dan abuya.. pandai memujuk kakak yg merajuk 
, lucu dan suka mengusik..melihat kamu tak ubah seperti melihat kakakmu sewaktu di usiamu..doa ummi buatmu, semoga imanina menjadi anak, adik, kakak, sahabat dan khalifah yg baik serta bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat.. aminn..

Selamat Ulang Tahun Kita Yang Ke-6

Di kesempatan ini izinkan ummi menyelit peristiwa yang berlaku semalam, iaitu Hari Ulang Tahun Perkahwinanku bersama suamiku. 

Ikutkan hari ni rasa tak sihat. Ummi telan panadol 2 biji nak gagahkan diri. Lagi beberapa hari nak habis pantang. Dengan waktu tidur yang tak menentu, memang ummi kalah hari ni. Tak sempat siapkan apa-apa untuk ulang tahun Kita. Izzuddin pula setiap 2 jam nak susu, melekat ajelah dgn ummi hari ni.. plan nak tempah macam-macam, semua ke laut akhirnya.

Tapi masih nak hadiahkan yang terbaik untuk  diri dan suami. Jadi Kita ke Secret Resepi saja lah.. lebih mudah.. segalanya ada di situ.. nak makan, nak kek, nak aiskrim, semua ada..anak-anak pun suka sebab dah jarang sangat pergi sini sejak menunya semakin mahal. Sekali-sekala bagi ganjaran kat diri makan di sini ok juga.











Apapun, Selamat Ulang Tahun Kita Yang ke-6 buat suamiku Zulkifli Bin Hammat Zakri. Semoga kita terus kekal sabar dan tabah melayari bahtera perkahwinan ini. Memang tak mudah nak laluinya, sebab itulah kita makan dekat kedai mahal. Biar puas dan rasa berbaloi. Semoga Allah berikan kita kekuatan dan terus lebih kuat..Anak semakin ramai, jiwa pun kena makin kental..Dan semoga cinta kita kekal hingga ke syurga.. Aminn ya Allah..

Sunday, March 1, 2020

SEKILAS KENANGAN 2019

Assalamualaikum semua..

Lama tak bersua, apa khabar semuanya? Sudah lama tidak mengemas kini entry saya, ternyata kita telah pun berada di bulan Mac tahun 2020. Tahun yang dinantikan oleh kita semua terutama generasi saya. Tak sangka pula di tahun ini saya melahirkan bayi tahun 2020.

Banyak yang ingin saya ceritakan sepanjang tahun 2019 Dan 2020. Jadi untuk beberapa hari ini saya akan mengemaskini entry saya dengan beberapa topik baru. Rakan-rakan yang rajin mengikuti blog saya bolehla terus setia melayari entry in kerana akan ada beberapa kemaskini terbaru untuk semua. Namun topik yang  saya bawakan hari ni adalah beberapa tatikh penting dan kejayaan saya lalui sepanjang beberapa bulan menuju ke penghujung tahun 2019.

MAJLIS PERPISAHAN CIKGU YUNUS, PN. SUZANA, PN. ZURAIDAH, PN. MAZNIHA DAN PN. ILMI 


Sepanjang tahun 2019 kami dikejutkan dengan beberapa berita perpisahan guru-guru SK Parit Latiff. Sebenarnya, sukar di hati nak melepaskan mereka pergi. Namun, inlah hakikatnya yang setiap pertemuan ada perpisahan. Bermula dengan En. YUNUS yang merupakan guru matematik Dan jurulatih kriket. Ternyata SKPL kehilangan permata berharga yang seeing menjadikan sekolah ini dijulang atas kejayaan dalam pertandingan kriket.





Begitu juga dengan Pn. Suzana Dan Pn. Mazniha yang merupakan guru senior di sekolah ini. Tunjuk ajar mereka membuatkan saya merasa kehilangan mereka bernar-benar memberi kesan. Tak lupa juga buat Pn. Zuraidah dan Pn. Nor'Ilmi yang merupakan mentor saya sebagai guru GPI.

KARNIVALBAHASA MELAYU SKK PERINGKAT KEBANGSAAN 2019

Pada tarikh April 2019, SK Parit Latif telah menghantar peserta ke Karnival Bahasa Melayu Sekolah Kluster Peringkat Kebangsaan. Antara kategori yang dipertandingkan ialah Deklamasi Sajak, Dendangan Syair, Bercerita,  Pidato Dan Mengarang. Apa yang menerik dalam pertandingan ini ialah, peserta yang mendapat kedudukan 10 Terbaikkk akan mendapat hadiah iaitu RM50 beserta cenderahati bagi pemenang tempat ke-10 hingga ke-4. RM 100 bagi tempat ke-3, RM150 bagi tempat ke-2 dan RM 200 berserta cenderahati bagi pemenang tempat Pertama.




Alhamdulillah, nampaknye ada rezeki untuk kami kerana hampir kesemua peserta kami mendapat tempat 10 terbaik. Antaranya ialah:

1.Naib Johan Dekklamasi Sajak
Nur Faezatul Antasya
Nur Elliya Ellisya

2. Tempat ke-6 Deklamasi Sajak
Aisyah Maisara
Nur Futri Ellisa Sofea Bt Ahmad Tumidi

3. Tempat ke-7 Pidato
Mohd Faiz Bin Daud

3. Tempat ke-7 Bercerita
Nur Qurratul Batrisya Bt Hanafiah

4. Tempat ke-9 Dendangan Syair
Aisyah Binti Musa
Mohd Azizan akmal

5. Tempat ke-9 Mengarang
Nur Auni Nadzirah Bt Md Sudi







Terima kasih dan tahniah buat semua guru Dan peserta atas kerjasama kalian untuk pertandingan ini. Tidak lupa juga tahniah buat penganjur pertandingan ini iatu SK Orang Kaya Ali SKK dengan Kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka dan BSN.

KARNIVAL SEMARAK CINTAI BAHASA PERINGKAT KEBANGSAAN SKK 2019


Pada 31 Julai 2019, sekolah saya iaitu SK Parit Latiff telah mengadakan Karnival Semarak CINTAI BAHASA PERINGKAT Kebangsaan 2019 SKK. Seramai 19 buah sekolah telah hadir untuk menyertai pertandingan ini. Antara kategori yang dipertandingkan ialah Deklamasi Sajak, Dendangan Syair, Bercerita Dan Pidato.



Dan alhamdulillah, tiga orang murid kami telah memenangi 10 terbaik dalam pertandingan ini. Antaranya:

1. Naib Johan Pidato
Mohd Faiz Bin Daud

2. Tempat ke-6 Sajak
Nur Elliya Ellisya

3. Tempat ke-6 Bercerita
Nur Qurratul Batrisya Bt Hanafiah





Tahniah Dan syabas buat para pemenang juga semua para peserta dan guru atas kerjasama sebagai penganjur bersama dan peserta. Tidak lupa juga buat pihak UTHM atas usahasama until penganjuran ini.
Semoga usaha ini dapat diteruskan di Masa akan datang.

PERSEMBAHAN IFTINAN DI MAJLIS APRESIASI DAN KECEMERLANGAN MURID

Tirai tahun 2019 saya juga diakhiri  dengan  Majlis Apresiasi Prasekolah 2019 dan persembahan anakandaku iftinan menyanyikan lagu kegemarannya iaitu 'Let It Go' semasa Program Apresiasi Dan Kecemerlangan Murid SKPL 2019.






Saya tahu iftinan menyukai lagu tersebut dan sering menyanyikannya ketika di rumah. Lalu saya mencadangkan kepada guru Prasekolah supaya iftinan menyanyikannya lagu tersebut. Namun apa yang mengagumkan saya dan kami semua ialah iftinan begitu selesa dan yakin di atas pentas. Tidak ada pula saya nampak yang dia gementar, cuma dia ada cakap dia nak buang air saja lah sebelum persembahan bermula.. haha.. selepas selesai persembahan, memang betul dia hendak buang air kecil..hihi.. saya ingatkan dia dah lupa..

Itulah serba sedikit KENANGAN saya sepanjang tahun 2019. Saya juga ketika it sedang menunggu tahun 2020 dengan penuh debaran. Yalah, nak sambut ahli baru dalam keluarga saya.. saya sambung dalam entry yang seterusnya.. Terima kasih kerana sudi membaca..